SepangOnline

Monday, November 21, 2005

Gerak dapat sambutan, polis halang Ezam lancar di Perlis

Oleh Zulkifli Mohamed

PERMATANG PAUH: Walaupun baru dilancarkan pada 18 November lalu, di Muassasah Darul Ulum, Kedah, Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) yang dipelopori Ketua Angkatan Muda, Ezam Mohd Noor, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai kaum untuk menjadi sukarelawannya.

“Cukup menggalakkan ialah penyertaan semua bangsa yang mendaftar melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan internet (emel).

“Paling ramai mendaftar melalui emel ialah kelompok kaum Cina,” jelas Ezam pada taklimat Gerak kepada Ahli Jawatankuasa Negeri, Wanita dan Angkatan Muda Pulau Pinang, di sini, Ahad.

Menurutnya golongan yang berumur antara 18 sehingga 25 tahun paling ramai mendaftar sebagai sukarelawan.

“Ini satu petanda baik, dengan membaca risalah Gerak mereka tergerak untuk mendaftar sebagai sukarelawan Gerak,” jelasnya.

Menurut Ezam, pada hari pelancaran sahaja lebih 100 orang mendaftar sebagai sukarelawan.

“Kita menjangkakan sehingga Februari ini kita dapat mendaftar sekurang-kurangnya 1000 sukarelawan Gerak dari seluruh negara sebagai asas pertama, untuk kita laksanakan program-program selanjutnya,” katanya.

Peringkat permulaan sukarelawan Gerak akan membantu menyebarkan risalah atau mempromosikan laman web bagi menyedarkan masyarakat tentang pentingnya demokrasi dan bahaya korupsi.

“Sukarelawan akan membantu menyebarluaskan maklumat kepada masyarakat tentang peri pentingnya amalan demokrasi dan rasuah sebagai musuh utama negara,” katanya.

Gerak diumumkan penubuhannya oleh Ezam pada 12 November lepas, di Pejabat Parti Keadilan Rakyat.

Matlamat Gerak bertujuan memperjuangkan prinsip-prinsip asas demokrasi, kebebasan akhbar dan pembasmian korupsi ke arah melahirkan sebuah negara yang mempunyai urus tadbir yang baik.

Dalam pada itu, pihak polis telah menghalang majlis pelancaran Gerak peringkat negeri Perlis pada 19 November lalu, di Markas Taman Jali.

“Polis telah mengugut tuan rumah supaya membatalkan program tersebut, kononnya atas sebab-sebab keselamatan,” jelasnya.

Malah kata Ezam, sekatan jalan raya telah diadakan dari kedua-dua arah tidak sampai seratus meter dari tapak program bagi menghalang orang ramai menghadiri majlis berkenaan.

“Pihak polis menahan setiap kenderaan yang masuk dan memberitahu pemandu bahawa program Gerak dibatalkan,” katanya.

Berikutan itu, pihaknya hanya mengadakan majlis taklimat ringkas.

Sebelum itu, menurut Ezam, ketika menyebarkan risalah di bandar Kangar, pihaknya sentiasa dipantau polis cawangan khas yang menyamar sebagai wartawan.

“Bentuk soalan yang mereka tanyapun kita sudah tahu mereka wartawan atau polis,” katanya.

Ezam berkata, setelah disiasat terbukti mereka adalah polis cawangan khas.

Bagi mereka yang ingin menjadi sukarelawan Gerak, boleh emelkan ke:


gerakmalaysia@gmail.com

atau SMS ke 017-6688404

atau faks ke 03-78039423

atau poskan ke:
Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi, B-1012, Blok B, Tingkat 10, Kelana Square, Jalan SS 7/26, Kelana Jaya, 47301, Selangor.

Dengan menyatakan nama, nombor kad pengenalan, alamat, nombor telefon dan emel.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home