SepangOnline

Friday, October 07, 2005

Anwar tentang gunakan Islam secara kekerasan

Oleh: Faisal Mustaffa

TAIPING: Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap lawatan singkatnya ke Taiping mengingatkan kembali kenangan ketika beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1972 lalu.

Ketika memberi ceramah kepada penduduk Kamunting di sini pada 29 September lepas, Anwar mendesak agar anak lelaki kepada Menteri Besar Kelantan, Nik Adli Nik Abdul Aziz dan lapan yang lain yang ditahan di bawah ISA dibawa ke mahkamah.

Pada pertengahan September lalu, Nik Adli dan rakan-rakannya yang sepatutnya selesai tempoh penahanan dua tahun disambung lagi selama dua tahun atas alasan tahanan-tahanan tersebut masih tidak menunjukkan sebarang 'perubahan.'

Mereka ditahan kerana dipercayai melibatkan diri dengan kegiatan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan ingin menumpaskan kerajaan sah dengan cara kekerasan.

Dalam ceramahnya, Anwar berkata bahawa beliau menentang menggunakan Islam untuk melakukan keganasan.

"Tetapi saya juga menentang menggunakan kezaliman untuk menangkap orang," tambah Anwar.

Justeru, Anwar mendesak agar kesemua tahanan ISA dibawa ke mahkamah bagi membuktikan pertuduhan mereka.

Majlis ceramah tersebut diadakan di Markas PAS Kamunting yang berdekatan dengan Kem Tahanan Kamunting yang pernah menempatkan Anwar dan banyak lagi tahanan politik di bawah ISA.

Beliau berucap demikian di hadapan kira-kira 15,000 orang yang rindu untuk mendengar ceramah Penasihat KeADILan itu. Kata-kata itu mendapat tepukan gemuruh daripada orang ramai.

Anwar yang tiba pada kira-kira 10 malam berucap selama satu setengah jam yag merangkumi isu ekonomi di negara ini. Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang menyambut kedatangan beliau.

Kedatangan beliau diiringi oleh enam penunggang motosikal berkuasa tinggi yang dinaungi oleh KeADILan Bahagian Taiping.

Beliau juga menjelaskan tindakannya yang menyaman bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad kerana masih menuduh beliau sebagai seorang homoseks walaupun Anwar didapati tidak bersalah oleh mahkamah.

"Saya sudah pun memaafkannya tetapi apabila dia (Mahathir) tetap mengeluarkan kenyataan tidak dapat menerima saya kerana salahlaku seks yang saya lakukan, saya tidak mempunyai pilihan lain," kata Anwar.

Anwar baru-baru ini menghantar notis permohonan saman sebanyak RM100 juta kepada mantan Perdana Menteri itu melalui peguamnya.

Mahathir juga diminta membuat permohonan maaf di dalam media yang dipilih oleh Anwar sendiri.

Anwar tiba bersama beberapa pucuk pimpinan KeADILan pusat. Di antaranya ialah Naib Presiden, Azmin Ali dan Mustafa Kamil Ayub; Setiausaha Agung, Datuk Kamaraul Baharin Abas dan Pengerusi Perhubungan Negeri Perak, Haji Osman Abdul Rahman.

Beliau dan rombongannya kemudian menjamu selera di rumah Mejar (B) Anuar Abu Bakar tidak jauh dari tempat ceramah sebelum menuju ke Pulau Pinang bagi menghadiri jemputan ceramah di Kepala Batas.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home