SepangOnline

Friday, November 10, 2006

Beri Ruang kepada ISA7 Teruskan pengajian

AMK Desak KPT Beri Ruang kepada ISA7 teruskan Pengajian

Angkatan Muda KeADILAn (AMK) mendesak agar kementerian pengajian tinggi memberikan tujuh orang mahasiswa (atau lebih dikenali ISA7) ruang untuk meneruskan pengajian mereka, dan perlu diingat mereka semua masih belum didapati bersalah di mana-mana mahkamah.

Demikian disarankan oleh Amirudin Shari, Timbalan Ketua Penerangan AMK selepas Mahkamah Tinggi menerima rayuan yang dikemukakan oleh Pendakwaraya dalam kes tersebut pagi ini.

Menurutnya, ISA7 telah didakwa mengambil bahagian dalam perhimpunan haram di bawah Akta Polis kerana terlibat dalam satu demonstrasi bantah Akta Keselamatan dalam Negeri pada tahun 2001. Sesungguhnya, Mahkamah Majistret telah menarikbalik dakwaan Pendakwaraya terhadap ISA7 pada April tahun lepas.

"Kami berasa simpati terhadap ISA7 kerana mahkamah memutuskan untuk perbicaraan semula ke atas kes perhimpunan haram yang didakwa mereka sertai."

"Ketujuh-tujuh mereka telah dihalang menghabiskan pengajian atas pendakwaan yang dikenakan ke atas mereka. Ada di kalangan mereka hanya perlu menghadiri peperiksaan akhir untuk menamatkan pengajian masing-masing."

Katanya, akibatnya mereka perlu meneruskan hidup dengan penuh kesusahan dan terpaksa menghadapi prasangka yang serong dari masyarakat.

Tambahnya, nasib yang menimpa mereka adalah akibat langsung Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan beberapa fasal dalam akta polis.

"Peristiwa ISA7 membayangkan sempit dan kejamnya perjalanan dalam negara kita yang sepatutnya memberikan hak kepada semua rakyat untuk bersama-sama maju dan membangunkan negara."

"Apatah lagi dalam hal pembangunan manusia yang muda, berbakat dan mampu berfikiran kreatif seperti kelompok mahasiswa terbabit."

Tegasnya, amat tidak wajar mereka dihukum oleh undang-undang lain, atas dakwaan kesalahan yang masih belum dibuktikan dan disabitkan pada mereka.

Amirudin Shari

Timbalan Ketua Penerangan

Biro Mahasiswa Angkatan Muda KeADILan

9 November 2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home