SepangOnline

Friday, April 01, 2005

Majlis Mufti–Mufi Malaysia Perlu Nyatakan PendirianMengenai ISA

Info Media & Aktiviti Angkatan Muda Malaysia PKR
1 April 2005

Hampir semua media hari ini melaporkan mengenai keputusan Majlis Mufti-Mufti Malaysia yang menolak penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IRC) dengan alasan ianya tidak memberi apa-apa faedah kepada umat Islam, bahkan hanya merugikan mereka.

Keputusan itu dicapai pada Persidangan Mufti-Mufti Se-Malaysia di Seremban. Persidangan itu dihadiri oleh semua mufti negeri kecuali Mufti Kelantan dan Sarawak.

Dalam sidang media selepas itu Mufti Perak Datuk Seri Dr Harussani Zakaria berkata Islam hanya boleh dibincangkan oleh orang Islam sahaja dan orang bukan Islam tidak berhak untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan hukum atau hal ehwal agama Islam.

Mengenai seorang wanita, Amina Wadud menjadi imam dan membaca khutbah sembahyang Jumaat di Amerika Syarikat pada 18 Mac lepas yang mengejutkan umat Islam di seluruh dunia, beliau berkata sebenarnya seluruh mazhab, sejak dari awal Islam lagi menolak wanita menjadi imam kepada orang lelaki.
Katanya walaupun terdapat hadis membenarkan wanita menjadi imam tetapi hadis itu ditujukan kepada seorang wanita yang mempunyai anak-anak yang masih kecil dan suami yang baru memeluk agama Islam iaitu yang belum lagi membaca al-Quran.
Angkatan Muda Malaysia menghormati keputusan Majlis Mufti – Mufti Malaysia dalam perkara itu. Tindakkan segera dan tegas badan itu mengenai perkara ini dalam keadaan rakyat khususnya umat Islam yang gelisah mengenai perkembangannya boleh dipuji.

Walaubagaimanapun keberanian dan ketegasan yang sama oleh badan itu juga dituntut dalam menegaskan pendirian mengenai beberapa perkara yang jelas turut bertentangan dan mengancam kesucian Islam di negara ini seperti kezaliman ISA, salahguna tempat ibadah dan kegiatan mempergunakan agama secara melampau untuk kepentingan politik.

Badan itu perlu juga dengan segera menegaskan pendirian mengenai perkara itu seperti itu. Ini penting bukan sahaja untuk menjaga kesucian agama tetapi memelihara pandangan penganut agama lain terhadap Islam.
Penganut agama lain pasti melihat Islam itu zalim kerana dalam negara Islam Malaysia ini masih mempunyai undang – undang sezalim ISA atau Islam mungkin dilihat bersifat berpecah belah kerana di kebanyakan Masjid digunakan untuk tujuan politik penguasa yang menyebabkan umat Islam gagal bersatu.

Malah badan itu mesti memutuskan segera mengenai perang saraf yang mengelirukan rakyat apabila kononnya negara ini mempraktikkan Islam Hadhari sedangkan apa yang berlaku dalam kehidupan seharian rakyat dan penguasa bukan mengikut Islam sebenar.

Jika didapati negara ini bertentangan dengan konsep sebenar negara Islam kerana mempunyai undang – undang zalim seperti ISA (contohnya), maka badan ini di cabar untuk mengisytiharkan Malaysia bukan negara Islam.
Sesungguhnya masyarakat ternanti – nanti keberanian badan ini kerana selama ini masyarakat melebelkan badan – badan seperti ini hanya mampu bertegas dalam perkara yang tidak bertentangan dengan kepentingan kerajaan. Tetapi jika ia jelas bertentangan dengan kehendak kerajaan tetapi agama menuntut untuk ia ditegaskan, selalunya badan seperti ini membisu.

Berikutan perkembangan ini minggu hadapan Angkatan Muda Malaysia akan menghantar satu nota desakan kepada Majlis Mufti - Mufti Malaysia untuk badan itu menyatakan pendirian dalam beberapa perkara khususnya mengenai kezaliman ISA

Salam Reformasi
BADRUL HISHAM SHAHARIN
Timb. Ketua Penerangan Angkatan Muda Malaysia
0163242564

0 Comments:

Post a Comment

<< Home