SepangOnline

Wednesday, March 07, 2007

PM tidak kotakan janji, gagal dan tidak bertanggungjawab
Oleh Nyza Ayob
Wed | Mar 07, 07 | 10:00:42 AM

KUALA LUMPUR, 7 Mac(Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi tidak mempunyai ketegasan serta tidak dapat mengotakan janjinya sebagai seorang PMuntuk membersihkan dan mengembalikan integriti beberapa institusi dalam kerajaan.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub menegaskan kenyataan Abdullah bahawa beliau mengambil sikap lebih berwaspada bagi mengawasi perlakuan penjawat-penjawat awam kanan, supaya tidak terlibat dalam sebarang kesalahan moral dan jenayah adalah tidak bertanggung jawab, tiada ketegasan serta tidak menampakkan kesungguhannya untuk mengembalikan integriti tersebut.

Beliau merujuk kepada kes Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Mohd Johari Baharom dan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dato' Zulkipli Mat Noor yang terlibat dalam tuduhan rasuah dan jenayah

Menurut Salahuddin, jika benar Abdullah bersungguh mengembalikan integritinya Abdullah tidak seharusnya mengekalkan mereka dalam jawatannya.

"Bagi seorang penjawat awam seperti Ketua Pengarah BPR yang melibatkan kes rasuah dan jenayah, siapa yang akan siasat beliau? Sebab itu kita mendesak Abdullah supaya menggantung jawatannya sehingga kes beliau selesai. Selepas penggantungan, barulah pegawai BPR dapat menyiasat beliau.

"Begitu juga dengan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Selepas penggantungan, barulah siasatan dapat dilakukan. Jika mereka tidak didapati bersalah, barulah jawatan mereka itu dikembalikan," katanya.

Pemangku Ketua Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mat Akin sewaktu dihubungi Harakahdaily menegaskan kenyataaan Abdullah bahawa kerajaan mempunyai sikap kewaspadaan dalam membanteras rasuah di kalangan pegawai dan pemimpinnya tidak memberi kesan kepada masyarakat.

Ini kerana katanya, sebelum ini Abdullah mengeluarkan kenyataan terlebih awal sewaktu memenangi pilihan raya 2004 bahawa beliau komited untuk memerangi rasuah serta mengambil tindakan mendakwa beberapa orang yang terlibat dengan rasuah ini.

Katanya, tidak ada lagi usaha untuk memperketatkan akta pencegahan rasuah serta tindakan awal terhadap 18 orang yang terlibat dengan rasuah tidak dikenakan tindakan susulan.

"Abdullah sendiri tidak menjawab tuduhan rasuah yang dilakukan oleh anak dan menantunya sedangkan kita telah membuat laporan polis terhadap berhubung isu itu.

"Jika Abdullah sendiri mengatakan harus berwaspada terhadap pegawai kanan, sepatutnya beliau harus menujukan kenyataan itu kepada para menteri dengan tindakan mereka. Menteri-menteri ini yang menjadi pemimpin dan penjawat awam inilah yang mengikuti langkah pemimpin,", katanya.

Kenyataan Abdullah itu katanya, tidak menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan komited untuk membanteras rasuah.

Shamsul juga tidak menolak tindakan Abdullah itu merupakan strategi terakhir kerajaan Barisan Nasional untuk mengumukan tarikh pilihan raya.

Justeru katanya, beliau menyeru rakyat supaya tidak tertipu dengan PM, khususnya mana-mana ketua jabatan yang ingin menyumbang kepada negara menggunakan saluran yang betul. - mr

0 Comments:

Post a Comment

<< Home