SepangOnline

Tuesday, November 21, 2006

Permit Suara Keadilan, PKR tuntut penjelasan

(Dari kiri); S.Gayathry, Faisal Mustaffa, Malik Imtiaz, Tian Chua, Johan Tan

Wong Yeen Fern (Malaysiakini)

Nov 20, 06 -- Sudah hampir setahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengemukakan permohonan mendapatkan permit menerbitkan akhbar sendiri, tetapi Kementerian Dalam Negeri terus membisu.

Menurut Ketua Penerangan PKR, Tian Chua, status permohonan permit penerbitan Suara Keadilan, lidah rasmi parti tersebut masih di peringkat “pertimbangan”.

 Katanya, kementerian mendakwa sedang menimbang permohonan berkenaan tetapi PKR menganggap itu hanya alasan untuk tidak memberikan kelulusan kepada permohonan tersebut.

“Kami kecewa dengan taktik kementerian yang jelas bertentangan dengan janji Perdana Menteri untuk bersikap telus,”katanya dalam sidang media di ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Chua berkata, semua parti politik sepatutnya diberikan permit menerbitkan akhbar sendiri supaya orang ramai mempunyai sumber dan saluran maklumat alternatif.

“Jika kita tidak mempunyai saluran ini, kita tidak dapat menyatakan pandangan dan membahaskan isu-isu tertentu,”tambahnya sambil mendakwa, kerajaan sebenarnya tidak mengamalkan konsep demokrasi sebenar.

PKR akan menghantar satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Jumaat ini bagi membangkitkan ketiadaan hak bersuara dan kebebasan media di negara ini.

Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia, Malik Imtiaz Sarwar yang turut hadir di sidang akhbar itu pula berkata, tindakan kementerian berkenaan menangguhkan keputusan permohonan PKR itu boleh dilihat sebagai tanda ia telah ditolak.

“ Tindakan kementerian itu juga boleh dilihat sebagai tindakan tidak mengendahkan undang-undang dan kurangnya akuantibiliti,”ujarnya.

Malik mendesak kerajaan memberikan ruang dan peluang kepada PKR serta parti-parti pembangkang lain untuk mempunyai media sendiri bagi membolehkan suara mereka didengar dan perbahasan antara parti-parti politik dan masyarakat dapat dilakukan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home