SepangOnline

Friday, May 25, 2007

Agenda Pemberdayaan Wanita Malaysia

UCAPAN DASAR KONGRES WANITA KEADILAN KEEMPAT
- Hajah Fuziah Salleh, Ketua Wanita KeADILan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Selamat Pagi & Salam Reformasi

Selamat Datang saya ucapkan kepada para tetamu yang diraikan serta dihormati. Saya ucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan diatas kesudian saudara-saudari hadhir demi menyatakan sokongan kepada Pergerakan Sayap Wanita disamping menyerikan lagi Kongres Nasional Wanita pada tahun ini.

Kepada Negeri Sembilan, Terima Kasih kerana sudi menjadi tuan rumah dan menyambut para perwakilan semua dengan begitu baik sekali

Saudari-saudari Perwakilan dari seluruh negara, dari Perlis hinggalah ke Sabah, yang datang dari jauh dan dekat, serta Para Pemerhati yang dikasihi sekalian.

Semoga kita semua sentiasa mendapat kekuatan dan keberkatan, serta keredhaan Allah SWT dalam perjuangan yang penuh dengan cabaran serta liku-liku ini.

Kongres Nasional tahun ini diadakan di sebuah dewan sekolah yang besar dan hebat. Sebelum ini kita sudah merasakan suasana berkongres di merata tempat, dari tokong hinggalah ke hotel bertaraf lima bintang. Ada kenangan pahit dan ada juga manisnya, malah banyak manisnya. Selaku pejuang-pejuang berjiwa rakyat kita samasekali tidak hiraukan di mana kita bersidang, yang penting dan utama, ialah kita dapat meneruskan agenda untuk melaksanakan tugas-tugas wajib kita serta pada masa yang sama dapat merencana masa depan dan perjuangan parti.

Di sini saya ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan Chung Hwa High School atas kesudian mereka menerima kita pada tahun ini. Mereka telah menunjukkan sikap yang amat profesional di mana mereka telah bersedia mengambil segala risiko berhadapan dengan pihak berkuasa, dalam tindakan mereka menerima kehadiran kita di sini. Terima Kasih banyak-banyak kami ucapkan.

Saudari-saudari perwakilan yang dikasihi,

PILIHAN RAYA KECIL N11 DUN IJOK

Hari ini lebih kurang sebulan telah berlalu semenjak Pilihan raya Kecil DUN Ijok diadakan, malah kehangatannya masih terasa. Bagi petugas-petugas di akar umbi, yang telah datang dari jauh dan dekat, kekesalan terhadap cara bertindak BN juga masih tidak dapat dilupakan. Di Ijok kita telah sama-sama saksikan bagaimana Umno-BN akan buat apa sahaja untuk mengekalkan kemenangan kerana ianya merupakan lambang terakhir kepada keutuhan dan keagungan palsu mereka.

Pilihan Raya Kecil Ijok telah banyak mengajar kita. Suasana di sana memerlukan kita untuk berada di medan secara fizikal untuk merasai serta menghayati ketegangan suasana sekitar. Ianya umpama medan perang yang ganas. Tentu sekali masih terbayang dan jelas diingatan, topi merah unit khas berkeliaran di serata tempat, terutama sekali tatkala kita menganjurkan ceramah. Juga pengalaman hari pertama di Ijok mengiringi rombongan calon dan pimpinan lain dalam perarakan ke majlis penamaan calon tentu sekali tidak dapat dilupakan.

Di sana keadaan cemas telah timbul apabila rombongan calon diasak dan dihimpit oleh sekumpulan pemuda Umno dibawah arahan Khairy Jamaluddin, yang kemudiannya keadaan menjadi bertambah gawat buat seketika sementara menunggu bantuan dari pihak polis yang lambat datang. Kemudian disusuli pula dengan acara baling botol berlambang dacing yang telah dapat ditontoni rakyat Malaysia di seluruh pelusuk negara melalui kaca-kaca televisyen. Ya, dari hari penamaan calon hinggalah ke hari pembuangan undi asakan dan main kasar BN tiada henti. Sama ada dari segi strategi dan tipu helah BN mahupun dari segi kekuatan dan kelemahan kita sendiri, terlalu banyak yang perlu dipelajari dan diambil iktibar dari Ijok. Malah, kehangatan suasana tangkap pengundi hantu di Lunas, dan kehebatan suasana berkempen di Anak Bukit tiada tolok bandingnya dengan Ijok; Ijok boleh diibaratkan sebagai zon perang!

Persoalan yang amat penting buat kita, ialah sekiranya tiada pengundi hantu atau tiada berlaku penyelewengan lain seperti nama pengundi yang sah mengundi pada tahun 2004 di mana telah hilang dari senarai daftar pemilih, keluaran SPR bertarikh 4hb April 2007.

Sekiranya tidak berlaku taktik beli undi dengan janji-janji manis para Menteri, serta tiada kehadiran projek ekspres yang berjalan 24 jam sewaktu tempoh berkempen, mungkinkah kita telah menang? Mungkinkah pada hari ini Tan Sri Khalid Ibrahim calon KeADILan telah mendapat gelaran Yang Berhormat dan telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor?

IJOK, SISMEP & OPERASI ANJAK

Yang paling menarik di pilihan raya kecil Ijok ialah peluang buat pertama kalinya, untuk dapat menggunapakai satu sistem yang dibina oleh parti, iaitu SISMEP12 (Sistem Menang Pilihan Raya Umum ke-12). Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP) dan SISMEP12 telah banyak membantu petugas-petugas dalam melaksanakan proses culaan serta menyenangkan mereka turun berjumpa pengundi, kerana dengan sistem ini kita telah dapat susun pemilih mengikut alamat tempat tinggal dan tidak lagi mengikut susunan kad pengenalan seperti di dalam daftar pemilih SPR. Ini telah banyak membantu petugas khususnya wanita.

Bukan itu sahaja yang membuat kita teruja, akan tetapi apabila SISMEP12 di gabungkan dengan sistem OPERASI ANJAK yang dibina oleh Wanita KeADILan Pusat, dan kedua sistem ini, digunapakai dengan betul, sistematik serta penuh disiplin, hasilnya amat menakjubkan, di mana petugas kita telah dapat:

  1. Mengenalpasti dan membina daftar pemilih, dengan meletakkan mereka kepada 4 kategori iaitu; BN, pembangkang, pengundi atas pagar dan ragu (ragu bermaksud telah mati, tidak dikenali oleh penghuni rumah, telah berpindah, alamat tidak wujud, atau ada keganjilan seperti terlalu ramai dalam satu rumah) Maklumat ini pula telah dimasukkan semula ke dalam SISMEP12 Ijok untuk membantu petugas PACA dihari mengundi.

  2. Petugas wanita kemudiannya dapat menyusun strategi untuk menganjakkan sokongan khususnya pengundi atas pagar kepada sokongan terhadap parti dengan menggunakan teknik dan kemahiran yang telah dipelajari dalam latihan TOT (Training of Trainers) anjuran Wanita Pusat awal Januari 2007.

  3. Sistem pemantauan dan juga sistem memberi maklumbalas yang digunakan amat berkesan dalam membantu petugas mengambil tindakan susulan serta tindakan pembetulan di mana perlu.

Hasilnya yang amat menggembirakan kita semua ialah apabila kita dapati bahawa ada terdapat peningkatan peratusan undi berbanding PRU11 2004 di semua daerah mengundi yang menggunakan kedua sistem ini dengan cermat. Ada yang sedikit peningkatannya akan tetapi ada juga yang agak ketara. Malah daerah mengundi Tuan Mee yang dijaga dan diambil sebagai anak angkat oleh tuan rumah Kongres kita pada hari ini, iaitu Negeri Sembilan walaupun dikategorikan sebagai kawasan paling sukar, juga telah mencatatkan peningkatan peratusan undi walaupun sedikit. Juga kini telah ada ahli baru yang didaftarkan disamping telah terlaksana pembentukan JDM - Jawatankuasa Daerah Mengundi di sana. Tahniah dan Syabas Negeri Sembilan.

Iktibar yang harus dipelajari dari ini ialah bahawa kita sudah ada satu sistem yang hebat! Gabungan SISMEP12 dan OPERASI ANJAK membuatkan kita dapat bekerja dalam satu sistem yang menyeluruh. Malah berita yang paling menggembirakan ialah pada hari ini DUN Ijok sudah boleh disediakan dengan satu kemaskini (updated) daftar pemilih yang telah dikenalpasti kecenderungan mereka. Para petugas Kuala Selangor boleh senang buat kerja di Ijok dan teruskan sahaja berpandukan maklumat terkumpul, fokus kepada mendekati dan mendapatkan sokongan pengundi atas pagar yang telah dikenalpasti. Anjakan pengundi atas pagar inilah yang akan menentukan kalah menangnya kita dalam PRU12 kerana ia melibatkan penambahan undi yang diperlukan untuk menang.

Pada hemat saya, TIDAK ADA JALAN MUDAH UNTUK MENANG! Pengalaman melalui proses menggunakan SISMEP12, dan BKS (Borang Kaji Selidik) di Ijok cukup menyebabkan stres buat sesetengah petugas wanita kerana ada golongan di kalangan teman-teman seperjuangan juga yang mencemuh dengan mengatakan tidak cukup masa untuk BKS, ataupun bukan masanya untuk buat BKS dan sebagainya. Ada juga yang pandang sepi dan buat tidak peduli kepada SISTEM OPERASI ANJAK kerana menganggap ianya hanyalah ‘tool’ untuk petugas wanita dan tidak ada manfaat buat semua. Tidak kurang juga yang ghairah dengan ceramah umum atau ceramah kelompok di mana yang hadir hanyalah penyokong kerana ianya lebih mudah dianjurkan. ‘Operasi Anjak’ menegaskan bahawa program seperti rayu undi dan ceramah kelompok mestilah disasarkan kepada golongan atas pagar dan ini lebih sukar dilaksanakan, maka ada yang cepat mengalah dan tentu sekali ada juga yang pandang sepi kerana ia menuntut kita keluar dari zon selesa masing-masing, dan beralih menukar pendekatan daripada yang biasa kepada sesuatu yang luar biasa dan baru.

Apa pun akhirnya, ramai yang mengiktiraf kehebatan sistem yang kita ada, Sekiranya tidak digunakan kita sahajalah yang akan rugi, bukan orang lain, bukan juga BN musuh kita. Kita mungkin boleh buat kerja secara biasa, seperti yang selalu kita buat sebelum ini, yang tentunya akan membawa hasil yang seperti biasa juga, atau kita boleh beriltizam untuk menggunakan satu siatem baru yang dapat menyelamatkan kita. Namun, Wanita KeADILan menegaskan di sini pada Kongres ini bahawa kita komited untuk menggunakan SISMEP, melaksanakan BKS, dan juga melaksanakan OPERASI ANJAK. Ke arah menghadapi PRU12 pula, Wanita KeADILan menyeru dan menyarankan supaya parti induk menekankan penggunaan keseluruhan SISMEP dan OPERASI ANJAK kepada ke semua Parlimen tumpu yang akan ditandingi parti KeADILan dalam Pilihan raya yang akan datang.

Sidang Perwakilan serta Pemerhati yang dihormati,

DUNIA & WANITA HARI INI

Lebih kurang separuh daripada penduduk dunia dihuni oleh wanita. Begitu juga di negara kita Malaysia, 50% daripada penduduk negara ini terdiri daripada wanita. Dengan sumber tenaga manusia yang begitu besar, kerajaan-kerajaan di dunia adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan yang terbaik terhadap wanita, di mana wanita mempunyai peranan penting dalam menyumbang kepada kemaslahatan dan pembangunan dunia serta penduduknya. Selain melahirkan zuriat, wanita berfungsi memastikan bahawa institusi keluarga tetap utuh, memelihara budaya dan pegangan sistem nilai, disamping memastikan visi dan warisan generasi masa kini ada kesinambungannya di masa mendatang.

Walaupun begitu di beberapa negara didunia, wanita dan anak-anak perempuan masih tidak berpeluang mendapat pendidikan formal. Perubahan dalam sektor tenaga kerja masih belum dapat diimbangi dengan sitem sokongan yang baik bagi wanita-wanita bekerja, hatta di negara-negara yang sudah agak maju. Ramai wanita di dunia juga belum berpeluang untuk mendapatkan khidmat kesihatan yang berkualiti. Keganasan rumahtangga belum mampu ditangani secara berkesan serta perdagangan wanita dan anak-anak perempuan menjadi terlalu sukar untuk di banteras. Umumnya, terlalu banyak yang perlu dilaksanakan di merata-rata tempat di dunia bagi merealisasi cita-cita agar kesejahteraan wanita tercapai. Nasib wanita masih di tahap yang menyedihkan, justeru itu, ia menuntut kita semua untuk terus berjuang membela mereka

WANITA MALAYSIA

Selama ini, wanita Malaysia dikatakan telah menikmati berbagai kemudahan dan keistimewaan dalam berbagai bidang, khususnya seperti yang dilapor di dalam penilaian terhadap Dasar Wanita Negara.

Kenyataan tersebut tentu sekali boleh dipertikai, malah dengan terbitnya Indeks Jurang Gender Malaysia (Malaysian Gender Gap Index-MGGI) baru-baru ini jelas terserlah betapa Malaysia masih jauh perjalanannya dalam memenuhi tuntutan meluaskan kefahaman dan perlaksanaan dasar kesaksamaan gender
Perlaksanaan kesaksamaan gender adalah diharapkan akan dapat membasmi diskriminasi gender dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan ekonomi serta seluruh aspek pemberdayaan wanita.

Kini, di Malaysia sudah wujud undang-undang yang menghalang diskriminasi ke atas seseorang berdasarkan bangsa, agama mahupun gender. Malangnya hakikat pada hari ini, hal berkaitan wanita tidak seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang di atas.

Bolehkah dikatakan tiada diskriminasi sekiranya seorang wanita Malaysia boleh disingkir dari pekerjaannya apabila dia memilih untuk mengandung? (Kes Beatrice di mana keadaan beliau mengandung telah dikatakan menjadi halangan bagi beliau meneruskan tugasnya sebagai seorang pramugari),

Baru-baru ini, seorang wakil rakyat wanita telah dihina dengan kata-kata seksis tanpa pembelaan di dalam Parlimen, Dewan yang Mulia. Ahli Parlimen Jasin dan Kinabatangan yang terlibat dengan penghinaan tersebut hanya mohon maaf setelah digesa beberapa lama. Sekiranya ini bukan diskriminasi, apakah ia? .

PEMBERDAYAAN WANITA

Tajuk Ucapan Dasar saya pada tahun ini ialah “AGENDA PEMBERDAYAAN WANITA MALAYSIA”. Istilah pemberdayaan timbul daripada kata dasar ‘daya’ yang membawa maksud memberi tenaga, upaya atau kekuatan. Ianya mungkin agak baru digunakan di negara kita Malaysia. Yang lebih biasa digunakan ialah perkataan memperkasa. Memperkasa mengikut kamus dewan ialah memberi kuasa, mengizinkan atau membenarkan. Istilah pemberdayaan digunakan di dalam ucapan ini kerana ianya dipercayai sebagai istilah paling sesuai digunakan dalam konteks ucapan dasar ini.

Pemberdayaan membawa maksud satu proses memberikan keupayaan atau kekuatan kepada wanita sedangkan pemerkasaan pula bermaksud proses memberi kuasa. Jelas pemberdayaan merupakan perkataan yang lebih relevan kerana ianya melambangkan kekuatan yang terhasil dari dalam diri seseorang manakala pemerkasaan pula ialah kekuatan terhasil dari anugerah ataupun dari kuasa luaran.

Malah di negara jiran kita Indonesia, istilah pemberdayaan lebih lazim malah sudah lama wujud satu Kementerian Pemberdayaan Perempuan, yang fungsinya ialah pemberdayaan kaum wanita.

Tentu sekali timbul persoalan utama di sini, “Apakah wanita di Malaysia tidak cukup diberdaya?”

Agenda pemberdayaan wanita sewajarnya melibatkan beberapa aspek, bertujuan untuk menjamin kesejahteraan wanita dari sudut fizikal, mental, emosi, jiwa, spiritual, intelektual dan sosial agar wanita berupaya memainkan peranannya dalam keluarga, masyarakat dan negara. Sehubungan dengan itu, mereka akan terus dapat memberikan sumbangan terbaik dalam bidang-bidang yang wanita ceburi, di dalam domain tradisi dan juga yang bukan tradisi mereka.

Saya percaya bahawa apabila wanita itu cukup diberdaya, maka akan gemilanglah negara dan seterusnya seluruh tamadun itu akan terbina!
KONSEP PEMBERDAYAAN

Wanita yang sejahtera adalah baik dalam dirinya dan seterusnya akan menatijahkan hasil atau produk yang baik juga. Kualiti dalam diri wanita ini seterusnya akan mengukuhkan budaya, pegangan, visi dan warisan sesebuah negara.

Wanita yang diberdaya merupakan seorang yang mampu, berupaya mengatasi segala halangan serta rintangan tidak kira dalam diri mahupun luaran, demi merealisasikan segala agenda hidupnya. Dia juga akan mempunyai satu pendekatan positif terhadap segala perkara yang membingungkan ramai orang.

Seterusnya pemberdayaan yang sempurna akan mampu menghasilkan seorang wanita yang bukan sahaja diberdaya dalam dirinya tetapi seterusnya mampu menjadi agen perubahan yang dinamik, berterusan memantau dan mempelopori agenda perubahan, mendokong prinsip kebenaran dan keadilan pada setiap masa dan tempat tanpa prejudis.

Wanita yang sedemikian tentu sekali mampu untuk memastikan bahawa sebarang agenda dalam negara akan mengarah kepada dasar pengagihan kekayaan yang adil, peraturan dan undang-undang yang peka gender, tanpa sebarang diskriminasi, serta pentadbiran negara di semua peringkat secara telus dan adil. Wanita Malaysia, dengan statistik 50% daripada populasi negara, belum memainkan peranannya dengan sempurna; sebahagiannya disebabkan telah berlaku kepincangan dalam memenuhi sasaran Dasar Wanita Negara, di mana secara strategiknya agenda pemberdayaan wanita belum lagi sampai ke tahap yang diinginkan.

Wanita yang sedemikianlah yang kita perlukan demi menjayakan Agenda Perubahan ke arah menegakkan prinsip kebenaran dan keadilan, yang kita junjung. Aspirasi tersebut belum mencapai aras kesejahteraan yang dikehendaki selagi mana pengabaian dari pelbagai sudut, diskriminasi, dominasi dan pencabulan hak-hak terhadap wanita, tetap berlaku dan terus berlaku.

Demi memastikan pemberdayaan sebenar terhadap wanita dapat dilaksanakan, aspek-aspek kritikal di bawah mesti diperhatikan. Ianya adalah seperti berikut :-
  1. Kefahaman Konsep & Perlaksanaan Berkenaan Kesaksamaan Gender

    Kesaksamaan gender adalah isu utama dalam mencapai matlamat Pembangunan Millennium dan merupakan faktor kritikal kepada pembentukan persekitaran yang adil dan toleransi – Persekitaran yang disebutkan ini adalah aspek kritikal tumbesaran kanak-kanak yang seimbang dan harmoni dalam perjalanan mereka menjadi dewasa yang peka gender.

    Namun, diskriminasi gender tetap berlaku di segenap penjuru dunia. Kita harus menilai diskriminasi terhadap wanita sepanjang hidup mereka – dan menentukan apakah yang wajar dilaksanakan demi membasmi jurang gender ini.

    Kefahaman terhadap konsep gender dan perlaksanaan kesaksamaan gender merupakan asas pertama dalam memastikan jurang ini diketepikan serta pemberdayaan wanita dalam ertikata sebenar dapat dilaksanakan.

    PERSPEKTIF GENDER

    Perkataan “gender” digunakan untuk menjelaskan ciri-ciri wanita dan lelaki yang dibentuk menerusi proses sosial, manakala perkataan jantina atau ‘seks’ merujuk kepada ciri-ciri menurut biologi. Apabila manusia dilahirkan dia dikenalpasti berasaskan jantina - lelaki atau perempuan, akan tetapi mereka akan membesar dan belajar untuk menjadi lelaki atau wanita berdasarkan kebiasaan dan tanggapan persekitaran.

    ISU BERKAITAN KESAKSAMAAN GENDER

    • Kesaksamaan gender mewujudkan suasana yang memanfaatkan wanita dan kanak-kanak. Wanita yang diberdaya akan mempunyai anak-anak yang sihat, berpelajaran yang kemudiannya akan mampu mengubah masyarakat mereka.

    • Diskriminasi pula dikatakan berlaku apabila kanak-kanak perempuan dan wanita dinafikan pendidikan atau kerja, bila anak lelaki diutamakan daripada anak perempuan, dan bila keganasan serta penghinaan berlaku menurut gender.

    • Wanita wajar diberikan hak untuk mencorak kehidupan mereka sendiri dan anak-anak mereka – di dalam rumahtangga, tempat kerja dan arena politik.

    • Di seluruh dunia terbukti, wanita yang diberdaya untuk membuat keputusan akan menghantar anak-anak mereka, terutamanya kanak-kanak perempuan, ke sekolah.

    • Satu kajian mendapati bahawa 15 juta kanak-kanak di Asia Selatan Sub-Sahara Afrika tidak akan berpenyakit jika wanita mempunyai hak bersuara yang sama di rumah (iaitu membasuh tangan sebelum makan)

    • Bilangan wanita dalam sektor pekerjaan telah bertambah, tetapi sangat kurang usaha untuk memperbaiki keadaan tempat kerja mereka, mengiktiraf beban kerja yang tidak berbayar serta menyediakan perkhidmatan penjagaan anak

    • Bagi kebanyakan wanita, beban kerja yang tidak dibayar mengambil sebahagian besar masa mereka. Walaupun mereka bekerja di luar rumah, wanita yang bekerja tetap mengendalikan kerja-kerja di dalam rumah.

    • Wanita yang bekerja di luar rumah mendapat secara purata gaji yang lebih rendah dari lelaki.

    DASAR WANITA NEGARA


    Objektif-objektif Dasar Wanita Negara ialah:

    • Untuk menjamin perkongsian yang saksama di antara lelaki dan wanita dalam pemilikan sumber dan maklumat, di samping mendapatkan peluang dan faedah dari pembangunan; dan

    • Untuk mengintegrasikan kaum wanita ke dalam semua sektor pembangunan negara selaras dengan kemampuan dan keperluan mereka bagi tujuan meningkatkan mutu kehidupan, membasmi kemiskinan, menghapuskan kejahilan dan buta huruf serta memastikan negara berada dalam keadaan aman dan makmur.

    MENGHAPUSKAN DISKRIMINASI TERHADAP WANITA

    Dalam satu mesyuarat Majlis Bangsa Bangsa Bersatu berkenaan status wanita dalam hal kesaksamaam gender di Malaysia, Dato’ Seri Shahrizat Abd Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat menegaskan bahawa mewujudkan suasana dan persekitaan yang sesuai serta mengarusperdanakan gender merupakan asas yang amat perlu bagi menegakkan kesaksamaan gender disamping mewujudkan peluang-peluang saksama bagi wanita dan lelaki. Dalam konteks ini, jelas beliau, langkah kerajaan yang paling signifikan ialah pembentukan dasar dan undang-undang yang bertepatan. Menurut beliau lagi, penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat pada tahun 2001 merupakan contoh bertepatan usaha Kerajaan untuk membangun dan memajukan wanita.

    Manakala di dalam Strategi perlaksanaan Dasar Wanita Negara (DWN) ada dinyatakan bahawa beberapa strategi telah dibentuk bagi menjamin kecekapan, keberkesanan, keselarasan dan keseragaman DWN dapat dilaksanakan .

    Khusus dalam hal kesaksamaan gender, Strategi DWN yang telah digariskan ialah:-

    • Pendidikan dan Latihan Untuk Menyedarkan Pihak Pentadbiran Kerajaan Mengenai Isu Wanita

      Telah digariskan, bagi membangkitkan kesedaran dan komitmen institusi dan agensi kerajaan, program latihan kepekaan gender dipelbagai peringkat hendaklah diadakan. Program latihan mengenai wanita dan pembangunan hendaklah diadakan berterusan untuk kakitangan kerajaan.

    • Membasmi Diskriminasi dan Mengambil Tindakan Tegas

      Di mana ditegaskan bahawa langkah-langkah khusus hendaklah diambil bagi membasmi diskriminasi terhadap wanita. Kelemahan-kelemahan undang-undang bagi menjamin hak wanita hendaklah dibaiki. Tumpuan khas hendaklah dihalakan kepada kawasan-kawasan kurang maju di luar bandar, wanita yang tidak berdaya dan cacat, serta wanita diberi peluang pendidikan.

    • Peruntukan Anggaran Belanjawan

      DWN menegaskan bahawa Kerajaan hendaklah menentukan bahawa Kementerian-kementerian dan Agensi-agensi yang berkenaan menggunakan peruntukan yang telah diluluskan dengan mengubahsuai tindakan bagi memenuhi program dan projek pembangunan wanita. Manakala pelan tindakan yang digariskan DWN untuk menjayakan strategi di atas ialah merupakan perlaksanaan program yang patut dilaksanakan. Antaranya. ialah;-

      • Latihan untuk menghapuskan gambaran-gambaran yang merendahkan maruah dan imej wanita;

      • Menyemak dasar pengambilan dan perlaksanaan tugas institusi bagi menjamin tiada diskriminasi terhadap wanita

      • Institusi-institusi swasta hendaklah diawasi supaya mereka tidak meneruskan diskriminasi terhadap wanita ataupun mengekalkan gambaran-gambaran yang merendahkan penyertaan wanita

    Dasar Wanita Negara turut menegaskan bahawa strategi dan pelan tindakan hendaklah meliputi semua sektor, baik kerajaan mahupun bukan kerajaan.

    Di atas cuma merupakan sebahagian sahaja dari Dasar Wanita Negara yang berkaitan dengan kesaksamaan gender. Namun, diketika mana Menteri Pembangunan Wanita telah mengumumkan bahawa Dasar Wanita Negara ini hendak direviu kerana sudah wujud terlalu lama, kononnya hendak diperbaiki. Namun, amat mengecewakan apabila seorang Ahli Parlimen wanita, terus dihina di Parlimen Malaysia, tanpa dibela oleh beliau secara spontan.

    Di manakah kebenaran dan pencapaian sebenar kemajuan wanita di Malaysia yang telah digembar-gemburkan Dato’Seri Shahrizat kepada Majlis Bangsa Bangsa Bersatu?

    Wanita KeADILan di sini dengan tegas menyatakan usul tidak percaya kepada Menteri Pembangunan Waanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat diatas kegagalan beliau melaksanakan satu dasar berkaitan kesaksamaan gender yang sudah termaktub sekian lama di dalam DWN

    MENGARUS PERDANAKAN GENDER (GENDER MAINSTREAMING)

    Dato Seri Shahrizat Jalil selaku Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga juga menegaskan dalam ucapannya kepada Majlis bahawa mengarusperdanakan gender merupakan salah satu cara yang kritikal, juga belum berjaya dilaksanakan dengan sempurna kerana belum wujud keadaan di mana terdapat critical mass represented by women in the decision making process.

    Oleh itu, pandangan wanita dalam isu-isu yang releven kepada wanita belum sepenuhnya berada dalam arusperdana masyarakat. Dalam satu insiden yang sungguh mengecewakan, Menteri Wanita telah terpaksa menangguhkan permohonan wanita untuk bercuti 90 hari selepas bersalin yang selaras dengan Sasaran Millenium Bangsa-Bangsa Bersatu, bertujuan untuk memberi keutamaan terhadap kesihatan dan keperluan wanita selepas bersalin.

    Kini beliau mengumumkan 84 hari cuti bersalin, satu peningkatan daripada 60 hari sedia ada. Namun, masih lagi tidak mencukupi mengikut piawaian Bangsa-Bangsa Bersatu.

    Tanpa adanya gender mainstreaming, masyarakat, khususnya para lelaki akan mengambil ringan dan remeh soal-soal yang pada wanita adalah sangat penting dan boleh mengancam kesejahteraan fizikal, bahkan nyawanya juga, emosi, mental dan hubungan antara ibu dan anak yang terbukti akan terkesan dalam hubungan jangka panjang mereka. Ia juga akan merencatkan keupayaan wanita melaksanakan tugas utamanya. Amatlah merugikan sekali sekiranya ada pemimpin wanita yang juga tidak peka gender atau yang terpaksa menurut kehendak mereka yang tidak peka gender!

    Tanpa perluasan gender mainstreaming, akan berlaku kejahilan dalam memahami wanita dan keperluan mereka, serta isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan wanita sehingga berlaku ketidakadilan dan diskriminasi terhadap wanita.

    Para Sidang Perwakilan yang di Rahmati,

    Wanita KeADILan berpendirian bahawa:

    Kepekaan gender oleh lelaki juga merupakan faktor kritikal dalam menjayakan agenda pemberdayaan wanita. Dengan itu, usaha-usaha yang konkrit dalam Gender Mainstreaming, sama ada menerusi insentif atau peraturan yang mewajibkan kesedaran mengenainya, wajar dihebahkan dan seterusnya difahami dan dihayati oleh masyarakat. Melibatkan para lelaki dan anak-anak lelaki dalam mencapai kesaksamaan gender akan menjadikan mereka (lelaki dan anak-anak lelaki) sebagai penyokong dan pasangan yang sangat berpengaruh dalam Gender Mainstreaming.

    Wanita KeADILan juga menegaskan mahu melihat Pelan Tindakan Kementerian yang konkrit dan Dato’ Seri Shahrizat lebih komited di dalam perlaksanaan Agenda Mengarusperdanakan Gender ini.

    Fenomena yang menyedihkan ini berlaku adalah kerana faktor-faktor:-

    • Tiada Kehendak Politik pihak kerajaan

    • Tiada Kemampuan untuk menggunakan Kemahiran Teknikal yang ada

    • Tiada Keprihatinan dan Sikap Pertanggungjawaban

    • Gagal mewujudkan satu budaya dalaman organisasi

    Semua faktor kegagalan ini selaras dengan apa yang telah dilaporkan didalam The Gender Audit: a process for organizational self-assessment and action planning. (1999. p.2) seperti di bawah;-
    Our experience ….. consistently highlights the significance of four important elements in transforming gender blind organizations into gender responsive ones:

    Political Will – evidence when top-level leadership publicly support gender integration, effectively communicate the organization’s commitment to gender equity, commit staff time and financial resources, and institute needed policies and procedures.

    Technical Capacity – evidenced in increased staff skills in gender analysis, adoption of new systems for gender disaggregated data, and the development of gender-sensitive tools and procedures;

    Accountability – evidenced in institutional incentive and requirement systems that encourage and reinforce behaviours within individuals and within and organization as a whole; and

    Organizational Culture – evidenced in a gender-balanced staff, a gender sensitive governance structure, and the equal valuing of women and men’s working styles.
    Kronologi Ke Arah Pencapaian Sasaran Minima 30% Dalam Parti

    Tahun Tindakan
    2000
    Mengusulkan lebih daripada 30% perwakilan wanita di semua peringkat membuat keputusan di Persidangan Tahunan
    2001 -2006 Melatih serta menyediakan wanita untuk menyahut cabaran 30%.

    Menggalakkan wanita berperanan lebih besar di bahagian-bahagian dan negeri (di luar sayap wanita)
    2007 Mengemukakan calon-calon wanita bagi menduduki peringkat membuat keputusan tertinggi dalam parti (Wanita Cukup Bersedia). Kaum lelaki juga cukup bersedia menerima kehadiran dan suara wanita dalam agenda kesaksamaan gender

    KESAKSAMAAN GENDER DAN BAGAIMANA KEDUDUKAN WANITA MALAYSIA

    Menyedari bahawa jawatan-jawatan pengurusan di peringkat atas belum mencapai sasaran, kerajaan telah baru-baru ini mengambil langkah bagi memenuhi sasaran 30% penglibatan wanita peringkat membuat keputusan di sektor awam. Sektor swasta juga digalakkan melaksanakan dasar tersebut.
    Walaupun secara khusus telah ditetapkan bahawa wanita akan mengisi 30% perwakilan dalam proses menggubal dasar dan keputusan-keputusan penting negara di pelbagai peringkat pentadbiran, Malaysia masih gagal mengangkat agenda pada aras yang sewajarnya.

    Kesungguhan kerajaan hanya dilihat menjana keupayaan wanita untuk memberi yang terbaik dalam penyertaan mereka dalam aspek pembangunan dan ekonomi negara, akan tetapi TIDAK untuk memberi pengaruh dalam menentukan halatuju pembangunan dan bentuk-bentuk pengoperasian yang memanfaatkan wanita. Sebenarnya, perkara tersebut melibatkan kemaslahatan negara dalam jangkamasa panjang.

    Sudah tiba masanya suatu pemantauan yang sistematik diwujudkan agar wanita memenuhi 30% jumlah kritikal yang dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia dalam Deklarasi Beijing dua dekad yang lalu. Dasar mengenai memenuhi 30% bilangan wanita dalam penglibatan politik dan proses menggubal dasar dan keputusan perlulah diperincikan agar langkah-langkah yang lebih jelas, kemas dan teratur dapat dilaksanakan sehingga mencapai tahap 30% tersebut dalam jangka waktu RMK9 ini.

    Jabatan dan institusi yang menawarkan pekerjaan haruslah diwajibkan untuk merekodkan jumlah kakitangan lelaki dan wanita secara berasingan dan dari database itu menetapkan bilangan 30% wanita yang dikehendaki dalam senarai kakitangan jabatan dan institusi berkenaan. Dengan itu, tiada halangan dalam jangkamasa pendek ini, Malaysia mampu mencapai sasaran Deklarasi Beijing tersebut.

    Pentingnya penglibatan sekurang-kurangnya 30% wanita:

    • Kajian menunjukkan bahawa penglibatan wanita didapati menurunkan kadar korupsi dalam pentadbiran negara kerana kajian mendapati bahawa wanita adalah lebih jujur dan kurang melibatkan diri dalam kes rasuah daripada lelaki

    • Penglibatan wanita di meja perundingan dan pembinaan semula pasca-konflik telah mampu membantu kanak-kanak – akan tetapi wanita jarang sekali diundang ke meja perundingan keamanan

    Perlu juga dirakamkan di sini bahawa Wanita KeADILan telah membawa agenda peka gender ini dari tahun 2000 lagi, dengan mengadakan pelan tindakan yang tersusun, kini kita lihat hasilnya di mana agenda ini sekarang telah menunjukkan kesan pencapaiannya seperti berikut:

    Penglibatan WANITA KEADILAN dalam parti untuk capai sasaran 30% berbanding Wanita Malaysia

    PERINGKAT NASIONAL


    Parlimen
    10.6 %
    Dewan Undangan Negeri

    06.3 %
    Pekerjaan -
    Profesional
    13.0 %

    Perkeranian
    17.5 %

    Perkhidmatan
    18.4 %


    PARTI KEADILAN RAKYAT

    MPT (2004 - 2007)
    15.0 %
    Negeri (2004 - 2007)

    14.3 %
    Bahagian (2007 - 2010)
    13.2 %
    - 5 Jawatan Teratas
    22 / 167

  2. PEMELIHARAAN DAN PEMULIHARAAN INSTITUSI KELUARGA

    Institusi keluarga adalah unit terpenting dalam sesebuah negara kerana kesemua unit merupakan nukleus yang membentuk sebuah masyarakat dan seterusnya negara. Gemilangnya keluarga, maka gemilanglah negara.

    Wanita sebagai pengurus rumahtangga memainkan peranan utama dalam mengukuh dan mengembang potensi ahli-ahli keluarga di samping dirinya sendiri. Dengan itu, wanita secara langsung terlibat dalam memutuskan perkara-perkara berkaitan dengan pengurusan rumahtangga, pendidikan anak-anak dan masa depan keluarga.

    Isu-isu yang terpancar dari ketiga-tiga peranan yang disebut tadi melibatkan terlalu banyak tekanan keatas kehidupan wanita. Disamping itu isu-isu kewangan, persekolahan anak, hubungan kekeluargaan, keselamatan, kesihatan dan akhlak anak-anak dan lain-lain menjadi tumpuan para wanita saban masa.

    Unsur gejala sosial yang negatif yang melanda masyarakat turut menjadi kebimbangan wanita. Kini, menjaga keselamatan keluarga sendiri, memastikan ianya baik dan bahagia tidak cukup untuk menjamin kemaslahatan mereka Apabila ahli-ahli keluarga berada di luar rumah. Gejala penyalahgunaan dadah, jenayah yang semakin menjadi-jadi, khususnya di kota dan bandaraya, ancaman budaya yang merosakkan dari internet, masalah disiplin yang tidak kunjung selesai di sekolah-sekolah, gangsterisme dan seribu satu macam gejala sosial terus mengancam keharmonian dan kesejahteraan institusi keluarga. Malah satu kajian di Lembah Pantai yang dilakukan oleh sebuah badan penyelidik bebas berkenaan masalah yang paling kritikal di kawasan tersebut menunjukkan bahawa masalah jenayah merupakan masalah yang paling utama menjadi kerisauan penduduk setempat.

    Jika keadaan ini berterusan dan menjadi semakin parah ianya akan memberi kesan yang negatif kepada institusi keluarga. Dikhuatiri bahawa wanita tidak akan dapat memainkan peranan mereka dengan berkesan disebabkan persekitaran yang merungkai segala pembaikan yang telah dilaksanakan dan dibina.

    Tekanan hidup yang mengasak ekoran dari keperluan mencari nafkah, ketegangan yang terbit dari tuntutan kerja luar rumah serta tuntutan sara hidup yang tinggi turut memberi kesan negatif kepada kewibaan institusi keluarga sebagai tempat tinggal, perlindungan dan perkembangan bagi para ahli-ahlinya.

    Dalam era di mana dwi-kerjaya sudah menjadi budaya kehidupan banyak keluarga, ketiadaan atau kekurangan sistem sokongan kepada wanita berdwi kerjaya tentu sekali akan meninggalkan kesan jangka panjang yang mendalam
    Wanita yang menjadi suri rumah juga tidak terkecuali dari mempunyai tekanan-tekanan yang tersendiri. Dalam satu insiden tidak berapa lama dahulu, kita saksikan seorang ibu telah menjerut dua orang anaknya yang berumur 5 tahun 7 bulan dan 7 bulan akibat kegagalan mengawal diri dan perasaannya.

    Walaupun kajian terperinci perlu dilaksanakan dalam mengukur tahap kebahagiaan atau sebaliknya, rakyat Malaysia khususnya mereka yang berkeluarga, banyak kejadian dan laporan-laporan yang dipaparkan di media dan pengaduan-pengaduan langsung dari individu menunjukkan bahawa jika tidak diberi perhatian, gejala-gejala yang boleh menjejaskan keutuhan institusi keluarga akan menjadi fenomena biasa seperti yang sedang berlaku di negara-negara maju. Pelancaran program SK2, satu kaunselor, satu keluarga juga memberi isyarat bahawa masalah-masalah yang melanda institusi keluarga memberi kesan negatif kepada kesejahteraan ahli-ahli keluarga dan institusi keluarga di Malaysia.

    Pemberdayaan wanita yang sebenar hanya akan berlaku apabila kaum wanita bebas daripada dibebani dengan masalah luaran atau persekitaran yang kemudiannya mempunyai kesan atau membabitkan kemaslahatan dalaman keluarga. Pemeliharaan keutuhan institusi keluarga serta pemuliharaan segala bentuk kepincangan didalamnya mesti di laksanakan segera

    Wanita KeADILan berpendirian bahawa perlu ada satu dasar yang diwujudkan oleh KPWKM untuk memastikan keutuhan institusi keluarga terlaksana. Setakat ini, masih belum kelihatan ada Agenda dan Pelan Tindakan yang nyata dari Kementerian berkenaan perihal pembangunan keluarga dan juga komuniti. Saya ingin bertanya Menteri Wanita, bukankah nama yang diberi bagi Kementerian ini adalah “Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat. “?

    Cukup mengecewakan - Dasar Wanita Negara yang 30 tahun wujud pun belum dapat dipenuhi segala pelan tindakannya, tambahan pula gagal mewujudkan Agenda Pembangunan Keluarga dan Pembangunan Komuniti dimana kita iktiraf sebagai tunggak kepada asas pemberdayaan wanita yang sempurna.

  3. SISTEM PENDIDIKAN

    Kelahiran para remaja dan dewasa yang sempurna bukan semata-mata terletak kepada pencapaian akademik yang gemilang. Tetapi itulah yang diangkat-angkat sebagai yang terbaik dalam penilaian seseorang insan. Berita-berita media arus perdana sentiasa melakarkan di muka depan, pencapaian-pencapaian terbaik peperiksaan di peringkat nasional. Begitulah di antara manifestasi sistem pendidikan Barisan Nasional walaupun dari segi falsafah dan tujuannya, penekanan ialah kepada pembangunan dan pencapaian yang seimbang.

    Falsafah pendidikan negara menyebut:
    "Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."
    Dalam konteks Dasar Wanita Negara, falsafah pendidikan belum menjelaskan kesepaduan di antara aspirasi agenda wanita dan sistem pendidikan negara. Jika diselidiki, agenda pemberdayaan wanita sewajarnya diserap di dalam sistem pendidikan negara kerana suatu budaya hanya mampu ditanam dan dikukuhkan apabila disemai dari awal dan melalui proses yang mantap untuk dapat mencapai tujuan-tujuan yang dikehendaki.

    Proses yang mantap untuk menjayakan pemberdayaan wanita wajib bermula dengan kepekaan terhadap konsep gender itu sendiri oleh para penggubal dasar dan kakitangan kementerian serta jabatan-jabatan pendidikan negeri dan daerah serta guru-guru dan pihak pengurusan sekolah dan institusi tinggi awam.

    Kementerian Pembangunan Wanita telah dipilih untuk menjadi fasilitator dalam memastikan bahawa konsep gender dihayati oleh keseluruhan jentera kerajaan. Arena pendidikan adalah di antara lapangan yang paling subur dan sesuai untuk menghasilkan anjakan pemikiran yang berbentuk patriachal kepada gender sensitif yang bertujuan mencapai kesaksamaan gender yang memungkinkan pemberdayaan wanita Malaysia.

    Walaupun sudah ada berbagai mekanisme seperti Gender Focal Point dan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesaksamaan Gender, pemberdayaan wanita masih jauh dari sasaran yang dikehendaki. Insiden terbaru, Samy Vellu pula membuat kenyataan seksis dengan merujuk keadaan parlimen yang mengalami kebocoran itu seperti wanita yang sudah tua, di mana beliau menyebut bahawa wanita cantik selepas 50 tahun tidak akan kelihatan cantik lagi. Jika para menteri dan ahli parlimen sendiri begitu lalai dengan ucapan-ucapan mereka yang langsung tidak peka gender, bagaimanakah boleh agenda pemberdayaan wanita yang dihasratkan oleh Dasar Wanita Negara dicapai segera? Persoalan kesaksamaan gender dan pemberdayaan wanita ini kelihatan seperti tidak mendapat tempat di pemikiran dan hati ramai para pemimpin BN.

    Oleh itu, risiko wanita dihina dan ketidaksaksamaan gender akan terus berlaku. Sebahagian sebabnya ialah bila sistem pendidikan, sebagai mekanisme agen perubahan untuk merealisasikan dasar negara seperti Dasar Wanita Negara, telah tidak berjaya memikul tanggungjawab untuk memastikan pemberdayaan wanita itu berlaku dan tersebar luas di kalangan masyarakat. Ia terbukti bila terdapat hampir 70% wanita di universiti tetapi jumlah kritikal 30% perwakilan wanita di setiap peringkat membuat keputusan tidak berlaku. Bahkan jumlah menteri wanita hanya 10% daripada jumlah bilangan para menteri kabinet.

    Sistem pendidikan negara belum berjaya melahirkan anasir-anasir yang bersedia untuk melaksanakan pemberdayaan wanita dari kalangan lelaki yang memegang tampuk kepimpinan di setiap peringkat pentadbiran negara. Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) yang mengukur aras hak-hak asasi dan jurang kesaksamaan gender, juga jelas memperlihatkan berlakunya ketidaksaksamaan gender di kalangan masyarakat Malaysia. Dalam penyenaraian MGGI, Malaysia berada di tangga ke 75 daripada 115 negara; pencapaian paling buruk di kalangan negara anggota Asean yang terlibat.

  4. PERANAN ‘CIVIL SOCIETIES’

    Walaupun diakui penting dan bermakna sekali peranan dan badan-badan bukan kerajaan, NGO dan civil societies dalam melonjakkan usaha untuk sampai kepada kesempurnaan pemberdayaan wanita, ia juga dilihat sebagai tanda kelemahan Kerajaan BN dan Menteri Wanita untuk memikul dan seterusnya merealisasikan amanah tersebut. Amatlah dikesali juga, bahawa dengan segala sumber tenaga, jentera kerajaan dan keupayaan kewangan yang tinggi, Menteri Wanita masih belum berjaya untuk menganjakkan secara signifikan pemikiran penggubal dasar dan mereka yang berpengaruh dalam proses membuat keputusan untuk memasyhurkan pemberdayaan wanita dalam masa hampir 3 dekad (30 tahun) Dasar Wanita Negara telah wujud.

    Peranan NGO amatlah mencabar dalam konteks Malaysia masih belum mengamalkan kebebasan maklumat (freedom of information), dan masih dipakai Akta-Akta yang mengongkong rakyat, seperti ISA, OSA serta masih berlaku sekatan kebebasan akhbar.

    • Sewajarnya gerakan NGO sentiasa mendesak kerajaan untuk lebih telus dan bertanggungjawab dalam usahanya untuk mengotakan janji-janji mereka yang diutarakan dalam konvesyen dan persidangan yang disertai, seperti CEDAW, MDGs dan lain-lain yang menekankan soal-soal pembasmian diskriminasi gender dan pemberdayaan wanita

    • NGO juga berperanan mempromosi kesaksamaan gender dan pemberdayaan wanita dalam suatu gerakan bersama agar lebih memberi kesan dan membawa perubahan yang diingini. Usaha ini, wajar mengatasi batasan aliran politik dan agama kerana isu keadilan untuk wanita merangkumi semua ras, kaum, penganut agama dan ahli-ahli politik tanpa mengira dari parti pembangkang atau yang memerintah

    • Bagi memastikan tindakan dan langkah yang tepat untuk pemberdayaan wanita yang sempurna, pengkajian dalam berbagai aspek isu wanita wajarlah dilaksanakan. Di sinilah juga peranan NGO yang berkesan. Input, analisis dan hasil kajian akan menjadi bahan yang penting dan berpengaruh untuk kerajaan menentukan langkah-langkah dan peruntukan bagi memenuhi pencapaian terbaik pemberdayaan wanita

    • NGO juga berperanan melatih mereka yang berkenaan dan rakyat bagi melahirkan kesedaran tentang pemberdayaan gender. Latihan kesedaran perlu diikuti dengan latihan merancang, menyelia dan membangunkan mekanisme yang akan mengagihkan bajet dalam agenda pembangunan rakyat berdasarkan kepekaan gender, menghasilkan pemberdayaan wanita di pelbagai peringkat pentadbiran negara seterusnya tersebar di kalangan rakyat jelata

    • Peranan NGO sebagai kumpulan pendesak adalah untuk mengingatkan kerajaan bahawa keazaman dan kesungguhan politik yang mendalam adalah kunci kepada kejayaan agenda wanita dan pemberdayaan wanita. Ciri sebuah pentadbiran yang berjaya ialah bila rakyat, khususnya NGO amat kurang kedengaran suara mereka kerana kerajaan yang proaktif tentang kepentingan dan keperluan rakyat tidak akan tunggu didesak untuk melaksanakan segala tanggungjawabnya
AKHIR KATA
Jelas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, tidak mempunyai Pelan Tindakan yang menyeluruh. Beliau telah gagal dan terlalu kabur kefahamannya untuk menghayati Pelan Tindakan Pemberdayaan di peringkat antarabangsa. Hasrat kaum wanita di Malaysia supaya Kementerian Wanita mengejar kayu ukur antarabangsa bagi kesaksamaan untuk wanita tidak kesampaian di negara kita hari ini.

Ternyata juga beliau jauh daripada mampu untuk menghayati konsep pemberdayaan yang kita maksudkan dalam konteks negara timur yang penuh dengan sifat dan ciri-ciri ketimuran demi membawa penyelesaian kepada permasalahan dalam negara.

GAGAL, GAGAL dan GAGAL lagi – itulah penilaian kita terhadap prestasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat

Dalam kita berhadapan dengan PRU12, amat perlu bagi kita menyedarkan para wanita di Malaysia yang merupakan 54% penduduk negara, berkenaan bagaimana Kerajaan Barisan Nasional tidak sungguh-sungguh dalam agenda pemberdayaan ini. Malah saya tidak ragu untuk mengatakan bahawa mereka BN hanya gunakan Kementerian ini sebagai gula-gula untuk mengambil hati pengundi wanita, seperti juga Kerajaan memberi gula-gula kepada Pegawai Kerajaan dengan pengumuman perincian kenaikan gaji yang baru diumumkan semalam (21 Mei 2007). Ya PRU12 memang cukup hampir. Segala-galanya menunjukkan ke arah itu.

Saudari Perwakilan yang di muliakan,

PRU12 ini merupakan penentu kepada nasib parti dan nasib keseluruhan rakyat Malaysia. Dalam kita berhadapan dengan segala kepincangan BN dan kita cukup percaya bahawa kita ada penyelesaian kepada kegawatan ini, rakyat biasa di luar sana masih ternanti-nanti dan tertunggu-tunggu untuk mendengar apa yang kita tawarkan.

Satu kaji selidik bebas berkenaan kecenderungan pengundi untuk mengundi KeADILan melaporkan bahawa ada lebih kurang 70% pengundi yang banyak tidak tahu apa-apa berkenaan dengan dasar parti kita. Mereka hanya tahu kewujudan kita, akan tetapi mereka sentiasa diwar-warkan keburukan dan keganasan kita oleh pihak media. Hujah saya ialah, kita tidak boleh kawal media dan kita tidak boleh mengawal cara pengundi berfikir. Yang boleh kita buat ialah mendekati mereka dan seterusnya memberitahu mereka berkenaan dengan dasar parti kita, berkenaan dasar ekonomi, pendidikan, wanita dan juga dasar yang lain-lain. Dekati mereka (pengundi), berbicara dengan mereka dan beritahu mereka hasrat kita yang murni untuk Membawa Perubahan. Sekiranya memang benar masanya telah tiba untuk perubahan, dan kita penggerak-penggerak parti cukup prihatin dalam menyampaikan mesej perubahan ini, saya percaya, tidak ada apa yang mampu menghalang daripada berlakunya perubahan nanti. Kerana pada ketika itu, rakyat Malaysia akan cukup bermaklumat, cukup diberdaya; sehingga tidak mungkin pengundi hantu, dan tipu helah BN yang lain, dapat menghalang mereka daripada mengundi kita.

Harapan parti ialah ke atas kita semua untuk menjayakannya. Di depan saya ini merupakan tunggak dan harapan parti. Sejak Kongres di Ipoh 2004 Sayap Wanita KeADILan telah melangkah sederap dan padu ke arah mengukuhkan jentera parti. Pencapaian kita dalam membina wanita di peringkat bahagian di akar umbi juga telah ternyata dan tidak dapat dipertikaikan; 62 wanita bahagian berjaya bermesyuarat dengan cukup syarat tahun 2005, 92 wanita bahagian pada tahun 2006 dan pada tahun ini 109 wanita bahagian telah berjaya bermesyuarat dengan cukup syarat mengikut SOP yang ditetapkan Wanita.

SYABAS dan TAHNIAH saya ucapkan kepada anda semua.

Dengan pencapaian ini saya boleh melangkah segar meninggalkan Wanita KeADILan membawa rasa hati seorang ibu di kala melihat kejayaan hebat anaknya. Tentu sekali Wanita kini akan maju selangkah ke hadapan dalam memberikan yang terbaik buat parti. Saya serahkan tugas yang berat itu kepada yang akan mewarisi amanah jawatan Ketua Wanita Pusat seterusnya.

Para Sidang Perwakilan yang di kasihi,

Sebagai kaum wanita kita akan terus berjuang untuk apa yang bermakna dalam hidup kita; keluarga kita, anak-anak, kepercayaan dan sistem nilai, perbezaan pandangan dan perbezaan politik, semuanya akan ditangani dengan bijak. Kita juga akan melibatkan diri dalam perjuangan ini dengan penuh semangat, melambangkan kematangan serta komitmen, dengan perasaan kasih sayang serta juga sifat naluri keibuan kita

Saya punyai cita-cita dan impian di mana saya mengharapkan kita dapat satukan semua wanita yang terlibat dalam arena politik tidak kira dari pembangkang atau pihak pemerintah untuk berganding bahu, bergabung tenaga dan bersatu demi memperjuangkan serta membela nasib wanita.

Saya juga amat meyakini bahawa sekiranya lebih ramai wanita terlibat dalam politik dan juga wanita dibenarkan membuat dasar, maka dunia akan menjadi lebih aman (Lampiran- Perutusan Ketua Wanita Sempena Hari Ibu 2007)

Segala ini mungkin mimpi atau impian kini, akan tetapi bukankah masa depan itu bermula dengan satu impian?
"The future belongs to those who believe in the beauty of their dreams"
- ELEANOR ROOSEVELT -

Terima Kasih kepada anda semua yang saya kasihi.

Selamat Bersidang!
Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Hajah Fuziah Salleh
Ketua Wanita KeADILan
23hb Mei 2007

0 Comments:

Post a Comment

<< Home