Umno pembawa virus rasuah, dakwa Gerak
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Hrkh) - Rasuah dan penyalahgunaan kuasa begitu sinonim dengan Umno dan hakikat ini turut dipersetujui beberapa pimpinan parti itu yang sedang berkhidmat dengan kerajaan dan yang telah meninggalkan kerajaan.
Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohammed Nazri Aziz dalam satu kupasannya yang disiar weblog Malaysia-today antara lain bersetuju dengan pandangan bahawa ahli Umno memang kebal dari sudut rasuah dan undang-undang.
Mengulas kenyataan itu, Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak) bersetuju dengan kenyataan Mohammed Nazri yang menyatakan ahli Umno kebal daripada tindakan undang undang dan rasuah kerana Umno diterajui oleh Presiden yang juga Perdana Menteri.
Perdana Menteri menjadikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) di bawah bidang kuasanya sendiri yang akhirnya menjadikan badan itu tidak bebas kerana pertimbangan politik presidennya, kata Pegarah Eksekutif Gerak, Badrul Hisham Shaharim.
"Rasuah sememangnya penyakit dalam Umno dan kerajaan tetapi mereka seolah-olah kebal daripada pendakwaan dan penguatkuasaan kerana penguasaan politik dan BPR yang tidak bebas dan jika ada pendakwaan atau tindakan ke atas mana-mana ahli Umno kerana rasuah itupun dilakukan berdasarkan tindakan politik," katanya.
Sebagai contoh kes membabitkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad yang dikenakan tindakan penggantungan kerana rasuah wang dalam pemilihan Umno.
Tindakan dibuat bukan kerana Isa bersalah, dan hampir semua ahli Umno tahu dan faham untuk memenangi apa jua jawatan khususnya diperingkat Pusat, rasuah pasti menjadi syarat kemenangan.
Bagaimanapun kata Badrul Hisham, hanya Isa dikenakan tindakan kerana pergeseran kem politik dalaman Umno itu sendiri.
Dalam kes ini Umno sudah tentu takut membuka pintu kepada BPR untuk masuk menyiasat kes tersebut kerana jika badan itu dibenarkan melakukan siasatan terbuka, nescaya hampir semua mereka yang bertanding akan dikenakan tindakan, katanya lagi.
"Malah semua perwakilan juga akan dikenakan tindakan kerana menerima, memberi dan meminta rasuah juga merupakan satu kesalahan mengikut definasi BPR," katanya.
Berhubung komen Mohammed Nazri yang menyatakan masalah dalaman Umno dan tidak bersangkutan dengan pentadbiran dan perundangan negara, Gerak berpendirian hujah itu sangat lemah dan dangkal.
"Umno parti pemerintah, sudah tentu rasuah dan penyelewengan dalam Umno melibatkan mereka yang memegang jawatan penting dalam kerajaan. Sudah tentu mereka menggunakan 'kemudahan dan kelebihan' mereka menduduki kerusi penting kerajaan untuk membolehkan mereka menjalankan jenayah tersebut.
"Maka rasuah dalaman Umno yang yang menjadi tradisi inilah yang menyebabkan punca kegiatan jenayah rasuah yang semakin tidak terbendung dalam kerajaan dan negara ini," katanya.
"Jika rasuah itu penyakit, Umno adalah punca pembawa virus rasuah dalam negara," katanya.
Justeru, Gerak mendesak Abdullah Badawi yang dikatakan menjalankan kempen antirasuah, serius dalam kempen antirasuahnya.
"Abdullah perlu berani membebaskan BPR daripada bawah cengkaman Presiden Umno dan meletakkan BPR bertanggungjawab penuh di bawah Parlimen," katanya. - lanh
0 Comments:
Post a Comment
<< Home