SepangOnline

Wednesday, November 30, 2005

Penduduk Iban Sambut Anwar

Tony Thien (Malaysiakini)

KUCHING - Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan kempen gabungan parti-parti pembangkang Sarawak Isnin lalu dengan mengunjungi rumah panjang Aping Dadak di Sri Aman.

Anwar yang berucap di hadapan kira-kira 1,500 penduduk Iban mengajak para pengundi menamatkan pemerintahan 24 tahun Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam pilihanraya negeri akan datang.

Ini adalah kempen politik kedua Anwar sejak dibebaskan dari penjara tahun lalu. Malam Sabtu lalu beliau berucap di hadapan kira-kira 10,000 penduduk Pasir Mas, Kelantan bagi membantu calon PAS yang bertanding dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.

“Masa untuk menukar kerajaan sudah tiba,” katanya kepada perhimpunan yang dihadiri oleh sebahagian besarnya ahli Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang telah dibubarkan.

Rumah panjang Aping Dadak terletak kira-kira 120 kilometer dari Kuching.

“Cukuplah kita membiarkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa berleluasa,” kata Anwar. Hadir sama ialah Timbalan Presiden Keadilan, Dr Syed Husin Ali; Setiausaha Agungnya, Datuk Kamarul Ariffin dan Ketua perhubungan Keadilan Sarawak, Wan Zainal Abidin.

Barisan alternatif

Bekas Timbalan Presiden Umno itu juga berkata, kini wujud alternatif yang berwibawa untuk menggantikan Barisan Nasional kerana ramai pemimpin dan ahlinya berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan.

Dalam ucapannya selama 45 minit itu, Anwar turut membidas Ketua Menteri Sarawak. Kelantangannya menerima tepukan hadirin yang memenuhi rumah panjang 22 bilik itu.

Turut hadir ialah bekas Timbalan Ketua Menteri yang juga bekas Presiden PBDS, Daniel Tajem; Presiden Snap, Edwin Dundand dan Presiden penaja parti baru, Kongres Dayak Malaysia (MDC), Nicholas Bawin dan Ketua rumah panjang, Christopher Ambu.

Anwar juga menjawab kritikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Alfred Jabu yang menyifatkan kunjungannya ke Sarawak sebagai “pergi berkelah di rumah panjang”.

Sambil menyifatkan Jabu hanya “seekor cicak” dan dirinya “seekor naga”, Anwar mengingatkan Jabu dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) supaya berhati-hati kerana jumlah kehadiran yang besar di majlis itu menunjukkan aspirasi orang Dayak.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga memberitahu, dalam satu mesyuarat Bank Dunia yang dihadirinya baru-baru ini, telah dibentangkan indeks kemiskinan Malaysia dan sebahagian besar daripada sejuta rakyat negara ini yang dikategorikan sebagai miskin tegar, adalah orang Dayak dan pribumi di Sabah.

"Sarawak negeri yang kaya, pemimpin-pemimpinnya kaya-raya tetapi rakyatnya miskin,” tegas Anwar.

Selepas majlis di rumah panjang itu, Anwar kembali ke Kuching untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin Keadilan Sarawak dan Snap bagi membincangkan strategi pilihanraya dan pembahagian kerusi.

Anwar juga mengadakan perjumpaan dengan masyarakat Melayu dan China di ibunegeri Sarawak itu.

Beliau kemudiannya memberitahu media bahawa beliau akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin DAP dan PAS Sarawak bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama dalam membentuk agenda tunggal pilihanraya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home