SepangOnline

Thursday, March 23, 2006

Polis akan ambil keterangan Anwar malam esok

Oleh Wartawan Harakahdaily

Polis akan merakamkan keterangan dari Dato' Seri Anwar Ibrahim berkaitan dengan ucapannya semasa berkempen untuk calon PAS dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir Disember 2005 lalu, sebaik saja tiba di rumahnya malam esok.

Pegawai polis daripada IPD Pasir Mas Kelantan akan merakamkan keterangan Anwar mengikut Sekysen 112 Kanun Prosedur Jenayah berdasarkan satu laporan polis yang dibuat ketika pilihanraya kecil Pengkalan Pasir pada Disember lalu.

Anwar dikatakan sedia berkerjasama bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 yang jika sabit kesalahan membawa hukuman tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Menurut jadual Anwar sepanjang berliau berada di Malaysia mulai esok yang diedarkan oleh Biro Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar dijangka tiba di KLIA jam 3 petang esok sebelum bertemu dengan polis jam 8.30 malam esok.

Adik Anwar, Rosli Ibrahim mendakwa, Anwar besar kemungkinan didakwa di bawah Akta Hasutan ekoran ceramahnya di Pasir Mas itu.

Sementara itu, Anwar mempunyai jadual yang padat sepanjang tiga hari berada di tanah air mulai esok.

Pada hari Jumaat, Anwar dijangka menunaikan solat Jumaat di Masjid Subang, berhampiran Lapangan Terbang Subang.

Pada sebelah malamnya beliau akan bertemu dengan para wartawan Malaysia dan antarabangsa di sebuah hotel dalam majlis 'An Evening with the Press'.

Pada petang Sabtu pula Anwar akan menyertai Majlis Perbincangan Pendidikan Negara di hotel yang sama.

3 orang ahli panel jemputan khas akan turut menyertai majlis itu iaitu iaitu Prof. Dr. Awang Sariyan (UPM), Dr. Yap Sin Tian (Pengerusi Persekutuan ersatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia, Dong Zong) dan K. Arumugam (Malaysia Tamil Education Research and Development Foundation).

Pada sebelah malamnya pula beliau akan memberikan ceramah bertajuk "Reformasi Ekonomi Aspirasi Rakyat" di Lot 2500,Lorong Kenanga, Bt 17 ½, Kg Damai, Kuang, Selangor.

Penceramah lain yang bakal hadir adalah Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Selangor Abdul Rahim; Naib Presiden Keadilan Azmin Ali, Dr Lee Boon Chye, Sivarasa Rasiah; Ketua Wanita Fauziah Salleh; dan Ketua Angkatan Muda Ezam Mohd Nor.

Pada hari Sabtu 25 Mac, Anwar dijadualkan berlepas ke Hong Kong untuk berucap dalam satu seminar ekonomi antarabangsa di sana.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home