SepangOnline

Sunday, November 27, 2005

Tahanan dibogel: Hanya rakyat dapat hentikan salahguna kuasa polis-Anwar

Oleh Zulkifli Mohamed

BUKIT MERTAJAM: Hanya suara dan bantahan rakyat yang cukup kuat sahaja dapat menghentikan salahguna kuasa polis kerana sistem pemerintahan kerajaan telah rosak, malah telah sampai ke tahap di mana jaminan kerajaan pun tidak boleh dipercayai lagi.

“Saya kira yang boleh dilakukan sekarang hanya suara dan bantahan rakyat yang cukup kuat,” tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas isu tahanan wanita warga China yang dibogelkan dan dipaksa ketuk ketampi dalam lokap polis.

“Boleh saudara semua beritahu apa lagi pilihan kita, hendak tunggu lagi jaminan Menteri, atau hendak tubuh satu lagi Suruhanjaya Diraja?” tanyanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya di Cherok Tokkun, di sini, Jumaat.

Menurut Anwar kerajaan sebelum ini telahpun memberikan pelbagai jaminan untuk membaikpulih perkhidmatan polis, namun sehingga kini belum menampakkan tanda positif.

“Sebab telah ada puluhan jaminan, apa lagi jaminan yang lebih besar sekiranya penubuhan suruhanjaya (Suruhanjaya Penambahbaikan Perkhidmatan PDRM) sebelum ini pun masih tidak dilaksanakan untuk me’reform’ sistem yang ada,” kata beliau.

Anwar juga mempersoalkan nilai kemanusiaan pelaku kezaliman yang menyalahgunakan kuasa mereka.

“Manusia jenis apakah mereka ini?” tanyanya.

Menurutnya isu ini bukan sekadar melibatkan perkhidmatan polis semata-mata, tetapi turut melibatkan soal kepimpinan negara.

Kata Anwar sepatutnya kes beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara dijadikan ikhtibar supaya tidak berulang lagi.

“Walaupun saya telah memaafkan bekas Ketua Polis Negara, tetapi saya sebutkan perkara ini jangan diulang, tetapi sekarang diulang lebih teruk lagi, menghina dan mengaibkan orang, telanjangkan orang, perkara ini seluruh negara sudah tahu,” katanya.

Anwar turut mengakui hanya segelintir polis terlibat dalam kes salahguna kuasa.

Menjawab soalan pemberita tentang jaminan kerajaan untuk bertindak dalam isu ini, Anwar berkata tinjauannya mendapati rakyat telah hilang keyakinan kepada janji dan jaminan kerajaan.

“Saya dah tanya rakyat kat bawah, rakyat kat kedai, kat mini market, mereka jawab tiadalah…kerajaan janji sahaja.”

Kes ini mula didedahkan kepada umum, apabila pada 11 November lepas, Ahli Parlimen Seputeh (DAP) Teresa Kok, mengadakan sidang akhbar tentang pengakuan seorang wanita warga China yang dibogelkan dan dipaksa melakukan ketuk ketampi oleh seorang pegawai beruniform di sebuah balai polis.

Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zhen, beliau telah ditahan di Balai Polis Petaling Jaya kerana dituduh memiliki dokumen perjalanan palsu.

Beliau bersama tiga teman lelaki warga Malaysia ditahan dalam satu sekatan jalan raya jam 11 malam, di Sungai Buloh 3 November lalu, ketika dalam perjalanan untuk menghadiri jamuan di rumah rakan mereka di Kepong.

Dakwanya, ketika ditahan pegawai polis berkenaan telah meminta wang sogokan RM500 untuk mengelak mereka ditangkap.

“Saya enggan memberikan wang kerana saya tahu pasport saya tulen,” katanya dalam sidang media di pejabat Ahli Parlimen Seputeh itu.

Berikutan keengganannya itu, beliau telah digari dan dibawa ke balai polis Sungai Buloh.

Dakwanya lagi, pada masa yang sama terdapat beberapa lagi wanita warga China yang turut ditahan di sana.

Menurut Zhen, ketika di balai polis beliau telah menghubungi suaminya warga Malaysia yang dikahwini sejak tahun 2001, supaya membawa sijil perkahwinan mereka ke balai berkenaan.

“Pegawai polis yang bertugas tidak mempedulikan sijil nikah yang ditunjukkan kepada mereka, malah semua tahanan telah dipindahkan ke balai polis Petaling Jaya kira-kira jam 6 pagi,” jelasnya.

Kata Zhen, sebelum memasuki bilik tahanan semua beg dan barangan mereka diperiksa.

Dakwa Zhen lagi, dua polis lelaki dan wanita yang bertugas di kaunter ketika itu mengambil wang RM50 daripadanya sebagai ‘Yam Cha’ (minum kopi).

Dua rakannya turut memberikan RM50, seorang lagi hanya mampu memberikan RM3 kerana ketiadaan wang.

Kesengsaraan Zhen bermula setelah belaiu diarahkan berbogel di dalam sebuah bilik. Kerana ketakutan dan berasa malu yang amat sangat, beliau telah membelakangkan anggota polis wanita berkenaan ketika hendak menanggalkan seluar dalamnya.

“Ketika membelakanginya, anggota polis itu telah menampar dan meramas buah dada saya, sebelum menyuruh saya melakukan ketuk ketampi,” dakwa Zhen.

Beliau hanya dibebaskan pada 7 November lalu setelah pasportnya disahkan oleh Jabatan Imigresen.

Ketika ini satu klip video yang memaparkan perlakuan biadap anggota polis terhadap wanita warga China sedang tersebar melalui MMS.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home