SepangOnline

Tuesday, November 22, 2005

Keluarga Sook Swan dan Simon Tuntut Perbicaraan Adil

Malaysia Today

SERDANG - Ibubapa kepada pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Lim Sook Swan dan Simon Ooi Tze Min menghantar wakil penjaga untuk memantau perjalanan perbicaraan tatatertib yang dikenakan terhadap anak mereka.

Mereka berdua dituduh berada dalam satu perhimpunan di hadapan Bangunan parlimen Malaysia pada 21 September lepas, dengan tujuan untuk menyatakan bantahan dan menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengajian Tinggi Malaysia berkenaan dengan penyerahan laporan penuh penyelewengan dan ugutan yang berlaku sepanjang Pilihan raya Kampus yang baru lalu.

Dalam perbicaraan pada 12 November lalu, mereka dituduh dengan pelbagai kesalahan yang dikatakan melanggar Kaedah-kaedah Universiti Pertanian Malaysia (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1975.

Berlandaskan itu, Sook Swan dan Tze Min juga dituduh menyertai satu perarakan dari Masjid negara ke Bangunan Suhakam bagi menyerahkan Laporan Pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar.

Mereka juga dituduh berada dalam satu perhimpunan di hadapan bangunan parlimen Malaysia pada 21 September lepas dengan tujuan untuk menyatakan bantahan dan menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengajian Tinggi Malaysia berkenaan dengan penyerahan laporan penuh penyelewengan dan ugutan yang berlaku sepanjang Pilihan raya Kampus yang baru lalu.

Selain itu, mereka dituduh menghasut pelajar-pelajar lain di hadapan bangunan Pentadbiran UPM pada 29 September lalu untuk memboikot pilihan raya kampus itu.

Sebelum itu, pada 25 Oktober, ibubapa Sook Swan; Lim Keng Seng dan Tan Chooi Yim menghantar surat kepada ketua Pihak Berkuasa Tatatertib UPM, Prof Madya Dr Azali Mohamed menuntut agar pihak universiti mengadakan perbicaraan yang adil terhadap anaknya.

Manakala, ibu kepada Tze Min, Loh Seow Leng mengemukakan tuntutan mereka pada 7 November lalu.

Dalam surat mereka, kedua ibubapa itu berpendirian bahawa anak mereka tidak bersalah dalam kes-kes yang dibangkitkan dan akan menyokong anak mereka dengan sepenuhnya.

"Kami berharap pihak tuan menggugurkan dakwaan tersebut," sebut surat tersebut.

Justeru, sekiranya pihak universiti tetap ingin meneruskan perbicaraan, mereka menuntut agar anaknya diwakili peguam dalam perbicaraan tersebut.

Mereka juga mahukan agar Pihak Berkuasa Tatatertib membekalkan rekod tentang kedua-dua perbicaraan yang dijalankan pada 20 Oktober dan 24 Oktober yang lalu kepada mereka.

Selain itu, mereka juga menuntut agar pihak tersebut membekalkan senarai nama ahli-ahli panel perbicaraan kepada kami.

"Kami mahukan perbicaraan anak kami dijalankan secara terbuka," jelas bapanya dalam surat kepada pihak universiti.

Pelbagai organisasi berada di perkarangan bangunan pentadbiran memberi sokongan kepada kedua-dua mereka. Pihak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah dipanggil bagi mengawal keadaan.

Namun, perbicaraan tersebut tidak dapat dilaksanakan dan ditangguh kepada satu tarikh yang masih belum ditetapkan.

Badan hak asasi Malaysia (Suaram) juga mendapati bahawa tindakan yang diambil oleh UPM terhadap pelajar-pelajarnya sebagai satu tindakan melanggar hak asasi manusia.

Timbalan Naib Cansellor UPM, Prof Madya Dr Azali Mohamed dikatakan mempunyai rekod latarbelakang yang sangat teruk dalam menjaga kebajikan dan hal ehwal pelajar sejak beliau memangku jawatan tersebut pada tahun 2003.

Pada 22 Ogos 2003, Azali dikatakan mengetuai pasukan menggeledah bilik kediaman pelajar perempuan kerana dituduh menjalankan 'aktiviti bawah tanah.'

Azali dan pegawai-pegawainya seramai enam orang dilaporkan membuat penggeledahan di sebuah bilik empat pelajar wanita di antara jam 12 malam hingga 3 pagi.

Azali juga dikatakan membuka fail-fail peribadi pelajar-pelajar berkenaan dari komputer mereka dan merampas beberapa jenis risalah.

Beliau juga turut mengarah timbalannya, Prof Dr Abdullah Al-Hadi Mohamed menjalankan soal siasat terhadap pelajar-pejar itu.

Selain itu, dalam tempoh penguasaan Azali juga pernah berlaku kes di mana pelajar membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di mana dua pelajar UPM dibelasah oleh dua kakitangan Hal Ehwal Pelajar UPM serta mereka dituduh sebagai 'komunis.'

Insiden yang berlaku pada 6 Ogos 2004 melibatkan wakil pelajar dari Fakulti Bioteknologi; Lua Khang Wei dan Lim Ban Teng. Kedua-dua mereka pada ketika itu pelajar tahun tiga.

Kejadian tersebut berlaku di luar pejabat timbalan Naib Canselor HEP.

Suaram telah menghantar surat mereka pada 24 Oktober lalu dengan menyatakan bahawa menyertai perhimpunan dan kebebasan bersuara adalah satu hak asasi manusia.

Surat tersebut dihantar ke pejabat Azali.

Menurut koordinator Suaram, Seah Li Ling, dakwaan yang dikenakan terhadap kedua-dua pelajar tersebut adalah bercanggah dengan keperluan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Sejagat Hak Asasi.

Justeru, Suaram menuntut pihak UPM agar menggugurkan tindakan tersebut dan mengembalikan hak asasi dan ruang demokrasi pelajar-pelajar tersebut.

Sebagai menyatakan sokongan terhadap mahasiswa tersebut, sila menurunkan tandatangan di petisyen online yang dilancarkan Suaram.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home