SepangOnline

Saturday, November 04, 2006

Pembangkang ambil tindakan atas Zakaria

PAS, KeADILan, DAP cadang ambil tindakan undang-undang terhadap Zakaria Deros

Oleh Saidatul Amani

SHAH ALAM, 3 Nov (Hrkh) - Pemuda PAS, KeADILan dan DAP sepakat mengambil tindakan undang-undang 'Pendakwaan persendirian' terhadap Adun Pelabuhan Klang, Dato' Zakaria Deros jika pihak berkuasa tidak mengambil tindakan serius terhadap isu pembinaan 'istana' haramnya.

Tindakan itu diambil jika Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo tidak menjawab segera persoalan yang terkandung dalam memorandum sebanyak lapan muka surat, yang diserahkan kepada Setiausaha Sulitnya, Selamat Dollah di ruang lobi Tingkat 1, SUK, 2.50 petang tadi.

Pemangku Timbalan Ketua Angkatan Muda KeADIlan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin berkata: "Kalau kita tidak dapat sebarang jawapan kita akan teruskan dengan tindakan lain termasuk membawa perkara ini sekali lagi ke BPR."

"Saya juga telah berbincang dengan rakan peguam kalau kita mempunyai bukti kukuh dan tidak ada tindakan serius daripada pihak berkuasa maka kemungkinan kita akan mengirim surat kepada pejabat Peguam Negara meminta suatu 'Pendakwaan persendirian' yang akan dilakukan oleh para panel peguam dan ini ada di bawah peruntukan kanun jenayah," katanya dalam sidang media selepas penyerahan memorandum dan laporan polis.

Katanya, persoalan dalam memorandum itu tidak susah untuk Menteri Besar menjawabnya dalam masa terdekat.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Ramli Sidom berkata, Khir Toyo selaku Exco Tanah dan Kewangan Negeri Selangor mempunyai kuasa pentadbiran tetapi tidak telus dan membiarkan amalan penganugerahan tanah kepada pimpinan Umno dan keluarga mereka tanpa kelayakan jelas.

"Oleh itu kami telah membuat laporan polis berhubung isu ini di Balai Polis Seksyen 11, pagi tadi," katanya.

Ketua Pemuda DAP Selangor, Teng Chang Khim turut hadir untuk memberi sokongan kepada PAS dan KeADILan dalam penyerahan memorandum dan laporan polis tersebut.

Beliau terkilan dengan kenyataan Zakaria yang menolak pelantikan ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) atas nasihat MB dan mengenepikan nasihat Tuanku Sultan Selangor.

"Ini merupakan suatu penghinaan kepada Tuanku yang telah diketahui umum telah memberi titah nasihat supaya meletakkan jawatan tersebut untuk menyelesaikan kontroversi yang telah ditimbulkannya, " katanya.

Menurut beliau, penolakan jawatan sebagai ahli MPK masih tidak cukup kerana perkara yang berkaitan dengan isu itu masih belum diselesaikan iaitu 'Satay House' yang dibina di atas rizab jalan masih belum dirobohkan.

"Begitu juga banglo yang dinamakan 'Istana Zakaria' itu belum dirobohkan dan siasatan penuh masih belum dijalankan ke atas dakwaan dan aduan terhadap beliau selama ini," katanya.

Beliau mendedahkan aduan itu termasuk penglibatan beliau dalam pemberian tanah PKNS kepada Persatuan Badminton Selangor yang diterajui Zakaria.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home