Memorandum Desakan Dedah Perjanjian Konsesi Tol
Tujuan pembinaan lebuhraya secara asasnya adalah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan di negara kita. Dengan keadaan itu faedah lebuhraya seharusnya memberikan kemudahan dan kesenangan kepada rakyat agar proses perjalanan mereka menjadi lebih baik dan urusan-urusan dapat berjalan dengan lebih lancar dan cepat. Namun begitu pembinaan lebuhraya di Malaysia telah menjadi mimpi ngeri kepada pengguna kerana kadar tol yang membebankan dan juga dicurigai menjadi lubok kepada 2-3 kerat manusia yang mengaut keuntungan dan faedah yang melampau melalui perjanjian-perjanjian konsesi lebuhraya yang berat sebelah dan tidak menguntungkan rakyat. Perkara ini sedikit sebanyak telah didedahkan dengan penemuan pemimpin pembangkang terhadap perjanjian konsesi tol lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan AMK baru-baru ini berkaitan dengan kadar tol dalam perjanjian konsesi Lorong SMART telah menimbulkan beberapa perkara yang masih tidak dijawab oleh pihak tuan: 1. Pihak Menteri Kerjaraya masih gagal mengesahkan kewujudan perjanjian konsesi lorong SMART sepertimana yang didedahkan oleh AMK pada sidang akhbar 28 Februari 2007. 2. Apakah kadar tol Lorong Smart yang rasmi? Mengikut salinan perjanjian yang kami terima kadar tol bagi lorong tersebut adalah RM 2.00. 3. Jika kadar itu dikurangkan - dari manakah kerajaan akan mendapatkan subsidi untuk menampung kos yang telah dipersetujui ? 4. Adakah perjanjian tol boleh di klasifikasikan sebagai OSA sehingga menghalang pihak awam mengetahuinya ? 5. Apakah pihak Menteri Kerja Raya mempunyai kepentingan dengan perjanjian ini sehingga sanggup menggadaikan kepentingan rakyat ? Dato' Seri S Samy tidak lagi perlu bermain dengan kata-kata untuk menutup kecurigaan yang berlegar berkaitan perjanjian konsesi tol lebuhraya dengan mengaitkan perjanjian tersebut kepada kabinet mahupun undang-undang Akta Rahsia Rasmi (OSA). Dua pendedahan berkaitan isi perjanjian Tol Lebuhraya Smart dan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), yang dibuat oleh AMK dan pimpinan pembangkang sebelum ini telah menyingkap sedikit sebanyak isi perjanjian yang jelas tidak memberikan keuntungan kepada rakyat mahupun kerajaan. Malangnya Dato' Seri S Samy Vellu sebagai Menteri Kerja Raya yang seharusnya bertanggungjawab atas isu yang dibangkitkan tidak menjawab isu yang timbulkan. Sebaliknya beliau telah membuat ugutan melalui OSA dan juga mengelak soalan wartawan dengan mengaitkan keputusan kabinet atas persetujuan perjanjian. Pihak kami juga menuntut janji Menteri Kerja Raya supaya segera mendeklasifikasikan kesemua perjanjian tol yang sehingga kini masih tidak dimaklumkan kepada masyarakat. Pendedahan perjanjian tersebut amat penting untuk memastikan agar proses "check & balance" benar-benar berlangsung dalam sistem demokrasi Malaysia. Malahan perjanjian tersebut melibatkan wang rakyat yang banyak -- dengan kewajipan mereka membayar tol setiap kali melalui lebuhraya. Sekian, Terima Kasih. Angkatan Muda Keadilan Parti Keadilan Rakyat www.amk.keadilanrakyat.org |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home