SepangOnline

Tuesday, November 29, 2005

Lebih 1,000 Ahli MCA akan Sertai Keadilan

Mohd Sabri Said (Harakahdaily)

BUKIT MERTAJAM - Kira-kira 1,000 orang ahli parti MCA Bahagian Bukit Mertajam, Permatang Pauh, Batu Kawan dan Nibung Tebal dijangka keluar beramai-ramai menyertai Parti Keadilan Rakyat dalam masa terdekat.

Demikian kata, bekas Ketua MCA Bahagian Bukit Mertajam, Tony Peh Choon Peng sewaktu majlis ramah mesra sempena rumah terbuka Dato' Seri Anwar Ibrahim di Ceruk To' Kun baru-baru ini.

Menurutnya, kebanyakan ahli MCA sudah bosan dengan kepimpinan parti itu yang hanya mementingkan diri daripada menjagai kebajikan ahli keseluruhannya.

"Kira-kira 1,000 orang ahli MCA di 21 cawangan di bahagian Bukit Mertajam, Permatang Pauh, Batu Kawan dan Nibung Tebal akan menyertai Keadilan secara beramai-ramai tidak lama lagi," ujarnya.

Terutamanya, kepimpinan MCA sengaja merelakan kewujudan undi hantu yang nyata memberi kelebihan kepada mereka ketika berlaku pertandingan dalam bahagian.

Sedangkan bukan demokratik katanya, jika membiarkan pengundi hantu yang boleh membantu mengatasi lawan di dalam sesuatu pertandingan sengit.

"Kes membawa isu pengundi hantu ke mahkamah di bahagian MCA Bukit Mertajam membuatkan tujuh orang kami dipecat. Kita bukan mencabar kepimpinan membuta tuli sebaliknya ada fakta bahawa mereka tidak layak menerajui MCA, " tegasnya.

MCA tidak memerlukan kepimpinan yang 'bisu dan pekak' sambung Tony Peh, kerana sikap sedemikian boleh menghancurkan parti.

Sepatutnya, sebagai seorang pemimpin mereka kena dengar cakap orang bawahan sekiranya pandangan itu logik dan berkesan.

"Parti boleh hancur binasa jika kepimpinan tidak jujur dan amanah. Bak kata perpatah orang Cina 'mereka mahu menutup langit dengan sehelai rambut', " tambah beliau di hadapan penasihat Keadilan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Selain Anwar hadir sama dalam pertemuan singat itu ialah Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Pengerusi Keadilan Negeri, Cheah Kah Peng dan Setiausaha Keadilan Negeri, Haji Malek Kassim.

Sementara itu, Dato' Seri Anwar dalam ucapannya memuji langkah yang dilaksanakan oleh ahli MCA kerana berani membuat perubahan sehingga mereka diketepikan.

Dipecat, jelas mantan Timbalan Perdana Menteri itu, tidak boleh mematahkan semangat perjuangan sebaliknya cari kekuatan baru dengan menyertai Keadilan kerana Keadilan tetap menerima mereka sebagai ahli parti jika menepati syarat-syarat yang sedia ada.

"Tunggu apa lagi sertailah PKR kerana perjuangan kita memerlukan kekuatan bersama Barisan Alternatif (BA) untuk berhadapan dengan jentera Barisan Nasional (BN)," terangnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home