Siasat segera salahguna kuasa pemimpin UMNO-BN
Angkatan Muda keADILan Negeri Selangor hari ini telah membuat satu laporan polis agar siasatan dilakukan terhadap pihak yang bertanggungjawab memberikan tanah tapak "Istana Zakaria' di Kampung Idaman, Klang kepada isteri Datuk Zakaria Mat Deros, Datin Zizah Ngah. Laporan media massa menyatakan bahawa Datin Zizah Ngah hanya membayar RM 46,000.00 untuk mendapatkan tanah tersebut yang asalnya diperuntukkan untuk sekolah agama. Justeru Angkatan Muda keADILan mengesyaki telah berlaku salah guna kuasa dalam proses pemberian tanah tersebut. Terdapat juga laporan bahawa tanah yang dianugerahkan kepada Datin Zizah Ngah asalnya adalah lapan lot tanah dengan Lesen Menduduki Sementara (TOL). Ia kemudian dibatalkan dan dijadikan satu lot besar untuk diberikan kepada beliau. Dato' Seri Mohd Khir Toyo selaku Menteri Besar Selangor dan EXCO Tanah dan Kewangan Negeri adalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas penganugerahan tanah kerajaan negeri. Oleh itu Angkatan Muda keADILan mendesak agar beliau memberikan penjelasan segera bagaimana penganugerahan tanah tersebut kepada Datin Zizah Ngah telah menyumbang kepada kepentingan negeri dan rakyat. Angkatan Muda keADILan maklum bahawa terdapat banyak kes-kes lain di mana para pemimpin UMNO-BN, para ahli keluarga dan kroni mereka diberikan tanah kerajaan dengan hanya membayar harga yang sangat rendah. Kes-kes ini akan kita dedahkan tidak lama lagi. Angkatan Muda keADILan mendesak agar pihak Kerajaan Negeri Selangor khususnya Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Mohd Khir Toyo lebih telus dan mendedahkan kepada rakyat senarai penuh mereka yang telah menerima anugerah tanah kerajaan dan berapa harga yang dibayar oleh penerima untuk tanah-tanah tersebut. Seharusnya ada justifikasi yang wajar mengenai kelayakan mereka yang menerima anugerah tanah dengan begitu mudah sedangkan terdapat petani dan peneroka yang terus dinafikan hak milik ke atas tanah yang telah mereka usahakan sejak berpuluh-puluh tahun. Angkatan Muda keADILan kesal kerana selama ini rakyat di Negeri Selangor berterusan menghadapi masalah untuk mendapatkan tanah untuk kediaman asas sekalipun. Masalah ini telah tidak diberikan perhatian sewajarnya oleh Barisan Nasional yang memerintah tetapi sebaliknya kuasa yang dipegang disalahguna untuk kepentingan peribadi, kroni dan keluarga. Pemberian tanah pada harga yang terlalu murah ini adalah salah satu cara penyelewengan yang membiayai gaya hidup mewah pemimpin-pemimpin UMNO-BN selama ini. Sehubungan itu, Angkatan Muda keADILan mencabar Zakaria yang juga ADUN Pelabuhan Klang agar mengisytiharkan penyata terperinci mengenai pendapatan dan kekayaan yang dimilikinya. Angkatan Muda keADILan yakin kekayaan yang dimiliki beliau dan ahli keluarga beliau tidak dapat dijustifikasikan sumber pendapatan mereka. Justeru Badan Pencegah Rasuah perlu menyegerakan siasatan bagi mengekang amalan rasuah dan penyelewengan yang telah menjadi cara hidup pemimpin UMNO. Dengan nada yang sama Angkatan Muda keADILan mendesak Khir Toyo untuk menunjukkan teladan dalam memimpin dengan mengisytiharkan pendapatan dan harta yang beliau miliki. Justeru Angkatan Muda keADILan menegaskan bahawa pihak berkuasa mesti segera memulakan siasatan dan melakukan pertuduhan terhadap mana-mana pemimpin UMNO-BN yang terlibat. Sekiranya tiada tindakan yang diambil, Angkatan Muda keADILan akan mengkaji kesemua peruntukan undang-undang yang ada dan tidak menolak kemungkinan, sekiranya terdapat bukti yang kukuh, akan memulakan Pertuduhan Persendirian (Private Prosecution) terhadap mereka yang terbabit selaras dengan peruntukan di dalam Kanun Acara Jenayah. Shamsul Iskandar Mohd Akin Pemangku Ketua Angkatan Muda keADILan Malaysia |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home