SepangOnline

Saturday, May 26, 2007

Anwar Utamakan Parti

Kongres Nasional Keadilan menyaksikan suasana cukup dramatik sebentar tadi. Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas berbincang dengan rakan-rakan, pimpinan dan penyokong parti, meminta izin untuk berucap di Kongres.

Beliau berkata beliau sememangnya tidak menerima keputusan mahkamah yang mendapati beliau beralah di dalam perbicaraan yang terlalu pincang. Oleh itu, beliau juga tidak sekali-kali menerima keputusan ROS yang mengumumkan semalam hendak menidakkan haknya bertanding sebagai Presiden Keadilan. Beliau juga secara peribadi menerima risiko dipenjarakan dan didenda kerana mengingkari keputusan ROS tersebut.

Walaubagaimanapun, beliau ingin mengutamakan parti yang telah dibina selama ini. Dan beliau bersedia meneruskan apa yang dilakukan selama ini - memimpin parti bersama-sama Datin Seri Dr. Wan Azizah. Mereka bersilat dengan helah, kita bersilat dengan hikmah. Beliau terus komited bersama parti, tetapi tidak sanggup melihat Keadilan yang dibina diharamkan atas helah pemerintah.

Keputusannya mendapat reaksi yang cukup dramatik dari perwakilan. Ada yang mahu beliau tidak menghiraukan ancaman tersebut, dan terus bertanding sebagai Presiden Keadilan. Ada pula yang menyokong keputusan tersebut, dengan melihat senario yang lebih besar. Kira-kira 20 perwakilan memberi pendapat yang pelbagai. Ada reformis yang telah banyak berkorban, ada seorang wanita Melayu yang pernah menganggotai PPP sejak 1968 tetapi memilih wadah Keadilan pada 1998, ada seorang sikh yang meminta semua melayannya dengan kesabaran.

Respons dari Anwar: beliau menerima pandangan perwakilan, dan hakikatnya tidak banyak akan berubah kerana selama ini pun beliau telah terlibat secara aktif di dalam parti. Seorang lagi pencabar jawatan Presiden, Abdul Rahman Othman, kemudian tampil ke pentas dan memberi surat kepada Pengerusi Tetap mengumumkan beliau menarik diri dari pertandingan. Seluruh perwakilan bangkit dan memberi sokongan kepada keputusan beliau.

Berita lanjut boleh diperoleh di sini. Video ucapan Anwar boleh dilihat di sini.

Nik Nazmi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home