SepangOnline

Friday, November 17, 2006

Pemuda Umno Terperangkap

Pemuda Umno Terperangkap Dalam Lingkaran Gelap Politik Perkauman

Angkatan Muda KeADILan (AMK) berpendirian bahawa hasil Persidangan Pemuda Umno jelas menggambarkan kedudukan Pemuda Umno yang terperangkap dalam lingkaran gelap Politik perkauman dengan membakar sentimen perkauman.

"Pemuda Umno ternyata bersalahan dengan semangat golongan muda yang sepatutnya mempunyai imaginasi progresif dalam mengambarkan corak kehidupan bangsa Malaysia yang lebih egaliter, toleran dan terbuka," demikian dikatakan oleh Shamsul Iskandar Md Akin, Pemangku Ketua AMK dalam kenyataannya.

"Ugutan kepada CEO syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), yang kebanyakannya golongan muda profesional agar menyertai Umno memperlihatkan sikap mengongkong dan merendah-rendahkan CEO GLC."

Shamsul turut membidas kecaman Pemuda Umno terhadap Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat dan penghalang proses memajukan Melayu kerana mengkritik Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Padahalnya DEB ternyata gagal mengecap sasaran untuk memajukan orang Melayu, sebaliknya telah berjaya menghasilkan gejala korupsi, kronisme dan nepotisme."

Katanya, AMK percaya cadangan konsep Agenda Ekonomi Baru yang dibawa oleh Anwar Ibrahim lebih memenuhi kehendak semasa dan realistik dalam membangunkan seluruh bangsa dengan mengikis semangat perkauman yang sempit dalam DEB.

Berkenaan dengan reaksi negatif dan ekstrem Pemuda Umno terhadap IFC dan Artikel 11, Shamsul menegaskan bahawa, sewajarnya isu tersebut dibincangkan secara demokratik bagi membentuk dan membuat keputusan yang lebih baik dan dipersetujui bersama, dan bukan diugut dengan undang-undang drakonian seperti ISA dan gertakan ala samseng.

"Kami komited dengan pendirian agar perbincangan antara agama dan tamadun harus diteruskan dengan cara berhemah dan tuntas, kerana ianya memberi impak secara langsung kepada kehidupan seluruh rakyat Malaysia yang majmuk."

0 Comments:

Post a Comment

<< Home