SepangOnline

Wednesday, March 28, 2007

ekolah Kluster Tidak Menjamin Kecemerlangan Pendidikan

Menteri Pendidikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan Sekolah Kluster atau Kelompok Sekolah Cemerlang (KSC) akan diperkenalkan hujung bulan ini. Mengikutnya, salah satu tujuan sekolah ini ialah untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan setaraf negara maju.

Memang diketahui umum sekarang ini secara keseluruhan sistem pendidikan semakin bobrok. Mutu pendidikan bertambah merosot. Jurang taraf sekolah, peralatan serta guru, semakin melebar antara kawasan maju dengan mundur. Polarisasi kaum pun semakin ketara antara sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan. Menaikkan mutu hanya 300 buah Sekolah Kluster tidak akan memperbaiki keadaan pendidikan negara seluruhnya. Dengan curahan wang yang banyak, penumpuan alat yang baik dan guru serta penuntut yang terpilih, sekolah-sekolah tersebut mungkin boleh mencapai kecemerlangan. Akan tetapi ia tidak menjanjikan sistem pendidikan negara akan dipertingkatkan mutunya secara keseluruhan.

Sekolah Kluster ini merupakan sekolah yang eksklusif serta elitis. Ia pasti menambah lebarkan lagi jurangnya dengan sekolah-sekolah terbiar di kawasan mundur. Sejauh manakah peluang terbuka kepada murid-murid dari sekolah-sekolah kampung, estet atau kawasan “setinggan” untuk memasukinya? Selain itu, tidak ada jaminan bahawa pemilihan guru serta murid akan mencerminkan komposisi kaum. Sebaliknya ia mungkin menguatkan lagi polarisasi kaum di kalangan sekolah-sekolah.

Pengerusi Lembaga Penasihat Kluster Kecemerlangan menegaskan kejayaan sekolah cemerlang banyak bergantung kepada Guru Besar. Tidak jelas apakah asas dan cara pemilihan mereka. Lembaga Penasihat yang dipilih Menteri Pendidikan nampaknya terdiri dari 10 orang yang mudah diterima oleh pihak menteri dan kerajaan. Jikalau tidak kuat menyokong kerajaan pun, merek sekurang-kurangnya tidak terkenal kerana berani mengkritik secara terbuka dasar-dasar kerjaan yang buruk.

Kami sangat bimbang pemilihan Guru Besar akan terpengaruh juga oleh faktor seperti hubungan politik parti dan kaum. Kami menyeru supaya mereka yang dipilih hendaklah mencerminkan kebolehan serta kecekapan tinggi. Pemilihan mereka hendaklah atas asas merit dan bilangan mereka perlu mencerminkan juga komposisi kaum. Jikalau tidak, ia akan menimbulkan pelbagai masalah politik dan sosial yang tidak sihat.

Sekolah Kluster dan Guru Besar diberikan semacam “autonomi” untuk menguruskan pengutipan dana, pemilihan serta latihan guru/kakitangan, pengajaran serta pembelajaran, penilaian serta peperiksaan. Seolah-olah “autonomi” yang diberikan kepada mereka lebih luas daripada yang ada pada universiti-universiti awam sekarang.

Kelihatan semacan Sekolah Kluster ini seperti sekolah yang diswastakan tetapi kepada Guru Besar yang terpilih. Kebebasan yang tidak terbatas dan kekurangan pengawasan boleh mengakibatkan masalah-masalah yang sepatutnya mesti dielakkan, seperti korupsi, pembaziran, pilih kasih, kronisme dan sebagainya.

Hendaklah diwujudkan mekanisme yang ketat serta tegas untuk mengawal perkara-perkara ini dari mudah berlaku, selain boleh mengambil tindakan cepat dan berkesan ke atas mereka yang melakukannya.

Tidak ada perlunya bertindak terburu-buru. Kerajaan, Kementerian dan Lembaga Penasihat perlu mengkaji segala aspek dan masalah berkaitan Sekolah Kluster ini sebelum melancarkannya.

Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat (keADILan)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home