SepangOnline

Wednesday, March 28, 2007

Sekolah kluster tidak jamin kecemerlangan pendidikan


KUALA LUMPUR, 27 Mac (Hrkh) - Usaha mewujudkan sekolah kluster tidak akan memperbaiki keadaan pendidikan negara seluruhnya malah akan melebarkan lagi jurang antara sekolah bersifat eksklusif dan elitis itu dengan sekolah-sekolah terbiar dan mundur, kata Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali.

"Dengan curahan wang yang banyak, penumpuan alat yang baik dan guru serta penuntut yang terpilih, sekolah-sekolah tersebut mungkin boleh mencapai kecemerlangan; akan tetapi ia tidak menjanjikan sistem pendidikan negara akan dipertingkatkan mutunya secara keseluruhan," kata Syed Husin dalam satu kenyataannya.

Bekas Prof Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya itu juga mengingatkan bahawa kewujudan 300 buah sekolah kluster tidak mampu memperbaiki imej sistem pendidikan negara yang semakin bobrok. Menurutnya, mutu pendidikan kini bertambah merosot dengan jurang taraf sekolah, peralatan serta guru, semakin melebar antara kawasan maju dengan mundur; manakala polarisasi kaum pula semakin ketara antara sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan.

"Sejauh manakah peluang terbuka kepada murid-murid dari sekolah-sekolah kampung, estet atau kawasan 'setinggan' untuk memasukinya?

"Selain itu, tidak ada jaminan bahawa pemilihan guru serta murid akan mencerminkan komposisi kaum, sebaliknya ia mungkin menguatkan lagi polarisasi kaum di kalangan sekolah-sekolah," tegasnya.

Menteri Pendidikan, Dato' Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan sekolah kluster atau kelompok sekolah cemerlang (KSC) akan diperkenalkan hujung bulan ini.

Menurut Hishamuddin, salah satu tujuan sekolah kluster diwujudkan adalah untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan setaraf negara maju.

Syed Husin menambah, Pengerusi Lembaga Penasihat Kluster Kecemerlangan menegaskan kejayaan sekolah cemerlang banyak bergantung kepada guru besar.

"Tidak jelas apakah asas dan cara pemilihan mereka (guru besar dibuat). Lembaga Penasihat yang dipilih Menteri Pendidikan nampaknya terdiri daripada 10 orang yang mudah diterima oleh pihak menteri dan kerajaan.

"Jikalau tidak kuat menyokong kerajaan pun, mereka sekurang-kurangnya tidak terkenal kerana berani mengkritik secara terbuka dasar-dasar kerajaan yang buruk," ujar beliau.

Bekas mahaguru sains politik itu juga bimbang pemilihan guru besar sekolah kluster itu bakal dipengaruhi faktor seperti hubungan politik parti dan kaum.

"Kami menyeru supaya mereka yang dipilih hendaklah mencerminkan kebolehan serta kecekapan tinggi.

"Pemilihan mereka hendaklah atas asas merit dan bilangan mereka perlu mencerminkan juga komposisi kaum.

"Jikalau tidak, ia akan menimbulkan pelbagai masalah politik dan sosial yang tidak sihat," tegas beliau.

Dr Syed Husin juga mempertikaikan 'kuasa autonomi' yang bakal diberikan kepada sekolah kluster dan guru besar dalam menguruskan pengutipan dana, pemilihan serta latihan guru dan kakitangan, pengajaran serta pembelajaran, penilaian dan peperiksaan.

Kuasa autonomi yang diberikan kepada sekolah kluster, ujarnya seolah-olah lebih luas daripada universiti-universiti awam sekarang.

"Kelihatan semacan sekolah kluster ini seperti sekolah yang diswastakan tetapi kepada guru besar yang terpilih.

"Kebebasan yang tidak terbatas dan kekurangan pengawasan boleh mengakibatkan masalah-masalah yang sepatutnya mesti dielakkan seperti korupsi, pembaziran, pilih kasih, kronisme dan sebagainya," tegas beliau.

Syed Husin menyarankan agar mekanisme yang ketat serta tegas untuk mengawal perkara-perkara di atas daripada berlaku diwujudkan selain berupaya mengambil tindakan cepat dan berkesan ke atas mereka yang melakukannya.

"Tidak ada perlunya bertindak terburu-buru. Kerajaan, Kementerian dan Lembaga Penasihat perlu mengkaji segala aspek dan masalah berkaitan sekolah kluster ini sebelum melancarkannya," ujar beliau.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home