Oleh Zulkifli Mohamed

TASEK GELUGOR: Pendedahan skandal komisyen pembelian senjata berjumlah ratusan juta ringgit dan kes pembunuhan warga Mongolia Altantunya Sharibuu, membabitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bukannya bersifat serangan peribadi kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita bukannya fitnah, ini bukannya serangan peribadi, bukan kita bangkitkan perkara ini untuk meluahkan perasaan marah kita.

“Tetapi perkara ini penting. Saya hendak tanya adakah kita rakyat Malaysia, merasa bangga dan mempunyai maruah apabila semua pemimpin dunia tahu, pemimpin kita terlibat (skandal) dan belum menjawab secara keseluruhan mengenai rasuah?”

“Saya hendak tanya kawan-kawan dalam Umno, Ketua-ketua Bahagian dan Jawatankuasa Bahagian yang bercakap di kampung-kampung dan di cawangan,” ujarnya.

Sambil mengaitkan afidavit Abdul Razak Baginda, ketua ‘think tank’ Najib dan pembabitan pegawai peribadinya dari Unit Tindakan Khas (UTK), dalam kes pembunuhan Altantunya Sharibuu, Anwar berkata sepatutnya pihak polis memanggil Najib untuk disoalsiasat.

“Takkan sampai hendak tanyapun tak boleh.”

Menurut Anwar, permintaan Parlimen Mongolia kepada kerajaan Malaysia yang mahukan kes Altantunya disiasat secara adil, membuktikan kerajaan negara itu tidak yakin dengan siasatan yang dijalankan oleh Malaysia.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 10 ribu orang sempena majlis makan malam di Padang Menora dekat sini, semalam.

Turut berucap Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Pengerusi Keadilan Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohd Hashim.

Anwar terus mengulangi dakwaannya, Najib dengan kuasa yang dimilikinya telah melantik syarikat milik Abdul Razak, sebagai agen menguruskan pembelian kapal selam daripada Perancis dengan komisyen berjumlah RM520 juta.

Anwar juga turut mendedahkan pembabitan Najib dalam pelantikan syarikat bekas Menteri Penerangan, Dato’ Seri Adib Adam sebagai broker pembelian jet pejuang Sukhoi Russia yang melibatkan pembayaran komisyen berjumlah RM400 juta.

Tegasnya, ketidakmampuan Najib menjawab persoalan skandal membabitkan dirinya, tidak melayakkan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

“Malu dan tidak ada maruah penyokong-penyokong Umno mempertahankan pemimpin yang ada kaitan dengan jenayah dan rasuah ratusan juta,” ujarnya.