SepangOnline

Wednesday, November 30, 2005

Kukuhkan ukhuwah teruskan agenda reformasi kata Azizah

Oleh Zulkifli Mohamed

BUKIT MERTAJAM: Datin Seri Dr Wan Azizah berkata kehadiran orang ramai pelbagai kaum ke majlis rumah terbuka Aidil Fitrinya bersama Datuk Seri Anwar mencerminkan semangat kekeluargaan yang semakin kukuh di kalangan rakyat negara ini bagi meneruskan agenda reformasi.

“Saya dapat merasakan semangat ukhuwah kekeluargaan sesama kita semakin terjalin kukuh bagi meneruskan agenda reformasi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Sehubungan itu, katanya semangat sebegini perlu dipertingkat dan diperkukuhkan lagi.

Rumah terbuka Aidil Fitri di Cherok Tokkun, 25 November lalu dibanjiri lebih 25 ribu dari kalangan pelbagai kaum.

Orang ramai mula berpusu-pusu seawal jam 2 petang bagi mengambil kesempatan bersalaman dengan Anwar dan Azizah serta menjamu selera dengan pelbagai juadah.

Azizah yang ditemui pada majlis itu berkata pada tahun ini beliau berasa agak kesunyian kerana terpaksa menyambut 1 Syawal di perantauan bersama keluarganya.

“Tetapi apabila balik ke Malaysia, saya gembira apabila melihat ramai yang datang ke majlis ini,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri para pemimpin Umno/BN, antaranya bekas Setiausaha dan Ketua Penerangan Umno Permatang Pauh, Salahahudin Abdul Hamid yang turut menyerahkan borang menyertai Keadilan kepada Anwar.

Turut hadir Exco Kerajaan Pulau Pinang, Dr Toh Kim Woon, Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang Datuk Zahrain Hashim, Ahli MPT Dr Mansor Osman, Ketua Angkatan Muda Ezam Mohd Noor, dan bekas Ahli Parlimen Baling Ustaz Taib Azamudin.

Sebelum itu, sebelah pagi mereka berdua meluangkan masa kira-kira dua jam pada majlis yang sama di Butterworth.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home