SepangOnline

Friday, October 07, 2005

Wan Azizah ucap selamat berpuasa kepada rakyat Muslim

Oleh: Faisal Mustaffa

KUALA LUMPUR: Presiden KeADILan, Dati Seri Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan kepada seluruh rakyat beragama Islam selamat menyambut dan menghayati bulan Ramadhan Al-Mubarak 1426 Hijrah.

Dalam kenyataan medianya, Azizah berharap agar Ramadhan kali ini akan dapat dihayati dan dinikmati dengan lebih baik lagi berbanding tahun-tahun lalu.

Menurut Azizah dalam kenyataannya bertarikh 5 Oktober lalu, kehadiran Ramadhan amatlah dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam kerana pada bulan ini umat Islam akan berusaha mendapat keampunan dan keredaan Allah swt.

”Ramadhan datang sebagai tetamu agung dalam setiap tahun dan merupakan hari-hari besar untuk mengerjakan berbagai macam kebaikan. Pada bulan yang mulia ini umat islam akan melipat gandakan kebaikan dan amalan sama ada kepada yang Esa ataupun sesama manusia," ujarnya.

Menyingkap sejarah perjuangan umat, Ramadhan juga ditandai dengan pelbagai peristiwa penting antaranya penurunan Al-Quran (Nuzul Al-Quran), Azizah berkata, kejayaan Perang Badar dan Pembukaan Kota Mekah (Fathul Makkah). Ramadhan adalah bulan untuk kita membina kekuatan rohani, emosi, mental dan fizikal. Justeru, umat Islam hendaklah sentiasa mempertingkatkan daya tahan dan jati diri agar terus relevan di dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini.

Ramadhan juga diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha kita untuk terus memperjuangkan hak terutama di dalam suasana ruang demokrasi yang kian sempit ini.

Menurutnya lagi, falsafah daripada ibadat puasa di bulan Ramadhan juga mengimbau kepada seruan pertanggungjawaban sosial dalam membela golongan miskin.

"Ibadah puasa sewajarnya mengajar kita erti kesabaran dan sifat tolong-menolong sesama manusia," katanya.

"Maka saya ingin menyeru kepada seluruh umat islam supaya kita sama-sama berdoa agar saudara kita di Selatan Negara Thai dapat menunaikan ibadat puasa ini dengan sempurna dan penuh keinsafan meskipun terpaksa menghadapi pergolakan yang begitu dahsyat," jelas Azizah.

Beliau juga menyebut saudara-saudara Islam yang berada di Iraq, Palestin dan di seluruh pelusuk dunia.

"Semoga segala amalan dan usaha kita di dunia ini akan mendapat keredhaan daripada Allah swt," katanya lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home