SepangOnline

Monday, March 12, 2007

Pembelian RHB Jejas Hidup Bermilion-milion Rakyat

oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat

Pembelian kumpulan perbankan RHB oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menimbulkan kebimbangan ramai pihak memandangkan kebajikan 9 milion orang adalah dalam tangan KWSP.

Perkara ini harus dilihat dari segi fungsi semulajadi kewujudan KWSP, pengalaman KWSP dalam industri perbankan, prinsip asas pelaburan dan dasar perbankan negara.
Pertamanya, pembelian RHB oleh KWSP akan mengalihkan peranan asal KWSP sebagai pengurus dana yang seharusnya memastikan pulangan kepada ahli-ahlinya dalam jangka masa panjang kira-kira 25 hingga 30 tahun.

Pada tempoh awal penubuhan KWSP sekitar tahun 50an, KWSP telah ditetapkan untuk melabur 70% asetnya dalam sekuriti atau bon kerajaan. Ini jelas memperlihatkan sifat semulajadi KWSP yang konservatif.

Bermula dari tahun 80an, bon kerajaan berkurangan apabila dasar penswastaan diperkenalkan dan ini menyebabkan KWSP terpaksa mengalihkan pelaburannya ke dalam ekuiti. Walau bagaimanapun, KWSP tetap kekal sebagai pelabur yang pasif.

Namun sejak tahun 90an, pelaburan KWSP dalam bon kerajaan telah berkurangan kepada kira-kira 30% manakala pelabuhan ekuiti telah meningkat dari 2% pada tahun 1990 kepada 2005 pada tahun 19%.

Sebagai sebuah badan pengurus dana yang normal, KWSP tidak seharusnya memiliki lebih daripada 10% dalam pelaburan ekuiti. Adalah penting bagi KWSP kekalkan fungsinya semata-matanya melabur dan bukan terlibat dalam pengurusan mana-mana syarikat.

Selain itu, pelaburan KWSP dalam ekuiti sering menghadapi kegagalan atau mengalami kesukaran dalam tahun-tahun kebelakangan ini, antaranya kerugian teruk dalam pelaburan Malaysia Building Society Berhad (MBSB).

Maka mengambilalih kumpulan perbankan tanpa pengalaman perbankan adalah keputusan yang tidak wajar. Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Azlan Zainol sendiri pun mengakui bahawa KWSP tidak mempunyai kepakaran dalam industri perbankan.

Pembelian United Malayan Banking Corporation (UMBC) oleh Sime Darby pada tahun 1995 telah membuktikan gagal. Beban hutang UMBC selama ini kemudian dipindahkan kepada syarikat penanaman tersebut dan seterusnya ditanggung oleh kumpulan perbankan RHB selepas pergabungan kedua-dua buah bank tersebut pada tahun 1998.

Kini hutang tanggungan kumpulan perbankan RHB mencecah RM 3.4 bilion pada Ogos 2006 dan dijangka akan ditanggung oleh KWSP kelak.

Apa yang perlu ditegaskan ialah meskipun KWSP dapat mengawal RHB melalui pemilikan ekuiti, namun KWSP masih tidak berkeupayaan untuk menguruskan kumpulan perbankan tersebut dengan beban hutang yang begitu besar.

Dari segi prinsip asas pelaburan, adalah lebih baik untuk melabur dalam pelbagai jenis pelaburan sekiranya ditinjau dari kaca mata pelabur,. Namun dengan 75% kepentingan di dalam RHB, KWSP tidak akan dapat bertindak adil terhadap bank lain dan ini akan meningkatkan risiko KWSP.

Khalid yang juga bekas CEO Guthrie mencadangkan agar KWSP mencontohi prinsip dan cara pelaburan Warren Edward Buffett, seorang pelabur berjaya dan orang kedua paling kaya dalam dunia. Pendekatan utama Buffet adalah melabur dalam sekuriti bernilai rendah yang menjaminkan pulangan dan tidak campurtangan dalam pengurusan syarikat. Ini membolehkan KWSP melakukan penjualan atau pertukaran ekuiti tanpa sebarang ikatan.

Sekiranya kerajaan benar-benar ingin mengurangkan jumlah bank dalam negara untuk meningkatkan persaingan di peringkat antarabangsa berlandaskan dasar perbankan negara, kerajaan tidak seharusnya menggunakan KWSP untuk matlamat ini.

Pembelian RHB oleh KWSP tidak akan mengurangkan jumlah bank dalam negara ini. Kerajaan seharusnya melalui Bank Negara mengarahkan mana-mana bank dalam negara untuk bergabung dengan kumpulan perbankan RHB seperti yang berlaku pada awal 90an bagi mencapai matlamat tersebut.

Sesungguhnya jikalau kerajaan berkeras kepala ingin menggunakan KWSP untuk membeli RHB, nescaya tindakan ini akan menjejaskan hidup bermilion-milion rakyat Malaysia.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home