SepangOnline

Friday, November 17, 2006

Pejabat Ezam dipecah masuk, ada kaitan dengan laporan rasuah

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Hrkh) - Pejabat Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) dilaporkan telah dipecah masuk awal pagi tadi selepas aktivis Gerak pulang dari siri Jelajah Penerangan Gerak di Perlis, Pulau Pinang dan Kedah, kata Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Noor kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut Ezam, beliau dan Koordinatir Eksekutif Gerak, Badrul Hisham Shahrin terkejut mendapati pejabat Gerak telah dipecah masuk sekembalinya mereka dari siri jelajah Gerak pagi tadi.

Kunci dipecahkan

"Kunci pintu hadapan pejabat telah dipecahkan. Semua laci yang berkunci juga telah dipecahkan anehnya tiada satu pun barang berharga yang hilang termasuk beberapa komputer riba (laptop) yang diletakkan dalam laci berkunci yang telah dipecahkan", kata Ezam lagi.

Siasatan awal yang dibuat Gerak mendapati hanya beberapa dokumen yang membabitkan laporan rasuah hilang, kata Ezam.

Fail rasuah hilang

"Beberapa fail dan 'pen drive' juga turut hilang. Pihak keselamatan bangunan telah memulakan siasatan dan laporan polis telah pun dibuat pada jam 10.19 pagi ini di Balai Polis Kelana Jaya. Laporan bernombor (K.Jaya/009097/06)," kata Ezam.

Gerak mengesyaki kejadian ini berkait langsung dengan laporan polis yang dibuat badan itu yang membabitkan beberapa pemimpin utama negara dan ahli keluarga mereka termasuk Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anaknya Kamaluddin Abdullah.

Ia juga disyaki berkait dengan kempen pendedahan serta penerangan Gerak berhubung perkara tersebut yang telah bermula sejak seminggu lalu, katanya.

Gerak akan terus menjalankan operasi di pejabat yang sama dan kejadian tersebut tidak menjejaskan tumpuan badan itu untuk terus berjuang memerangi rasuah, katanya.

Abdullah cakap kosong

Dalam perkembangan lain Gerak percaya kenyataan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung semalam yang kononnya bersungguh sungguh memerangi rasuah dan mengajak semua pihak membantunya merupakan satu kenyataan kosong dan retorik semata-mata.

Gerak hanya percaya kepada komitmen Perdana Menteri untuk memerangi rasuah sekiranya beliau berani membuat pindaan perundangan di Parlimen untuk membebaskan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dari struktur Jabatan Perdana Menteri itu sendiri dan meletak BPR terus di bawah Parlimen secara langsung, katanya.

Gerak ingin mengingatkan rakyat sepanjang tiga tahun Abdullah menjadi Perdana Menteri, tidak ada satu pun pindaan undang undang yang membabitkan akta rasuah dibuat untuk memperkasakan BPR.

Gerak yakin Abdullah telah berbohong kepada rakyat khususnya perwakilan Umno semalam, katanya.

Abdullah perlu letak jawatan lepas perhimpunan

Berdasarkan pendedahan kes–kes korupsi mutakahir ini yang membabitkan salah guna kuasa, beliau sendiri sebagai PM dalam memperkayakan anak dan menantu beliau, Abdullah sebenarnya tidak mempunyai kekuatan moral dan jati diri untuk memerangi rasuah.

Gerak menyeru Abdullah untuk secara jujur mengakui ketidak kemampuan beliau untuk melaksanakan tugas besar ini iaitu memerangi rasuah.

Sehubungan itu Gerak mendesak Abdullah untuk meletakkan jawatan di akhir Perhimpunan Agung Umno kali ini, katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home