SepangOnline

Thursday, April 21, 2005

Kerajaan digesa ambil tindakan pemaju engkar Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah

SHAH ALAM 20 April - Sungguhpun Tribunal Tuntutal Pembeli Rumah telah memberi arahan kepada pemaju perumahan untuk membayar oenalti faedah lewat menyerahkan rumah kepada pemilik, namun arahan tersebut tidak diambil peduli oleh pihak pemaju. Oleh yang demikian, Datuk Seri Ong Ka Ting, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah digesa ambil tindakan tegas terhadap pemaju-pemaju perumahan yang engkar mematuhi perintah Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah disebabkan kegagalan menyerahkan rumah kepada pembeli seperti yang ditetapkan di dalam perjanjian jualbeli.

Satu rungutan telah dibawa oleh Persatuan Penduduk Pangsapuri Flora 3, Bandar Pinggiran Subang , Seksyen U5, Shah Alam, Selangor kepada Syed Nazaruddin Syed Aziz, Pengerusi Biro Perumahan & Kerajaan Tempatan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat baru-baru ini berkenaan dengan pemasalahan mereka. Dalam aduan tersebut, pemaju projek perumahan, Ikhtiar Seni Sdn Bhd ( No syarikat : 313833-K) sepatutnya menyerahkan pemilikan pangsapuri- 5 tingkat kos sederhana bernilai dalam lingkungan RM70,000 kepada pembeli dalam tempoh 3 tahun selepas menandatangani perjanjian jualbeli. ( Ikhtiar Seni Sdn Bhd juga merupakan ahli syarikat Merge Housing Group of Companies). Sebaliknya pangsapuri hanya diserahkan kepada pembeli 12 hingga 18 bulan selepas tarikh perjanjian tersebut.

Disebabkan kelewatan tersebut, beberapa orang pembeli telah membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan dimana Tribunal kemudiannya telah memerintahkan pemaju membayar penalti faedah lewat menyerahkan rumah sebanyak 10% setahun bermula dari tarikh kelewatan tersebut.Puratanya pemaju diperintahkan menjelaskan antara RM6,000 hingga RM8,000 kepada setiap pembeli rumah yang melibatkan lebih 180 buah rumah di kawasan perumahan tersebut. Secara kasarnya,pemaju perumahan berhutang lebih kurang RM1.26 juta dalam bentuk penalti faedah kepada pembeli-pembeli disebabkan kelewatan tersebut.

Pembeli juga kesal apabila pemaju tidak mempedulikan perintah yang diputuskan Tribunal tersebut. Keputusan Tribunal umpama tidak laku terhadap pemaju tersebut. Kata mereka lagi, disebabkan tempoh kelewatan penyerahan rumah (antara 12 bulan hingga 18 bulan) mereka terpaksa menyewa rumah lain dalam tempoh tersebut disamping dikehendaki terus menjelaskan bayaran faedah pinjaman bank masing-masing. Selain dari itu, penduduk juga merasa tertipu membeli rumah di kawasan tersebut kerana di dalam risalah iklan promosi projek perumahan tersebut, mereka sepatutnya disediakan kemudahan komuniti seperti dewan orangramai, surau, food court serta tadika sebaliknya hingga ke hari ini infrastruktur tersebut tidak pernah wujud.

Angkatan Muda melahirkan rasa kesal terhadap sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pemaju perumahan terhadap obligasi undang-undang mereka kepada pembeli dan tindak tanduk mereka mengingkari perintah pihak berkuasa. Lantaran Angkatan Muda mengesa pihak kerajaan lebih tegas dalam mengambil tindakan undang-undang atau menyenaraihitamkan pemaju-pemaju perumahan yang tidak bertanggungjawab ini agar perkara serupa tidak berulang lagi di masa hadapan terhadap bakal-bakal pembeli rumah lain.

Dalam masa yang sama Angkatan Muda telah mengesyorkan agar penduduk mengujudkan jawatankuasa badan bertindak disamping merancang untuk membawa semua penduduk-penduduk terlibat untuk bersemuka secara berdepan dengan tuanpunya / pemilik syarikat perumahan tersebut dengan segera. Bagi pihak Angkatan Muda pula, Syed sedang mengaturkan satu pertemuan di antara penduduk teribat dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membincangkan permasalahan penduduk penduduk terlibat dalam masa terdekat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home