SepangOnline

Tuesday, November 07, 2006

Rasuah meningkat kerana PM kongkong media - Gerak

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Hrkh) - Gerakan Demokrasi dan anti-Korupsi (Gerak) tidak terkejut dengan pengumuman Transparensi Antarabangsa (TI) bahawa kedudukan Malaysia merosat dari tangga 39 ke tangga 44 dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI).

Walaupun Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menonjolkan imej sebagai pemimpin yang memerangi rasuah hakikatnya sepanjang tiga tahun pemerintahan beliau gejala rasuah terus berleluasa, kata Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Noor.

Gerak kecewa kerana sejak memerintah negara, Abdullah tidak pernah berusaha untuk memperkasakan institusi penguatkuasaan anti rasuah seperti Badan Pencecah Rasuah (BPR) yang seharusnya menjadi tunjang kepada gerakan anti rasuah, kata Ezam kepada Harakahdaily hari ini semasa mengulas laporan kedudukan Malaysia dalam CPI.

"Bahkan tidak ada satu akta yang membabitkan rasuah dipinda dalam tempoh tersebut yang membuktikan bahawa laungan Abdullah untuk memerangi rasuah di awal-awal pentadbiran beliau adalah retorik semata-mata," katanya.

Gerak juga kesal kerana Abdullah tidak membebaskan media yang menjadi wahana utama untuk menyedarkan rakyat memerangi rasuah dengan undang-undang seperti Akta Mesin Cetak yang membatasi laporan-laporan mengenai rasuah di negara ini.

Rakyat tidak lupa bagaimana kenyataan seorang Menteri Kabinet bahawa terdapat 18 VIP yang sedang disiasat BPR tiba-tiba lenyap begitu sahaja disebabkan arahan pihak berkuasa kepada media untuk menutup cerita itu sama sekali, kata Ezam.

Bagi Gerak, kebebasan maklumat penting untuk memperkasa rakyat supaya peka dan sedar terhadap bencana rasuah.

Malangnya kerajaan Abdullah masih tidak menghiraukan desakan diwujudkan 'Freedom of Information Act (FOIA)' di negara ini, malah undang-undang yang menyekat kebebasan maklumat seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) masih terus berkuatkuasa, katanya.

Gerak mendesak kerajaan Abdullah bertanggungjawab terhadap keadaan ini dan membuat penjelasan mengapa sehingga ke hari ini, sebuah pemerintahan yang dimulakan dengan janji untuk memerangi rasuah tidak melakukan sebarang tindakan konkrit dari sudut pindaan undang-undang dalam mempertingkat dan memperkasakan setiap elemen masyarakat dan institusi yang relevan dalam membenteras rasuah, kata Ezam.

Bertentangan dengan dakwaan Abdullah ketika mula-mula berkuasa, kononnya hendak memerangi rasuah, indeks rasuah negara ini terus merudum, kali ini menggelungsur ke tangga 44 daripada 163 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International yang diumumkan semalam.

Kedudukan Malaysia tahun lalu ialah pada tangga ke 39 dari 158 negara. Malaysia hanya mendapat lima mata sahaja dari 10 mata maksimum tahun ini, dari 5.1 mata tahun lalu.

Kedudukan negara pada tahun 2004 juga pada tangga ke 39, merudum dari tangga ke 37 tahun 2003.

Kelembapan pelaksanaan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan disebut sebagai satu daripada sebab bagi Malaysia menurun lima anak tangga.

"Sebahagian daripada masalah itu ialah jarak masa antara penggubalan dasar baru dan pelaksanaan sebenar dasar berkenaan. Jurang itu perlu dihapuskan," kata Presiden Malaysian Society for Transparency and Integrity (TI Malaysia), Tan Sri Ramon V. Navaratnam pada pelancaran Global CPI 2006 di Institut Integriti Malaysia.

Beliau turut menyebut, "kerumitan dan kekaburan dalam proses kelulusan serta pelesenan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan dan berkanun" sebagai penyumbang kepada masalah itu.

Sebab lain yang menyuburkan rasuah, katanya, ialah budaya "senyap" di Malaysia, apabila pihak yang menyaksikan perbuatan rasuah enggan bersuara atau melaporkan kes itu. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home