SepangOnline

Thursday, November 24, 2005

SECANGKIR KOPI PAHIT

Perlukah Ezam berkorban lagi?
RUSTAM A. SANI - Suara Keadilan, Bil.71, 16 November 2005

--------------------------------------------------------------------------------

Tepat pada hari Ezam Mohd Nor mengumumkan bahawa beliau akan melancarkan sebuah gerakan yang bersifat “bukan politik” – yang dinamakan Gerak – yang akan berjuang bagi memerangi rasuah di negara ini, sebuah mahkamah tertinggi negara ini mendapati seorang pegawai tinggi dalam perkhidmatan awam negara bersalah kerana melakukan rasuah yang melibatkan belasan juta ringgit.

Sekali gus, pengumuman Ezam itu meredakan spekulasi yang telah bertiup kencang selama beberapa minggu tentang kemungkinan beliau membuat pengumuman tentang kembalinya beliau ke pangkuan perjuangan Umno.

Dua peristiwa yang amat ironis itu, bagi saya, membuktikan bahawa inisiatif Ezam itu tepat waktu dan tujuannya. Keputusan mahkamah tersebut, bagi saya, merupakan bukti yang jelas bahawa rasuah di negara ini semakin menjadi-jadi – dan perlu diperangi. Keputusan mahkamah itu bukanlah pertama kali seorang pegawai tinggi perkhidmatan awam kita didapati bersalah kerana rasuah. Apa yang baru ialah jumlah rasuah yang terlibat. Jika setakat ini jumlah rasuah yang dilakukan oleh para pegawai hanya melibat puluhan dan ratusan ribu, maka kini jumlahnya sudah mencapai puluhan juta ringgit.

Persoalan yang timbul dibenak saya ialah: Jika para pegawai sudah mulai melakukan rasuah sebesar itu, maka berapakah jumlah dan bagaimanakah tahap rasuah yang dilakukan oleh para ahli politik kita yang berkuasa, para kroni mereka, dan para ahli perdagangan kita yang bergelumang dalam kegiatan perniagaan yang amat kompetitif sifatnya?

Apakah rasuah dan korupsi sebenarnya merupakan amalan yang sudah terlembaga atau terinstitusi dalam masyarakat kita? Kedudukan kita dalam indeks rasuah sedunia juga tampaknya berada pada tahap yang sepatutnya lebih merisaukan daripada kedudukan universiti-universiti kita dalam indeks pengajian tinggi seluruh dunia. Setiap tahun kita semakin jauh ketinggalan di belakang negara-negara yang relatif bersih daripada rasuah, seperti Singapura dan New Zealand. Kita kini sudah semakin selesa berada di kalangan beberapa “jago” rasuah dunia seperti Indonesia, Pakistan dan kebanyakan negara Afrika!

Parti politik yang terbesar di negara ini, yakni Umno, baru sahaja membuat pengakuan tentang politik wang – alias korupsi politik – yang berleluasa dalam kegiatannya, dengan menggantung keanggotaan dan menggugurkan jawatan Naib Presidennya yang terkanan. Namun azam politik Perdana Menteri baru untuk memerangi rasuah – dan sepupunya kronisme dan nepotisme – yang dikatakan amat berleluasa dalam zaman pemerintahan Perdana Menteri yang lalu, masih belum juga kelihatan.

Memanglah benar bahawa beberapa bekas ahli politik yang tidak penting dan seorang ahli perniagaan yang tua lagi uzur sedang menghadapi dakwaan di mahkamah. Namun tidak dapat dinafikan bahawa langkah pendakwaan itu sendiri sedang berjalan dengan lambat sekali. Sehubungan dengan ahli perniagaan itu, banyak rakyat yang secara berjenaka membuat pertaruhan tentang apakah yang akan berlaku terlebih dulu: hukuman mahkamah atau maut?

Kontroversi tentang AP yang telah tercetus baru-baru nampaknya lebih banyak ditarik ke sana dan ke sini daripada diselidiki secara mendalam unsur rasuah dan kronismenya – meskipun bau rasuah itu kadangkala lebih jelas daripada bau belacan yang sedang dipanggang di dapur. Akhirnya, isu itu tenggelam begitu sahaja dalam kemelut perang mulut antara Rafidah dan Mahathir (yang diumumkan PM sebagai perbalahan peribadi), isu kereta nasional, isu dasar automotif negara, isu menteri tidak menghormati parlimen. Segala sudutnya diperkatakan, melainkan sudut rasuah dan kronisme!

Dilihat dari segi perkembangan rasuah yang amat menggerunkan menuju proses terlembaganya fenomena tersebut dalam masyarakat kita, maka usaha dan inisiatif Ezam itu bukanlah sekadar tepat waktunya, malah amat penting. Selain itu, Ezam sendiri merupakan orang yang amat tepat dan paling tinggi kredentialnya untuk mencetuskan perjuangan itu. Sejak lama isu rasuah itu telah dijadikan unsur utama perjuangan politiknya – dan dia telah membayar “kos” perjuangan itu dengan beberapa tahun ditahan di bawah ISA dan dua tahun dipenjarakan setelah “didapati bersalah” oleh Mahkamah kerana melanggar Undang-undang Rahsia Rasmi.

Selain itu, Ezam terkenal kerana dakwaannya bahawa beliau mempunyai enam kotak dokumen bukti tentang amalan rasuah yang dilakukan orang-orang berkedudukan tinggi di negara ini. Namun sehingga kini, selain daripada dokumen yang melibatkan Rafidah yang dikemukakan di mahkamah sehubungan perbicaraan OSAnya itu, enam kotak dokumen itu masih terus terlindung daripada pengetahuan dan perhatian rakyat oleh Akta Rahsia Rasmi.

Ezam, dengan segala kelantangnya sebagai seorang ahli politik pembangkang, dengan segala karismenya sebagai pemimpin politik golongan muda, dan dengan segala pengorbanannya yang melibatkan bertahun-tahun di penjara, masih belum mampu mendedahkan keburukan dan keparahan barah rasuah di negara ini – meskipun dia mendakwa mempunyai 6 kotak dokumen bukti. Oleh yang demikian, sebuah gerakan NGO seperti Gerak yang bakal dilancarkannya amatlah diperlukan. Dan selain Ezam, rasanya memanglah sukar dicari seorang tokoh yang mempunyai kredential untuk memimpin gerakan anti-rasuah yang demikian di negara ini.

Salah satu sebabnya amalan rasuah berleluasa di negara ini ialah kerana tidak terdapat rasa benci dan marah yang mendalam (atau indignation) di kalangan rakyat negara ini terhadap amalan tersebut. Akibat kebiasaan yang terasuh selama tiga dekad pemerintahan Mahathir di negara ini, terdapat malah rakyat yang menganggap amalan rasuah itu sebagai sesuatu yang lumrah – dan penting sebagai jentera yang menggerakkan pembangunan negara. Bila rakyat tidak marah, maka para menteri yang terkenal yang diketahui umum amalan rasuahnya juga akan berani bercakap besar mengancam rakyat dan mempertahankan diri jika pentadbirannya yang tidak cekap dikritik dan didedahkan.

Oleh yang demikian, salah satu langkah yang dapat dilakukan oleh gerakan seperti Gerak yang akan dilancarkan itu ialah untuk memupuk, malah menyemarakkan, rasa indignation rakyat terhadap rasuah. Kita tidak perlu sekadar melihat rasuah dari aspek kelebihan tidak adil yang dinikmati mereka yang telah membuat sogokan. Rakyat perlu disedarkan dan diberi pendidikan tentang kesan buruk jangka panjang rasuah terhadap masyarakat – bahawa kos tinggi jangka panjang pembangunan yang digerakan oleh rasuah itu sebenarnya dibiayai dari wang yang dirampas dari poket rakyat sendiri.

Siapakah di kalangan para tokoh negara ini yang lebih layak untuk melancarkan – dan memimpin – gerakan kesedaran bahaya jangka panjang rasuah itu (seperti juga bahaya jangka panjang dadah) itu selain Ezam yang terbukti telah bekerja keras dan berkorban untuk itu. Namun, bagi saya, inisiatif Ezam sekali ini berkemungkinan pula merupakan suatu pengorbanan lagi yang perlu dilakukannya terhadap perjuangan politiknya.

Pada waktu ini, Ezam merupakan Ketua Angkatan Muda PKR (yang berkedudukan Naib Presiden parti itu). Perjuangannya yang bersifat sepenuh masa dan tidak berbelah bagi amat diperlukan demi peningkatan kekuatan angkatan tersebut dan juga parti itu pada keseluruhannya. Bila Ezam melancarkan suatu gerakan lain yang penting dan besar seperti Gerak, maka tidakkah itu akan bererti kelak sekurang-kurangnya 50% masa dan tenaganya terpaksa dialihkan daripada Angkatan Muda PKR dan dari PKR sendiri yang memerlukan 100% sumbangannya! Inilah yang saya maksudkan dengan “pengorbanan” yang perlu diberikan Ezam begi melaksanakan perjuangan anti-rasuahnya itu.

Untuk apakah pengorbanan ini perlu dilakukan? Menurut penjelasannya gerakan anti-rasuah memerlukan suatu wadah yang lebih kredibel yang tidak dianggap partisan. Andaiannya itu mungkin benar. Namun soalnya apakah sebarang gerakan sosial yang dipimpin oleh seorang ahli politik pembangkang seperti Ezam akan dianggap non-partisan oleh rakyat – lebih-lebih lagi kerajaan. Malah rasanya lebih besar kemungkinan bahawa sesuatu gerakan yang dipimpin – malah diperebutkan pimpinannya – oleh para pemimpin Umno (seperti GPMS) akan dianggap bersifat non-partisan dan mendapat peruntukan kewangan dari kerajaan.

Menurut perhitungan saya yang agak naif, tidakkah lebih baik Ezam menumpukan 100% masa dan tenaganya terhadap perjuangan Angkatan Muda PKR dan PKR sendiri dalam memperjuangkan projek reformasi sosialnya yang mendalam dan meluas itu – dengan perjuangan menghapuskan rasuah, kronisme dan nepotisme merupakan suatu bahagian yang integral daripada reformasi tersebut. PKR tidak sekadar harus berusaha mengkritik dan mendedahkan amalan rasuah di negara ini, tetapi PKR harus mempelopori perjuangan menyemarakkan rasa indignation rakyat terhadap fenomena tersebut.

Dan Ezam, sebagai tokoh utama PKR yang mempunyai kredebiliti dalam bidang itu, pada hemat saya, harus berada dalam barisan depan dalam projek tersebut. Sekaligus, ini juga akan mengurangkan “kesukaran” yang sedang dihadapi PKR dengan sebilangan besar para pemimpin strategiknya terlibat dalam usaha meningkatkan kredibiliti diri dalam segala macam ruang dan bidang.

Selesai.
- Rustam A Sani

0 Comments:

Post a Comment

<< Home