Masalah perumahan penduduk: Cari jalan keluar terbaik bukan dengan cuba membunuh penduduk
oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Pengerusi KeADILan Selangor Parti Keadilan Rakyat Negeri Selangor mengecam keras tindakan keras pihak polis dan pihak berkuasa tempatan ke atas penduduk-penduduk Kampung Berembang, Ampang dan Kampung Rimba Jaya, Shah Alam ketika operasi merobohkan rumah mereka. Ini sebenarnya mencerminkan sikap dan pemikiran kerajaan Barisan Nasional Selangor yang menganggap mereka memiliki pihak berkuasa dan boleh diperalatkan sewenang-wenangnya. Tindakan pihak polis menuduh Tian Chua dengan dakwaan cuba membunuh adalah satu langkah yang sama sekali tidak masuk akal. Bagaimana Tian Chua yang bersama penduduk Kampung Berembang yang cuba menghalang rumah mereka daripada dirobohkan boleh didakwa cuba membunuh anggota polis yang lengkap bersenjata? keADILan Selangor berpendapat bahawa tindakan merobohkan rumah penduduk yang tidak mempunyai tempat tinggal lain adalah satu percubaan membunuh mereka atau sekurang-kurangnya membunuh kehidupan mereka. Kehidupan mereka sudah tentu akan menghadapi masalah dan tekanan apabila rumah tempat tinggal mereka dimusnahkan. Memaksa mereka berpindah ke tempat lain yang terlalu jauh daripada rumah asal akan menyebabkan mereka sukar untuk meneruskan pekerjaan sedia ada. keADILan Selangor menganggap tindakan polis dan pihak berkuasa tempatan yang terlibat mengusir penduduk dan memusnahkan rumah-rumah penduduk bagi pihak pemaju adalah satu perkara yang menimbulkan kebimbangan. Apakah para penguatkuasa dan pekerja Majlis Perbandaran telah dibayar oleh pemaju untuk melakukan kerja bagi pihak mereka? Sekiranya ini berlaku, bermakna pihak berkuasa tempatan dan kerajaan Barisan Nasional Selangor sendiri adalah organisasi yang boleh dibeli dan diupah untuk melakukan kerja-kerja tertentu syarikat. Kemungkinan selepas ini penduduk Selangor yang diancam keselamatan mereka oleh pihak-pihak ini akan terpaksa mengupah orang untuk mendapat perlindungan bagi diri mereka dan rumah mereka daripada dimusnahkan. Ini adalah satu perubahan kepada cara hidup yang tidak sewajarnya dan mengancam masa depan rakyat dan negeri Selangor. Justeru keADILan Selangor menggesa kerajaan Selangor untuk mencari jalan keluar terbaik kepada masalah perumahan yang dihadapi rakyat ini. Perundingan dan konsultasi dengan penduduk dan organisasi-organisasi masyarakat adalah satu prasyarat penting kepada usaha ini. Matlamat setinggan sifar tidak mungkin dicapai semata-mata dengan memusnahkan rumah-rumah penduduk tanpa menyediakan rumah alternatif yang berhampiran dengan rumah asal mereka bagi membolehkan penduduk terlibat meneruskan kehidupan seperti biasa. Sekiranya Barisan Nasional Selangor enggan melaksanakan pendekatan manusiawi ini, maka sebenarnya mereka membunuh penghidupan rakyat Selangor. Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Selangor (Sebarang pertanyaan, sila hubungi Koordinator Media Ginie Lim 012-6693453) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home