Keadilan hantar laporan penyelewengan pilihan raya ke peringkat antarabangsa
PULAU PINANG : Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) berjaya mengesan sejumlah 223,950 pengundi di Selangor yang tidak mempunyai saluran pengundi, hampir 18,000 pengundi berumur antara 90 sehingga 122 tahun di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pahang, serta hampir 50,000 pengundi tidak mempunyai kad pengenalan baru.
Demikian sebahagian bukti kepincangan yang berlaku dalam proses pilihan raya negara ini, seperti yang didedahkan oleh Presidennya Datin Seri Datin Dr Wan Azizah dalam Kongres Nasional Tahunan ke-3, di sini.
Maklumat tersebut diperolehi melalui sistem perkomputeran yang dibangunkan parti itu yang dinamakan SISMEP 12 atau Sistem Menang Pilihan raya 12.
Sehubungan itu, Keadilan merancang mendedahkan kepincangan tersebut di peringkat antarabangsa sebagai satu usaha mendesak kerajaan supaya mengendalikan pilihan raya secara lebih telus dan terbuka.
Katanya satu laporan bertajuk “The Democratic Deficit in Malaysia : A Report on Malaysian Elections”, akan diedarkan kepada semua pejabat kedutaan asing yang berpusat di Kuala Lumpur, pertubuhan antarabangsa dan badan-badan NGO dan individu-individu.
“Kita berharap masyarakat antarabangsa tidak menerima mudah kemenangan Barisan Nasional yang dicemari dengan amalan rasuah dan penipuan.
“Laporan tersebut juga membuktikan bahawa kemenangan besar yang selalu diperolehi Barisan Nasional bukanlah berdasarkan sokongan rakyat tetapi penipuan yang ketara dalam pilihanraya,” tegasnya.
Keadilan juga akan merujuk perkara penyelewengan tersebut kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong selaku Ketua Negara dan pelindung Perlembagaan Persekutuan.
“Kita akan memohon limpah kurnia Tuanku meneliti laporan tersebut dan melakukan usaha-usaha demi mengembalikan amalan demokrasi di dalam negara.”
Ucapan beliau dan persidangan kongres disiarkan secara langsung di Malaysia-Today.net dengan kerjasama KelantanTv.
Hantar kepada PM, desak Pengerusi SPR letak jawatan
Azizah juga memaklumkan laporan tersebut telah diserahkan kepada Perdana Menteri, pada 26 Jun 2006 untuk diteliti dan diambil tindakan.
“Kita mahu mengingatkan Perdana Menteri, sekiranya masalah ini berterusan, ia akan menjejaskan prinsip dan amalan demokrasi yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Di Thailand, Pengerusi badan pilihan raya mereka yang didapati melakukan penipuan kini sedang dipenjara, setelah didapati bersalah,” tegasnya.
Bagaimanapun, menurut Azizah di Malaysia, mereka berkenaan dilindungi oleh kerajaan.
Berikutan itu, Keadilan menuntut Pengerusi dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) meletakkan jawatan kerana didakwa gagal menjalankan tugas dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab.
SISMEP 12
Azizah menegaskan Keadilan serius mewujudkan sistem pilihan raya yang adil dan berbangga dengan kejayaan mencipta SISMEP12.
“Saya tegaskan di sini, keADILan serius dalam mewujudkan sistem pilihanraya yang adil. Justeru, kita bangga kerana menjadi satu-satunya parti di negara ini yang memiliki satu sistem perisian komputer yang canggih yang telah berjaya dibangunkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JKRP) untuk membaca data pilihanraya dan membuat analisis saintifik yang penting untuk parti.”
Sistem perkomputeran tersebut berkemampuan untuk membuat semakan tempat mengundi secara on-line dan mencetak slip semakan daftar pemilih bagi seseorang pemilih dalam sesuatu Bahagian Pilihan raya.
SISMEP 12 juga berupaya membersihkan daftar pengundi dan mengesan penyelewengan dan penipuan seperti pengundi hantu, pengundi yang telah meninggal dunia, pengundi yang terlalu tua – berusia 90 sehingga 122 tahun, pengundi yang tidak mempunyai saluran, pengundi yang menggunakan alamat palsu dan pengundi yang tidak mempunyai kad pengenalan baru.
Menurutnya, kejayaan Keadilan membangunkan SISMEP 12 telah memaksa Pengerusi SPR memberikan kenyataan seperti yang dilaporkan sebuah akhbar Melayu pada 10 Ogos 2006 lalu.
“Kita ingin menuntut jawapan yang jelas dari SPR, sekiranya tiada istilah “pengundi hantu” dalam daftar pemilih seperti yang didakwa oleh Pengerusi SPR, apakah istilah yang sesuai untuk pengundi yang meninggal dunia tetapi (nama) masih berada di dalam daftar pemilih dan apakah status pengundi Cina yang berada di dalam rumah Melayu yang tiada hubungan atau tidak dikenali oleh keluarga berkenaan.”
Jemput pemantau antarabangsa
Di hadapan lebih 2000 perwakilan dan pemerhati seluruh negara itu, Presiden Keadilan itu secara tegas mendesak kerajaan agar membenarkan Pemerhati Antarabangsa untuk meneliti dan mengikuti proses pilihan raya di Malaysia.
“Amalan ini bukanlah asing bagi negara-negara yang berpegang teguh kepada prinsip demokrasi seperti Turki, India, Indonesia, Thailand dan Afrika Selatan.
“Pemerhati-pemerhati ini hendaklah dibenarkan mengikuti bukan saja proses semasa pilihanraya, tetapi juga proses-proses sebelum pilihanraya, termasuk menyiasat berbagai-bagai jenis penyelewengan yang sering berlaku. Kehadiran Pemerhati Antarbangsa pasti akan memekarkan lagi budaya dan amalan demokrasi di dalam negara ini,” katanya.
Tambahnya, bagi menghapuskan dakwaan bahawa ada pengundi yang mengundi dua kali atau sebagainya, Keadilan mencadangkan supaya SPR memperkenalkan penggunaan dakwat kekal (indelible ink) bagi mengenal mereka yang sudah mengundi.
“India, sebuah negara yang mempunyai penduduk seramai lebih satu bilion orang dan mempunyai rekod pengurusan pilihan raya yang kemas dan baik di dunia, telahpun menggunakan sistem ini secara menyeluruh dan ternyata berkesan.”
Selanjutnya, parti itu turut mencadangkan supaya SPR menggunakan peti undi yang lut sinar untuk menjamin kesahihan semasa proses pembuangan dan juga pengiraan undi.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home