SepangOnline

Saturday, November 04, 2006

Saling Tuduh-Menuduh Di Malaysia

(Malaysian Mudslinging)
Oleh Anwar Ibrahim – Wall Street Journal

Pertelagahan yang sedang berlaku antara mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan penggantinya Abdullah Ahmad Badwi, adalah satu lelucon semata-mata. Dr. Mahathir telah lama melalak laksana seekor singa yang terluka setelah melihat beberapa dasarnya yang diterbalikkan. Akan tetapi yang ironisnya ialah tindakan Abdullah ternyata begitu lembab dan tidak menentu untuk melakar perubahan yang serius ke atas legasi ketua lamanya.

Rungutan awal mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir, ialah terhadap keputusan kerajaan pada Oktober lalu untuk menurunkan tarif kereta import, kerana ia dianggap mengancam nasib masa depan pembuat kereta nasional, Proton, yang sudah lama dijuarai oleh Dr. Mahathir. Kemudian pada bulan April, pentadbiran Abdullah telah bertindak melupuskan salah satu projek kesayangan Dr. Mahathir, sebuah jambatan baru yang menghubungkan Malaysia dan Singapura, setelah republik kepulauan itu mendesak diberikan konsesi terhadap isu lain sebagai tolak-ansur untuk membenarkan projek itu diteruskan.

Kita tentulah tidak tahu-menahu apakah sumpah setia yang dijanjikan bersama secara rahsia sebagai syarat untuk Dr. Mahathir menyungkit status Abdullah naik sebagai bakal penggantinya sebelum beliau turun takhta pada 2003 dahulu. Mungkin cukup kalau kita membuat andaian bahawa antara yang dijanjikan itu termasuklah jaminan bahawa si Perdana Menteri baru tidak akan melupuskan apa juga mega projek tuan besarnya, ataupun mengetepikan segala industri-mega kesayangan yang pernah dipeliharanya. Kerana itulah yang membuatkan n Dr. Mahathir naik marah, dan amarah ini sudah membengkak lebih besar daripada rungutan awalnya. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini dia sudah menuduh Perdana Menteri menjual kedaulatan negara dengan menawarkan pasir untuk dijual kepada Singapura, dan menuduh amalan nepotisme terhadap Kamaluddin Abdullah dan Khairy Jamaluddin, anak lelaki dan menantunya.

Abdullah bertindak untuk membalas dengan berdepan di TV untuk menafikan bahawa anak dan menantunya pernah menyalahgunakan hubungan mereka dengannya ataupun pernah meraih keuntungan daripada projek kerajaan. Dr. Mahathir pernah menuduh penggantinya sengaja mahu menghancurkan demokrasi di Malaysia dengan berkata bahawa dia sendiri telah dinafikan hak bercakap secara terbuka dan media yang dikuasai oleh kerajaan tidak pun membuat laporan akan apa yang dikatakannya.

Akan tetapi, memang sudah terlalu jelas betapa bekas Perdana Menteri sudah terlampau mengada-ngada. Walaupun Mahathir sudah mencengkam kuasa selama 22 tahun, bukan sahaja dia tidak lagi mendapat sokongan rakyat, malahan sekutu dan pembodeknya dalam UMNO dahulu, sudah lama lari lintang pukang meninggalkannya. Tindakan Mahathir menghasut anggota parti agar menggulingkan Abdullah telah diberikan satu tamparan yang memalukannya pada 3 September apabila anggota UMNO dan bahagiannya sendiri di (Kubang Pasu) Kedah enggan mengundi pencalonan beliau untuk menjadi anggota perwakilan ke persidangan UMNO pada bulan November nanti.

Rakyat marhaen dapat melihat dengan jelas akan sikap hipokrit Mahathir. Ketika dia merungut diperlekeh oleh media, marhaen Malaysia masih ingat bagaimana pihak pembangkang telah menanggung nasib yang sama sepanjang lebih dua dekad dia mencengkam kuasa. Rungutan Mahathir terhadap kemungkinan dia akan diugut dengan OSA (Official Secrets Act – Akta Rahsia Rasmi) kerana mendedahkan dokumen rahsia kerajaan bersangkutan dengan projek jambatan, ternyata kelihatan ganjil apabila ia disuarakan oleh seorang manusia yang telah lama menaungi akta ini berulang kali semasa menganiaya pengkritiknya.

Ini tidak bermakna rakyat marhaen memendam sebarang ilusi terhadap pentadbiran Abdullah. Walaupun masih banyak keterbukaan sekarang ini berbanding di zaman (sepanjang) pemerintahan Mahathir, iklim takut-takut masih bertapak kuat lagi. Pembantah memang tidak digalakkan dengan cara mengugut mereka akan didakwa. Para pengendali laman-blog dan laman-web sering diancam tindakan seandainya mereka mengkritik kerajaan secara terlampau dan tidak menyenangkannya. Rakyat yang masih meringkuk dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri sepanjang regim Mahathir mencengkam kuasa masih lagi meringkuk dalam kem tahanan tanpa perbicaraan, dan kerajaan tidak pun menunjukkan minat untuk memansuhkan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan tanpa tempohnya.

Begitu juga dalam bidang perundangan, memang nampak ada sedikit kebebasan di mahkamah atas keberanian segelintir hakim yang menunjukkan keberanian dalam beberapa kes berprofil tinggi. Ini termasuklah kes 2004 di mana Mahkamah Persekutuan telah membebaskan saya daripada tuduhan sodomi yang sengaja diada-adakan. Akan tetapi kita tidak boleh melupakan bahawa sebahagian besar hakim kanan yang ada telah naik pangkat di bawah pemerintahan Mahathir, dan dengan itu mereka harus mengongsi tanggungjawab kerana mewujudkan satu jurang dalam yang menghumban sistem perundangan ketika itu. Sehingga kini pun belum ada sebarang usaha untuk menghumban pemegang watak-watak utama dalam setiap institusi kerajaan yang menyalahgunakan kuasa dengan tujuan memperkasakan cengkaman Mahathir yang zalim itu, seperti Pasukan Polis dan Pejabat Peguam Negara.

Walaupun Abdullah pernah diberikan pujian kerana niat awal mahu memerangi korupsi dan mengkaji semua projek mega Mahathir, sehingga kini Abdullah masih belum mengemukakan satu agenda yang meyakinkan untuk pertumbuhan ekonomi dan reformasi ke atas sektor awam. Inilah yang menyumbang kepada rungutan rakyat bahawa Abdullah merupakan seorang pemimpin yang tidak berupaya menangani cabaran sebenar yang menghantui Malaysia. China sudah pun semakin menonjol dalam menguasai rantau ini, dan India juga semakin bangkit. Sementara kebanyakan negara Asian sedang berlumba-lumba mempelbagaikan ragam usaha untuk terus berdaya saing, ekonomi Malaysia masih berada di takuk lama dan bergantung hanya kepada pembikinan barangan elektronik, bererti bersaing secara berdepan dengan dua gergasi yang baru bangun dari tidurnya. Tidak menghairankan pertumbuhan eksport negara semakin mengendur.

Tanpa mahu melakar satu rencana yang berwawasan jauh, Rancangan Malaysia Kesembilan yang diumumkan oleh Abdullah pada April dahulu masih mengekalkan pelbagai legasi hodoh zaman silam yang berasaskan Dasar Ekonomi Baru – kebanyakannya khusus untuk Melayu beragama Islam – bagi peluang pendidikan dan perniagaan. Dasar ini mungkin memuaskan tujuan untuk mempromosikan pertumbuhan yang saksama di dekad terawal selepas Malaysia mencapai kemerdekaannya pada 1957. Sejak itu DEB ternyata sudah terganyut usia dan kegunaannya. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, DEB sudah membengkak dan menanah kerana menjadi alat korupsi dan pemuas nafsu serakah yang meruncingkan ketegangan perkauman dan menghalang pelaburan asing. Yang paling utama, ia menunjukkan betapa pentadbiran Abdullah memang kegersangan nafsu untuk menangani cabaran saingan global yang dapat menjamin keadilan sosial kepada semua pihak.

Semua ini adalah isu sebenar yang menghantui Malaysia, dan bukannya isu yang menjadi retorik serta berbentuk lemparan tohmahan antara Dr. Mahathir dan Abdullah. Memang nampak mudah kepada kita yang tidak mempunyai keakraban terhadap mereka berdua memerhatikan semua ini di mana kedua pihak saling tuduh-menuduh tentang korupsi dan kronisme. Akan tetapi perbuatan demikian sebenarnya mengabaikan cabaran sebenar yang dihadapi dalam pembentukan demokrasi serta kebebasan, dan mewujudkan sebuah pasaran ekonomi yang segar-bugar untuk memewahkan Malaysia.


Mr. Anwar, a former deputy prime minister of Malaysia, is now a visiting professor at Georgetown University in Washington, D.C.
Terjemahan MT-SPAR - 03.11.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home