Wan Nordin dan Intan Abdullah Wed | Mar 07, 07 | 05:40:08 AM | |
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Dalam jangka masa dua minggu sahaja, dua kes besar yang membabitkan dua nama besar dalam soal menjaga integriti serta keselamatan negara membuatkan 'negara kini berada dalam situasi yang membimbangkan. Pertamanya kes membabitkan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dato' Seri Zulkipli Mat Nor yang dikaitkan dengan skandal seks dan rasuah dan kemudiannya Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), Dato' Johari Baharom dalam kes menggunakan kuasa membebaskan tiga penjenayah dari Ordinan Darurat (OD) dengan dakwaan terdapatnya unsur-unsur rasuah dalam keputusan pembebasan. Terdahulu sebelum kes Johari meniti di bibir media, seorang pegawai berjawatan tinggi dalam institusi polis telah mengeluarkan satu kenyataan untuk mendedahkan nama orang-orang tertentu yang terlibat dalam menghalang polis menjalankan siasatan sehingga ia gagal untuk dilaksanakan. Akhirnya isu tersebut didedah oleh sebuah laman weblog yang menjadi tumpuan utama termasuk pihak polis yang mahu menyiasat laman web tersebut kerana mendedahkan isu membabitkan Johari ini. Namun dua individu ini masih bebas dan menjawat jawatan utama di bawah kepimpinan Dato'Seri Abdullah Ahmad Badawi yang kelihatan membisu tanpa sebarang usaha menyelesaikan krisis besar ini. Mengulas isu ini,Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, rakyat melihat dua krisis yang berlaku di bawah pentadbiran Abdullah ini memuncak bilamana dalam kes pembebasan dua penjenayah dari OD membawa rakyat kepada ketidakyakinan dengan soal keselamatan negara. "OD ini termasuk dalam akta rimba yang perlu dihapuskan dan PM perlu ambil perhatian kerana OD ini hanya kuasa menteri sahaja yang berhak membebaskan kerana ianya satu akta yang menahan penjenayah tanpa bicara sama macam ISA.Keadaan ini membuka ruang kepada unsur-unsur rasuah dan salah guna kuasa. "Dalam hal ini mungkin ada di antaranya berlakunya 'demand' atau tawar menawar antara pesalah dan orang yang ada kuasa.Semua yang pernah menjawat jawatan ini perlu disiasat kerana, ini premis subur untuk berlakunya salah guna kuasa dan ini satu lubuk kepada rasuah," katanya kepada wartawan semasa mengadakan sidang media selepas menemui Setiausaha Sulit kepada PM, Dato' Osman Desa di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya semalam. Wajib rakyat label Johari sebagai 'pengkhianat' Dalam pada itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa kerajaan agar mengadakan siasatan yang lebih terperinci terhadap 'validity' OD yang telah memberi kuasa kepada Dato' Johari Baharum berhubung tindakan beliau membebaskan tiga suspek yang terlibat dengan jenayah dengan rasuah sebanyak RM5 juta. Menurut beliau jika hasil siasatan tersebut membuktikan kesalahan mereka (Johari Baharum), maka ia akan menjadi isu keselamatan negara, sebagaimana pihak yang berkuasa menjaga keselamatan negara boleh menjadikan urusan keselamatan negara sebagai urusniaga bagi menetapkan harga yang paling tinggi. Mengulas perkara yang sama, Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin yang juga seorang peguam berkata, jika siasatan mendapati benar dakwaan ke atas Johari ini maka wajib bagi rakyat melabel Johari sebagai 'pengkhianat' kerana telah menggunakan kedudukannya membebaskan penjenayah dan sekaligus menjual keselamatan negara. "Saya juga telah kemukakan maklumat dari 'free web' itu kepada Osman Desa.Dalam pendedahan itu tiga nama yang spesifik mengenai penjenayah dan Johari sendiri mengakui membebaskan tiga penjenayah itu.Hari ini kita cabar polis dedahkan apa alasan yang mereka ini dibebaskan, kalau kita tengok dalam laman web itu terlalu teliti tuduhannya sehinggakan wang yang terlibat dalam taruhan itu disebut jelas," katanya. Sambil menyifatkan isu ini satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan Samsul mendesak Osman Desa menyatakan kepada PM bahawa jika 50 peratus bukti yang dikatakan dalam web itu benar, satu tindakan tegas perlu diambil oleh PM. Dalam hal yang sama, seorang peguam, Latheefa Koya pula berkata OD adalah sama kaedahnya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mana menahan mana-mana individu tanpa bicara. Dalam hal ini penjenayah boleh dibebaskan dengan kuasa menteri dan tindakan itu boleh dicurigai kerana kemungkinan untuk berlakunya 'perjanjian' antara penjenayah dengan pihak berkuasa untuk melepaskan diri adalah tinggi, katanya. Justeru dalam hal ini OD dan ISA perlu dihapuskan kerana ianya melanggar 'basic justice prosedure' yang sepatutnya digunakan untuk mendakwa, menghukum penjenayah atau mereka yang didakwa bersalah, ujarnya. Gerakan rakyat akan menyusul jika Abdullah terus berdiam diri Sementara itu, Salahuddin yang mengulas sikap berdiam diri Abdullah dalam dua isu membabitkan nama besar dalam negara ini berkata, Pemuda Barisan Alternatif (BA) sangat kecewa dengan sikap membisu Abdullah. "Jika Abdullah tidak melakukan tindakan tegas dan konkrit, saya beri beliau tempoh satu minggu, dan jika tidak menjawab atau menggantung jawatan dua individu ini kita akan gerakkan rakyat untuk menyatakan bantahan besar kepada kepimpinan PM,"katanya lagi. Selain itu Salahuddin juga akan membawa menggunakan kedudukannya sebagai ahli Parlimen untuk membawa isu Zulkipli dan Johari ini dalam Parlimen melalui usul 18 (1) dan usul menjunjung kasih ucapan DYMM Yang DiPertuan Agong dalam sidang Parlimen yang bermula 19 Mac ini. Ordinan Darirat adalah satu ordinan yang membenarkan seseorang ditahan tanpa bicara seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, Akta Pencegahan Dadah, Special Prevention Measures 1985 dan sebagainya. Ia merupakan undang-undang yang telah digubal pada tahun 1969 semasa negara mengalami darurat. Ketika itu, segala proses penggubalan tersebut tidak dibuat melalui parlimen. Apabila ia tidak melalui proses penggubalan di perlimen, maka secara tidak langsung ia tidak ada perbahasan bagi meneliti kesan baik buruk sesebuah ordinan atau akta itu. Ia menjadi suatu kehairanan apabila undang-undang zaman dharurat ini imasih terpakai pada zaman era teknologi maklumat ini. Ia digunakan bagi mengawal keselamatan dan keamanan negara seperti dalam kes kongsi gelap dan pemberontak. Pada tahun 2005, Suruhanjaya Siasatan Polis DiRaja Malaysia telah mengusulkan pemansuhan Ordinan Darurat ini disebabkan undang-undang itu telah menyalahi fungsi yang telah ditetapkan dan menyalahi kebebasan secara prinsip. Namun, ia hanyalah merupakan satu cadangan untuk dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Hujahnya adalah ia digubal pada zaman dharurat maka oleh yang demikian ia telah dikira tidak boleh digunakan lagi dalam peredaran masa yang telah tidak berada dalam kekangan waktu tersebut. Kebiasaannya, apabila ada kes yang dikemukakan oleh pihak polis, pihak kementerian mempunyai kuasa untuk membebaskan tahanan terbabit. Apabila seseorang itu ditahan polis di bawah ordinan darurat, ia tidak mempunyai hak untuk membela diri, dan tidak boleh dibicarakan di mahkamah sekalipun. Lalu, di sinilah permulaan bagi gejala rasuah dalam polis. Tahanan akan melakukan apa sahaja bagi melepaskan diri termasuklah merasuah. Kerajaan dilihat tidak serius dalam memansuhkan OD ini. Kerajaan sepatutnya bertindak secara efektif apabilan mendapat usul daripada IPCMC, kata Koordinator Suaram, S.Arutchelvan. Kerajaan salah guna OD Menurut beliau, penyelesaian kepada permasalahan ini adalah pemansuhan ordinan ini daripada terus disalahgunakan. Ini adalah kerana terdapat undang-undang lain yang boleh menggantikan ordinan yang sudah tidak relevan dengan masa dan tidak menepati keperluan masakini. "Namun, apa yang dikesali ialah pihak polis dan kerajaan telah menyalahgunakan ordinan ini bagi memudahkan kerja mereka tanpa perlu menjalankan siasatan yang sepatutnya dilakukan apabila mereka tidak mempunyai bukti dan maklumat bagi menyelesaikan sesuatu kes," ujar beliau dengan panjang lebar lagi. Justifikasinya pihak polis dan orang-orang tertentu telah menggunakan OD ini untuk kepentingan mereka . Suaram pula, dalam kenyataan mereka mendedahkan bahawa setakat ini, seramai 700 orang telah ditahan di bawah OD berbanding 89 orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). - mks. |
Wednesday, March 07, 2007
Ordinan Darurat 'lubuk rasuah', Johari 'pengkhianat' negara
0 Comments:
Post a Comment
<< Home