SepangOnline

Wednesday, March 07, 2007

Memo kepada Ketua BPR - 'Ikan busuk bermula di kepala'
Pemuda BA, Gerak, Impak
Wed | Mar 07, 07 | 09:36:00 AM

Pemuda Barisan Alternatif (BA), Gerakan Demokrasi dan anti Korupsi (GERAK) & Institut Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK) memandang serius pendedahan yang dibuat oleh Gerakan Demokrasi & Anti Korupsi (GERAK) pada 26 Februari 2007 yang lepas, di mana pendedahan tersebut berikut satu tuduhan serius yang membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dato' Seri Zulkifli Mat Noor.

Pendedahan yang dibuat oleh Mohamad Ezam Mohd Nor, Pengerusi GERAK yang berasaskan kepada dakwaan yang dibuat dalam satu laporan yang dibuat tahun lalu oleh bekas pegawai BPR, Mohamad Ramli Manan kepada Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Mohd Bakri Omar.

Di dalam pendedahan tersebut, antara lain mendedahkan dakwaan amalan rasuah yang dilakukan oleh beliau, di mana seawal 1997, tatkala beliau menjawat jawatan Ketua Polis Johor, BPR telah dimaklumkan yang beliau memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya, dimana beliau didakwa mempunyai hampir 6 buah rumah di Pagoh, yang mana pastinya tidak bersesuaian dengan pendapatan beliau sebagai penjawat kanan jawatan di dalam sektor kerajaan.

Lebih memualkan, apabila turut didakwa yang beliau juga terbabit di dalam satu jenayah seksual berikutan 3 laporan polis yang dibuat oleh seorang surirumah.

Zulkipli juga didakwa melakukan ancaman dan kekerasan jenayah terhadap surirumah terbabit lantaran laporan awal yang dibuat oleh surirumah tersebut.

Tambah mengejutkan apabila Zulkipli turut mencampuri urusan siasatan polis apabila saksi yang terlibat di dalam prosedur siasatan kes terbabit diancam supaya tidak bekerjasama dalam siasatan yang dijalankan.

Apa yang mengecewakan kami ialah setelah lebih daripada seminggu isu ini dibangkitkan, Zulkipli masih lagi berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa inisiatif untuk mengundurkan diri atas rasa kebertanggungjawaban atas permasalahan dan pertuduhan yang dibangkitkan.

Sewajarnya beliau mengambil tindakan untuk berundur daripada menjawat jawatan Ketua Pengarah BPR,dalam keadaan kita menyeru rakyat supaya tegar dengan amalan akauntabiliti dan pemupukan budaya integriti.

Senario seumpama ini mencemarkan integriti BPR dalam usaha untuk mencegah budaya dan amalan rasuah di kalangan rakyat, kerana yang kekal terpalit adalah imej BPR sendiri apabila ketuanya sendiri terlibat dalam pelbagai dakwaan salah laku dari pengamalan rasuah sehinggalah jenayah seksual. Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, kami, Pemuda Barisan Alternatif (BA), Gerakan Demokrasi dan anti Korupsi (GERAK) & Institut Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK) mendesak Ketua Pengarah BPR:

i. Agar mengambil inisiatif meletakkan jawatan sementara sebagai memberi laluan kepada siasatan agar dijalankan dengan rapi dan telus;

ii. Dalam masa yang sama juga Zulkipli perlu mengambil inisiatif untuk mendedahkan semua penyiasatan kes-kes rasuah yang berada di bawah jagaan beliau termasuklah 18 kes berprofil tinggi sebagai mana yang pernah diwar-warkan oleh Dato' Seri Utama Rais Yatim, Menteri Kebudayaan Kesenian dan Warisan tatkala beliau menjawat jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dahulu.

Ini adalah penting untuk diketahui rakyat secara keseluruhannya kerana ianya melibatkan maruah dan integriti kerajaan dalam usaha memupuk ketelusan perkhidmatan yang diwar-warkan oleh kerajaan sendiri; dan

Kami turut mendesak agar status kes Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan juga Dato' Seri Rafizah Abdul Aziz didedahkan kepada umum setelah sekian lamanya diperam oleh kerajaan dan BPR.

Kami kekal menegaskan bahawa adalah amat malang bagi BPR sendiri kerana sekadar berdiam diri dalam mengembalikan keyakinan rakyat tanpa mengambil serius ke atas desakan-desakan yang telah digariskan sebelum ini.

Dakwaan-dakwaan ini adalah begitu serius dan Zulkipli Mat Noor harus bertindak segera kerana imej beliau sebagai orang nombor satu BPR akan turut menggambarkan imej BPR secara keseluruhannya.

Pepatah Cina yang dipopularkan oleh Tun Ling Liong Sik, bekas Presiden MCA, 'busuknya ikan itu bermula daripada kepala', wajar menjadi iktibar kepada Ketua Pengarah BPR ini.

Kami mendesak agar bantahan ini dipandang serius.

6 Mac 2007

YB SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

SHAMSUL ISKANDAR MD AKIN
Pemangku Ketua Angkatan Muda PKR

MOHAMED EZAM MOHD NOR
Pengerusi Gerakan Demokrasi dan anti Korupsi (GERAK)

MAHFUZ OMAR
Pengerusi Institut Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home