SepangOnline

Friday, November 25, 2005

"Ini Pegawai Balai Kita," Kata Polis Petaling Jaya

Oleh Jeffrey Lim

KUALA LUMPUR - Klip video rakaman telefon bimbit berkamera, yang menunjukkan seorang tahanan perempuan bogel dipaksa melakukan ketuk ketampi oleh seorang pegawai wanita beruniform dan bertudung di dalam balai polis telah memeranjatkan semua pihak termasuk mereka yang sentiasa mengatakan sindiran seksis, apabila disiarkan oleh Cik Teresa Kok, Ahli Parlimen bagi kawasan Seputeh di lobi Parlimen pagi tadi.

Bukan sahaja pembangkang malah wakil-wakil dari parti zalim turut menggesa agar pegawai polis wanita yang menyalahguna kuasa tersebut diambil tindakan. Klip tersebut juga membuktikan dakwaan wanita China seperti pegawai polis asyik mengarahkan mereka bertelanjang dan seterusnya meramas buah dada mereka memang adalah benar.

“Ini tidak sepatutnya berlaku. Jika anggota polis benar-benar terbabit, ini adalah penyalahgunaan kuasa polis,” ujar Datuk Azmi Khalid, Menteri Dalam Negeri kepada para wartawan dalam sidang akhbar selepas menyaksikan klip video itu. Pihak polis mesti menyiasat serta-merta skandal tersebut agar tindakan tegas boleh diambil, tambahnya lagi.

Walaupun belum pasti sumber klip itu, ia tetap tidak patut berlaku sama sekali. "Ini bukan sahaja isu politik di antara pembangkang dan pemerintah. Baik warganegara atau tidak, kita dapat tahu memang polis menyalahguna kuasa," tegas Azmi.








Gambar Malaysiakini & blog Paulooi

Sebagai menteri yang ditugaskan untuk memastikan keselamatan warga asing yang melancong atau mencari nafkah di negara ini, Azmi berkata beliau bertanggung jawab membantu mereka yang bermasalah. “Bagaimana kalau ini berlaku kepada pelancong yang datang ke Malaysia selepas mereka ditangkap [...] tetapi mereka sudahpun dihukum melakukan ketuk ketampi seperti ini. Saya pasti jika ianya dibuktikan, pihak kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya lagi.

Klip video yang berlangsung selama seminit sebelas saat itu telah disebarkan melalui MMS di antara pengguna-pengguna telefon bimbit akhir-akhir ini. Tahanan perumpuan yang hanya kelihatan belakangnya itu diarahkan untuk berbogel oleh seorang pegawai polis wanita dan seterusnya melakukan ketuk ketampi sebanyak 10 kali di depannya, di sebuah tempat yang seperti bilik loker. Kelihatan juga bahagian depan mangsa termasuk payudara beliau untuk seketika apabila beliau menoleh ke sebelah kiri untuk memakai kembali coli dan bajunya selepas itu.

Tarikh dan tempat rakaman itu tidak dapat dikenal pasti, dan klip tersebut nampaknya diambil tanpa pengetahuan pegawai zalim dan mangsa tersebut. Turut kedengaran adalah suara orang mengaji al-Quran berdekatan dengan tempat kejadian ketika penyalahgunaan kuasa polis ini berlaku.

Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, juga bersetuju dengan Datuk Azmi Khalid, dengan berkata, klip tersebut jelas menunjukkan bahawa tuduhan oleh beberapa wanita rakyat China menerima layanan buruk oleh pihak polis, adalah benar.

“Ia memang berlaku. Ia amat memalukan. Ia hanya mengesahkan bahawa perkara seperti ini memang berlaku di negara ini...amat memalukan,” Nazri berkata, apabila menyatakan kezaliman tersebut sangat memalukan negara cemerlang, gemilang, terbilang kita.

Nazri berjanji akan menunjukkan klip video itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya skandal ini dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri minggu depan.

Nazri juga menyatakan prosidur sepatutnya perlu dipatuhi sekiranya pihak polis merasakan perlu untuk mengarahkan seseorang menanggalkan pakaiannya, dan bukan juga calang-calang pegawai berhak berbuat demikian.

“Ia sepatutnya dilakukan di depan doktor atau pegawai tinggi. Bukan semua anggota polis boleh mengarahkan seseorang itu tanggal pakaian. Jika anda hendak menanggalkan pakaian seseorang, anda mesti pastikan ia dilakukan di tempat yang tertutup. Anda tidak boleh mengarahkan wanita itu menanggalkan pakaian di mana-mana sahaja,” katanya selepas menonton klip itu yang disiarkan oleh Teresa di laiptopnya.

Peristiwa ini menjadi berita hangat di seluruh negara apabila gambar dari klip tersebut disiarkan di muka hadapan akhbar China Press semalam. Sebahagian klip video tersebut yang selama 20 saat ditayangkan di Malaysiakini.tv, setelah bahagian-bahagian yang tidak sesuai untuk kanak-kanak ditapiskan.



Gambar blog Kit Siang

Ketua Polis Daerah (OCPD) Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Hazam Abdul Halim berkata, Polis telah mula menyiasat kes ini mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang boleh mengaibkan kehormatan perempuan.

Polis Petaling Jaya akan menyiasat juga sumber rakaman, identiti perakam dan juga mewawancara wartawan serta editor akhbar harian yang siarkan berita ini bersama-sama dengan Ibupejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman dan Biro Penyiasat Rasuah (BPR)

Beberapa anggota polis dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, termasuk Timbalan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahman dan tiga orang lagi pegawai telahpun melawat Parlimen pada pukul 4:45 petang tadi untuk lebih kurang lima minit ekoran klip video ini. Mereka telah menonton klip video tersebut yang ditayangkan wartawan TV3 di Bilik Media, Parlimen.

Yang paling menarik, dalam perbualan di antara mereka sendiri, pegawai-pegawai tersebut telahpun mengesahkan bahawa pegawai wanita tersebut adalah dari balai mereka dengan berkata sesama mereka sendiri, "Ini pegawai balai kita"

Mengenai pengesahan mereka, para wartawan telah meminta Abdul Rahman mengenal pastikan sama ada pegawai terlampau tersebut bertugas di Petaling Jaya. Sayang sekali, beliau tidak sudi memberi komen. Seterusnya, mereka melarikan diri dari Parlimen untuk mengelakkan soalan-soalan wartawan.

Secara kebetulan, kes-kes wanita-wanita China yang mengadu kepada Teresa kerana diarah berbogel seterusnya payudara mereka diramas pegawai polis dan diminta wang kopi sebelum ini juga berlaku di Petaling Jaya. Mereka turut "diziarahi" lebih kurang 7 atau 8 orang pegawai polis pada larut malam yang mendakwa ingin mengenal pasti "sama ada mereka tinggal bersama suami mereka di alamat yang diberikan".


Teresa tayangkan klip penyalahgunaan kuasa polis

Teresa mengumumkan bahawa tiada sebarang siasatan dimulakan mengenai 4 wanita China yang dizalimi pihak polis sejak ia dilaporkan kepada polis ketika perayaan Hari Raya. "Bukit Aman belum memberikan penjelasan mengenai perkara ini," ujar beliau. Oleh yang demikian, beliau sekali lagi menggesa agar pihak polis memulakan siasatan dan mengambil tindakan.

Teresa juga memberitahu bahawa beliau mendapat klip video itu selepas ia sekeping CD yang memuatkan klip itu dihantar ke pejabat beliau. Walaupun beliau tidak berasa mangsa tersebut adalah salah seorang daripada 4 wanita China dalam kes terdahulu, ia masih menggegarkan seluruh Malaysia. Teresa menyoalkan lagi kalau setiap tahanan perempuan terpaksa diperiksa secara bogel.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid mengumumkan beliau akan melawat ke China kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengarahkan beliau untuk pergi menjelaskan isu 4 orang wanita yang dizalimi polis diraja kita kepada pemerintah dan rakyat China. Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen bagi kawasan Ipoh Timur, Encik Lim Kit Siang berkata di dalam blog beliau, setelah perkara yang begitu memalukan berlaku, adalah tidak berguna lagi Azmi cuba menjelaskannya lagi kerana "Deed always speak louder than words".

0 Comments:

Post a Comment

<< Home