SepangOnline

Friday, March 16, 2007

Kerajaan Malaysia Meneruskan Budaya Takut di LSE dan Cambridge

Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedang membuat lawatan kerja ke United Kingdom. Antara program yang dirancang di UK ialah pertemuan dengan mahasiswa. Pada 15 Mac 4.00 petang beliau bersyarah: Dialog Peradaban – Islam dan Barat di London School of Economics. Pada 16 Mac 7.00 malam, Datuk Seri Anwar akan berucap di pertubuhan debat terkemuka Universiti Cambrdige, Cambridge Union di mana pemidato-pemidato ulung seperti Winston Churchill, Archbishop Desmond Tutu, dan Hans Blix semuanya telah berucap.

Kami walaubagaimanapun kesal Jabatan Pelajar Malaysia telah menekan pertubuhan-pertubuhan mahasiswa Malaysia yang ingin menganjurkan program untuk Datuk Seri Anwar. Salah satu pertubuhan mahasiswa Malaysia yang merancang acara di LSE telah diarah untuk menarik diri beberapa minggu yang lalu, sedangkan sebuah lagi pertubuhan dipaksa berbuat demikian pada saat-saat akhir. Di Cambridge juga menyaksikan tekanan sedemikian. Kami ingin mengucapkan tahniah kepada pihak universiti yang meneruskannya dan mahasiswa kerana hadir di sebalik sikap Jabatan Pelajar Malaysia.
Di Malaysia, perkara ini mungkin tidak mengejutkan kerana mahasiswa dan ahli akademik diikat dengan beberapa undang-undang, peraturan-peraturan dan tekanan politik oleh pihak berkuasa.

Namun, untuk menguatkuasakan tekanan stail-Malaysia di sebuah universiti asing hanya mencemarkan nama baik dan reputasi kita kepada mata dunia. Ironisnya, pada Januari 2007, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membuka sebuah bilik Malaysia "di mana pengajian, perbincangan dan perdebatan mengenai Malaysia boleh dilakukan". Namun, dua bulan kemudian, Jabatan Pelajar Malaysia tidak menunjukkan penghormatan yang sama kepada sebuah perbincangan yang dipimpin oleh seorang tokoh yang cukup dihormati di Malaysia yang pernah bersyarah di universiti-universiti Oxford, John Hopkins dan Georgetown.

Pihak kerajaan, korporat dan ibu bapa menghantar mereka ke luar negara untuk mendedahkan mereka kepada dunia dan memajukan pemikiran mereka untuk menyumbang semula terhadap pembangunan negara. Pengajian, perbincangan dan perdebatan hanya boleh dilakukan apabila pandangan dan pendapat yang berbeza didengari. Sebaliknya, kerajaan memilih untuk meneruskan budaya takut di negara luar, sehinggakan menjadi sesuatu yang pastinya nampak lucu dan menarik oleh rakyat-rakyat luar, dan sesuatu yang memalukan negara kita.

Memandangkan ini tahun ke 50 kemerdekaan kita, bayangkan sekiranya Dato' Onn Jaafar, Tun Razak Hussein dan Tunku Abdul Rahman al-Hajj dahulu disekat daripada terlibat dengan aktiviti mahasiswa di Britain. Adakah mereka akan muncul pemimpin gerakan kemerdekaan negara tanpa pendedahan tersebut?

Kami menyeru Jabatan Pelajaran Malaysia untuk menyedari semula peranan asal mereka memperbaiki kebajikan dan kecemerlangan mahasiswa Malaysia.

NIK NAZMI NIK AHMAD
Pembantu Khas Datuk Seri Anwar Ibrahim

0 Comments:

Post a Comment

<< Home