SIASAT PENYELEWENGAN ABDULLAH DAN MAHATHIR
By Ezam Mohd Nor- Laman M@RHAEN
Gerakan demokrasi dan anti-korupsi (GERAK) membuat laporan polis hari ini terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad. Laporan kami disertakan dengan 17 helaian maklumat bersumberkan bukti dari agensi kerajaan, surat Kementerian Kewangan dan perbagai sumber dari dalam dan luar kerajaan.
Berdasarkan fakta yang dilampirkan tersebut, kami punya asas yang kukuh untuk mempercayai kedua-dua pemimpin ini telah terlibat menganuerahkan projek-projek kerajaan bernilai ratusan juta ringgit kepada ahli keluarga terdekat.
Kami percaya siasatan menyeluruh perlu diadakan memandangkan masa pemerintahan kedua-dua pemimpin ini mencecah 25 tahun (Mahathir Mohamad dari 1982 sehingga 2002 manakala Abdullah Ahmad Badawi sejak 2002 hingga kini) memungkinkan lebih banyak penyelewengan yang berlaku tetapi tidak didedahkan.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, sedikit demi sedikit penyelewengan kedua-dua mereka didedahkan, dan ironinya oleh kedua-dua mereka sendiri. Mahathir mengatakan bahawa Abdullah memberikan projek kepada anaknya manakala dibalas Abdullah bahawa Mahathir juga memberikan projek kepada ahli keluarga sendiri.
GERAK ingin menarik perhatian rakyat Malaysia berhubung persoalan kekayaan anak lelaki Abdullah Ahmad Badawi – Kamaluddin yang memperolehi laba besar dalam tempoh singkat.
Kekayaan beliau meningkat berkali-kali ganda sejak Abdullah menjadi pemimpin nombor satu negara yang memungkinkan wujud tanggapan bahawa kekayaan tersebut diperolehi melalui pengaruh Abdullah.
GERAK mengesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan segera bagi memastikan jenayah ekonomi ini tidak terus dilakukan dan menyelamatkan ratusan juta ringgit wang rakyat dari dibolot segelintir individu yang dekat dengan kekuasaan.
GERAK juga menyeru rakyat bangkit bagi menyelamatkan Malaysia dari sikap rakus pemimpin negara yang menyalahgunakan kedudukan dan amanah rakyat bagi mengkayakan anak-anak mereka semasa berkuasa.
MOHAMAD EZAM MOHD NOR
PENGERUSI GERAK
RASUAH MUSUH NOMBOR SATU NEGARA.
Web site : www.GerakMalaysia.org email : gerakmalaysia@gmail.com
+603-7804-9632/4962 (Tel)
+603-7803-9423 (Fax)
0 Comments:
Post a Comment
<< Home