Perang rasuah hanya gurauan Abdullah
KUALA LUMPUR, 15 Nov (Hrkh) - Perang terhadap rasuah yang diuar-uarkan oleh pemimpin nombor satu negara sejak mula memegang tampuk Perdana Menteri dilihat semakin goyah dan longgar, malah ada yang menyifatkan ia satu gurauan pemimpin negara.
Hakikatnya, rasuah dan penyelewengan kuasa makin berterusan hingga ke akar umbi tatkala Malaysia diumumkan menduduki tempat ke 44 dari 163 negara dalam indeks persepsi rasuah (CPI) yang dilapor 'International Transparency' baru-baru ini.
Melihat perkembangan ini, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), melihat amalan rasuah kini semakin membarah di kalangan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).
"Nyata bahawa janji dan laungan membanteras amalan rasuah oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdulah Ahmad Badawi hanyalah kenyataan 'main-main', tidak serius dan digunakan hanya untuk menarik undi dari rakyat," kata Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin kepada Harakahdaily hari ini.
Segalanya tergambar dengan laporan TI, yang menunjukkan negara telah mengalami penurunan yang memalukan, katanya.
Setahun kepimpinan Abdullah mengambil tampuk pemerintahan, CPI di Malaysia menjunam ke tangga 39 berbanding 36 tahun sebelumnya. Sementara laporan terbaru, menunjukkan penurunan lima lagi anak tangga ke tangga 44, katanya.
Angka ini jika dibandingkan dengan beberapa negara serantau seperti Singapura dan Thailand ternyata prestasi Malaysia lebih buruk dari dua negara tersebut dan sudah pasti ianya akan memberi impak kepada tarikan pelabur asing seterusnya melembabkan ekonomi negara.
Ini ditambah lagi dengan amalan politik wang atau rasuah di dalam Umno, yang akan semakin jelas kelihatan dalam pemilihan pucuk pimpinan BN, tahun 2007 atau 2008 nanti.
Semuanya tidak dibantu dengan kenyataan-kenyataan pemimpin tertinggi kerajaan seperti Timbalan Perdana Menteri, Dato'Seri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohammed Nazri Aziz yang memperlihatkan dolak-dalih kebenaran Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat penyelewengan pembelian undi dalam Umno.
Penubuhan Institut Integriti Negara dan Pelan Integriti Nasional (PIN) hanyalah seperti menyediakan satu lagi badan yang tidak dapat menyelesaikan masalah malah mungkin menimbulkan lagi masalah, kata Shamsul.
Seharusnya BPR diletakkan di bawah Parlimen agar lebih bebas dan tidak tertakluk di bawah pengawasan orang politik, ujarnya lagi.
Sehubungan itu AMK mendesak agar kerajaan dengan segera mendedahkan status ratusan laporan polis yang dibuat oleh kepimpinan KeADILan dan BA sepanjang tujuh tahun lalu yang melibatkan kepimpinan tertinggi kerajaan, termasuk kes 18 orang peringkat tertinggi yang terlibat dengan rasuah seperti yang didakwa oleh Dato' Seri Dr Rais Yatim semasa beliau memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home