SepangOnline

Wednesday, March 21, 2007

Syed Husin : PKR tidak akan bersikap ‘terlalu yakin’

Oleh Beh Lih Yi Petikan drp: MalaysiaKini Mar 20, 07 6:22pm -
Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin mampu memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihanraya umum akan datang, kata Timbalan Presidennya, Dr Syed Husin Ali.

Bagaimanapun, dalam temubual dengan malaysiakini minggu lalu, beliau tidak mahu parti itu bersikap terlalu yakin, walaupun optimis boleh menang lebih besar daripada tahun 1999, ketika bertanding sebagai Parti Keadilan.

Keadilan memenangi lima kerusi Parlimen dan empat kerusi negeri pada 1999, tetapi hanya mampu pertahankan satu kerusi Parlimen sahaja dalam pilihanraya umum 2004.

PKR ditubuhkan pada 2004 selepas penggabungan parti Keadilan dengan Parti Rakyat Malaysia. Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah ahli Parlimen Permatang Pauh.

Dalam bahagian pertama semalam, Syed Husin mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan timbalan presiden dalam kongres nasional PKR di Seremban Mei ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak akan bertanding dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Dalam bahagian akhir temubual tersebut, ahli politik veteran yang kini berusia 70 tahun, bercakap mengenai persediaan parti itu menghadapi pilihanraya umum akan datang dan mengulas mengenai kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malaysiakini: Seandainya Pendaftar Pertubuhan (ROS) membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan, bagaimanakah agaknya keputusan pilihanraya umum akan datang?

Syed Husin: Beliau merupakan satu aset tambahan, tetapi anda tahu, dalam sesuatu pilihanraya, ia bukan sahaja (mengenai) individu. Terdapat pelbagai faktor (seperti) ekonomi, politik dan kebebasan akhbar. Isu-isu seumpama itu menjadi penting dalam menentukan proses sesuatu pilihanraya. Anwar dapat menyatupadukan parti dan saya yakin (begitu juga) dengan kerjasama antara parti-parti pembangkang.

Seperti DAP kembali ke pangkuan Barisan Alternatif?

Saya tidak tahu apakah kerjasama tersebut. Saya tidak mengatakan ia akan merupakan satu bentuk gabungan, tetapi yang pentingnya kita tidak akan terbabit dalam pertandingan tiga penjuru (sesama sendiri). Itulah kata sepakatnya.

Adakah PKR akan bertanding lebih banyak kerusi kali ini?

Saya tidak fikir jumlah kerusi (yang bakal ditandingi) akan bertambah banyak. Telah wujud persafahaman bagaimana kerusi akan diagihkan. Masalah kerusi yang akan ditandingi adalah sama ada antara PKR dan PAS atau antara DAP dan PKR. Masalah itu tidak timbul antara PAS dan DAP – (kerana) mereka bertanding di kawasan yang berbeza. Satu-satunya masalah mereka ialah satu parti tidak mahu bersekutu dengan parti yang satu lagi (kerana perbezaan ideologi).

Apakah isu-isu panas sekarang dapat membantu pembangkang menang lebih banyak kerusi?

Memang ada isu tetapi satu perkara ialah kerajaan sentiasa dapat (bukan sahaja) ‘black-out’ isu-isu berbangkit, tetapi juga ‘black-out’ pembangkang. Mereka telahpun melakukannya. Terdapat proses untuk ‘black-out’ Anwar dan PKR (untuk memastikan) hanya perkara-perkara baik yang diperkatakan.

Walaupun mereka berkata terdapat peningkatan prestasi perdagangan, tetapi dibandingkan (dengan negara-negara lain) di rantau ini, tiada apa yang hendak dibanggakan pun. Mereka dapat menguasai media untuk memastikan hanya pembohongan, interpretasi dan gambaran baik mereka mengenai negara ini disiarkan. Kita perlu bekerja kuat melalu media alternatif.

Sentimen semasa nampaknya lebih menguntungkan DAP dalam pilihanraya umum kali ini. Bagaimana pula dengan PKR?

Nampaknya, pengundi Cina kini menolak Barisan Nasional dan MCA. Ini, pada tanggapan saya, akan menguntungkan DAP, tetapi bukan semua pengundi Cina memilih DAP sebagai alternatifnya. Terdapat juga alternatif lain. Persoalannya, bagaimanakah PKR dan DAP dapat bekerjasama untuk memanfaat sepenuhnya peralihan sokongan (pengundi) Cina ini.

Baru-baru ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bercakap lagi mengenai kerajaan Islam? Apakah PKR merasa tertekan berdepan dengan keadaan ini?

Terdapat lebih banyak kawasan pilihanraya yang majoritinya orang Melayu, berbanding dengan orang Cina? Apa yang kita perlu buat ialah bukan mengetepikan kedua-duanya, tetapi untuk memastikan kita bekerjasama supaya kita mendapatkan faedahnya. Kita berharap, dengan kehadiran Anwar, PKR akan dapat meningkatkan kerjasama dengan pelbagai parti pembangkang dan mungkin juga dengan NGO (badan bukan kerajaan) tertentu dan NGI (individu bukan kerajaan). (ketawa).

Jadi PKR akan terus menjadi ‘jambatan’ antara PAS dan DAP?

Itu adalah peranan utama parti ini. Umno (boleh) memutarbelitkan apa sahaja Hadi dan PAS cakap untuk menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan orang Cina. Saya bukan hendak mempertahan Hadi di sini, tetapi jika anda perhatian secara dekat (kenyataannya), beliau telah berkata, ia adalah hak setiap parti untuk mengetengahkan idea masing-masing– jika ada parti yang mengetengahkan sosialisme dan kapitalisme, mengapa (yang lainnya) tidak boleh mengetengahkan Islam? Tetapi ini sering diputarbelitkan (oleh parti pemerintah) supaya bunyinya seperti ‘Lihat, (PAS) mahu menubuhkan sebuah negara Islam’ yang mana beliau (Hadi) tidak kata. Malah, sejak tiga tahun lalu, PAS telah mengekang dirinya daripada bercakap mengenai negara Islam dan ini adalah sebahagian daripada persefahaman kita.

Bagaimanakah keyakinan PKR untuk menang lebih banyak kerusi Parlimen kali ini?

Pastinya lebih banyak daripada pilihanraya umum 1999. Kita telah mengenalpasti apa yang kita namakan ‘kawasan tumpuan’, iaitu kawasan yang akan menjadi tumpuan kita. Kita akan berkerja di situ dan menyediakan kempen kita di situ. Sesetengah ‘kawasan tumpuan’ ini adalah bekas kawasan kita sebelum ini, manakala yang lainnya ialah kawasan (yang telah) ditandingi oleh PAS dan DAP. Kita berharap melalui perundingan, kerusi-kerusi tersebut akan diperuntukkan kepada PKR.

Berapa banyak kerusi anda yakin boleh menang?

Kita tidak akan melakukan kesilapan dengan bersikap terlalu yakin tetapi pada masa yang sama, kita optimistik akan memprolehi keputusan yang baik.

PAS mengalami kesukaran mentadbir Kelantan dengan majoriti satu kerusi. Apakah itu sebabnya ia mempelawa Anwar bertanding di Kota Bharu, untuk mengembalikan suasana 1999?

Itu mungkin salah satu sebabnya mengapa ia mahu Anwar bertanding di sana. Tetapi terpulang kepadanya untuk memutuskan dan terserah kepada parti untuk meluluskan di mana beliau patut bertanding. Kita akan pastikan beliau bertanding di kawasan di mana kita bukan sahaja yakin beliau akan menang, tetapi juga di mana beliau boleh membantu parti terlebih dahulu dan gabungan (pembangkang). Oleh itu, beliau lebih diperlukan (di tempat lain) dan bukan sahaja di Kota Bharu (ketawa).

Adakah anda yakin PKR akan memerintah negara ini suatu masa nanti?

Itulah harapan saya (ketawa). Ia adalah harapan dan doa saya, kita akan berusaha ke arah itu.

Baru-baru ini, PKR kehilangan (bekas Ketua Pemuda) Ezam Mohd Nor yang telah bersama parti ini sejak ia ditubuhkan – beliau diangaap seorang pemimpin berkarisma.

Beliau masih kekal sebagai ahli parti ini. Beliau akan menjalankan (tugasnya) menerusi NGOnya (sebagaimana) beliau (menjalankan tugasnya) dengan parti ini. Beliau masih memberi sumbangannya, saya tidak rasa beliau akan memutuskan hubungannya dengan parti ini.

Bagaimana kukuhnya kedudukan kewangan PKR?

Sangat lemah...

Dari manakah datangnya sumber kewangan parti?

Pelbagai bentuk sumbangan dari individu dan pertubuhan, (tetapi) kita masih menghadapi kesukaran walaupun untuk membayar gaji kakitangan tetap dan untuk perbelanjaan pejabat.

Apakah kekuatan utama parti dan kelemahannya selepas empat tahun bergabung (antara Keadilan dan PKR untuk menjadi PKR)?

Parti ini mempunyai sekurang-kurang empat jenis ahli – bekas ahli Umno, bekas ahli PRM, bekas ahli NGO, bekas ahli Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia) dan bekas ahli JIM (Jamaah Islah Malaysia). Mereka ini mempunyai pengalaman yang berlainan tetapi yang istimewanya mereka bersatu dalam perjuangan mereka, ia amat kuat di peringkat akar umbi dan adalah mustahak mempunyai akar umbi yang kuat dan komited. Mereka perlu mempunyai pengetahuan mengenai perjuangan kerana dengan itu, mereka boleh menjelaskan kepada masyarakat di pelbagai peringkat..

Bagaimanapun, kita masih ada kelemahan, hubungan dengan masyarakat masih kurang kuat – (tapi) ia semakin kukuh tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki. Berbanding dengan PAS ataupun Umno, mereka telah wujud 40, 50 tahun untuk membina (sokongan) akar umbi, (tapi) kita masih baru.

Kekuatan kita adalah kita komited untuk perjuangan yang pelbagai etnik. (Melaluinya), kita perihatin mengenai rakyat. Itulah sebabnya kita bercakap mengenai ‘keadilan untuk semua’ dan ‘kepedulian rakyat’.

Terdapat pandangan bahawa kedudukan parti ini tidak setanding dengan kedudukan Anwar di peringkat antarabangsa. Apa komen anda?

Memang terdapat jurang antara Anwar dan ahli biasa parti. Kedudukannya di peringkat antarabangsa, sebahagiannya dibina atas dua perkara – beliau pernah menjadi timbalan perdana menteri dan beliau telah ditahan secara tidak adil. Itu menjadikan beliau seorang yang amat penting. Jurang itu dapat dikurangkan melalui pengalaman dan komitmen kepada wadah parti. Dalam lain perkataan, ia akan menjadi satu proses di mana tahap kesedaran dan komitment akan ditingkatkan, bukan sahaja di kalangan pemimpin tetapi juga di kalangan penyokong di peringkat akar umbi.

Apakah pandangan anda mengenai siasatan rasuah terhadap Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Zulkipli Mat Noor?

Ianya bukan mengenai individu. Tahap rasuah menjadi semakin teruk. Bila kita bercakap mengenai Zulkipli (foto), orang melompat tetapi bila kita bercakap mengenai (menteri kabinet, Datuk Seri) Rafidah (Aziz) atau (Datuk Seri S) Samy Vellu, reaksinya berbeza.

Adakalnya pendedahan itu adalah juga mengenai siapa yang terbabit, daripada intipati tuduhannya. (Bekas Perdana Menteri Tun Dr) Mahathir (Mohamad) tidak berjaya dalam membongkarkan (mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) tapi ia mungkin kerana Dr Mahathir telah melakukan perkara yang sama. Ianya umpama ‘kata dulang paku serpih’ tetapi rakyat tidak percaya.

Bagaimana anda menilai kemampuan Abdullah dalam memerangi rasuah?

Tiada bukti yang menunjukkan rasuah sudah dikekang atau ia telah menurun. Tambahan pula, ranking kita dalam indeks persepsi mengenai rasuah semakin merosot.

Bagaimana dengan ekonomi? Banyak kenyataan yang dibuat mengenai betapa baik prestasi negara.

Apabila kita melihat ke dalam kolam kita sendiri, maka kita kata ikan kita banyak. Cuba bandingkannya (dari sudut ekonomi) dengan kolam-kolam yang terdapat di Korea Selatan, Taiwan, Singapura, Thailand dan Indonesia, di mana terdapat ikan yang lebih banyak. Akhbar-akhbar kita tidak berpeluang untuk membuat perbandingannya.

Bagaimanakah anda menilai prestasi Abdullah sebagai Perdana Menteri?

Saya beri beliau (gred) C. Saya tidak akan gagal beliau. Namun, kita mempunyai perkhidmatan awam yang agak stabil – walaupun jika kedua-dua Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) ke luar negara sekalipin, (pentadbiran) kerajaan masih berjalan seperti biasa.

Ekonomi masih tumbuh walaupun berlaku perbelanjaan yang berlebihan dan pembaziran. Sistem pelajaran juga kucar-kacir, sistem penjagaan kesihatan tersangat mahal dan menjadi semakin mahal. Tidak lama lagi akan ada FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) dan tidak ada lagi ubat-ubatan generik, jadi anda terpaksa membeli ubat-ubatan yang sudah dipatenkan yang sangat mahal harganya. Kos untuk penjagaan kesihatan akan semakin meningkat. Tidak ada tanda-tanada yang kita akan menolak FTA.

Mengenai isu kroni? Ia menjadi tumpuan dalam pentadbiran sebelumnya – bagaimana situasinya sekarang?

Saya fikir ia masih berlaku. Ianya berleluasa sewaktu pentadbiran Dr Mahathir kerana ketika itu terdapat banyak wang untuk melaksanakan projek-projek besar. Sekarang tidak banyak projek mega, (tetapi) bukan kerana mereka tidak mahu (melaksanakannya tapi) kerana mereka tidak ada wang.


Bahagian 1: Syed Husin Tidak Akan Bertanding Dalam PRU

Copyright © 1999-2007 Mkini Dotcom Sdn Bhd. All rights reserved

Sumber: MalaysiaKini - 22.03.2007

0 Comments:

Post a Comment

<< Home