SepangOnline

Sunday, April 01, 2007

Bengkel Reformasi Indonesia: Suatu Imbasan Era Habibie

Bengkel Reformasi Indonesia: Suatu Imbasan Era Habibie 26-27 Mac 2007
oleh Mohd Yusmadi Yusoff, Hubert H. Humphrey Fellow, Washington D.C

Bengkel membincangkan peristiwa Reformasi ketika era kepimpinan mantan Presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie telah berlangsung di School of Advanced International Studies (SAIS), Universiti John Hopkins Washington D.C yang merupakan pusat pendidikan terkenal pengajian hubungan antarabangsa di dunia.

Bengkel tersebut juga dibuat bersempena perlancaran buku tulisan Presiden Habibie bertajuk Decisive Moments: Indonesia’s Long Road to Democracy.

Bengkel tersebut dimulakan dengan Ucapan Aluan oleh Professor Karl Jackson, Pengarah Pusat Kajian Asia Tenggara di SAIS. Kemudian disusuli oleh Ucap Utama oleh Datuk Anwar Ibrahim bertajuk ‘Habibie Period: Impressions’.

Bengkel tersebut dihadiri oleh pakar-pakar dan sarjana-sarjana terkenal di dalam pengajian Asia Tenggara dan juga individu-individu yang pernah berurusan dan mempunyai pengalaman peribadi dengan Presiden Habibie. Antara yang hadir adalah Professor Dewi Fortuna Anwar (Starr Visiting Professor SAIS & Habibie Center), Professor Taufik Abdullah (LIPI), Dr. Marcus Mietzner (Indonesia Institute), Professor Robert Elson (University of Queensland), Dr. Watik Pratiknya (Habibie Center), Dr. Greg Fealy (Australian National University), Dr. Yudi Latif (Paramadina University) dan Dr. William (Bekas Penasihat Sains Presiden Habibie), Ambassador Alfonse LaPorta (USINDO) dan Professor Robert Hefner (Boston University).

Bengkel dua hari tersebut juga dihadiri oleh pemerhati oleh badan-badan terkenal di Washington D.C seperti Lex Rieffel (Brookings Institution), Professor William Wise (SAIS) dan wakil dari USINDO.

Hari pertama bengkel tersebut lebih menjuruskan kepada tema-tema kepimpinan, hubungan politik dan masyarakat sivil, hubungan ekonomi dan masyarakat ketika zaman pemerintahan Habibie. Hari kedua bengkel lebih berkisar kepada tema-tema hubungan luar yang dibentangkan oleh Ambassador Heinrich Seemann (Jerman), Dr. Ann Marie Murphy (Seton Hall University), Professor Greg Barton (Monash University).

Heinrich Seemann adalah bekas Duta Besar Jerman di Indonesia ketika era Habibie. Beliau banyak menceritakan bagaimana pengaruh pendidikan di Jerman banyak mempengaruhi keputusan-keputusan Habibie di dalam pemerintahan beliau seperti cadangan Mahkamah Perlembagaan, dan Dasar Sains Indonesia. Dewi Fortuna Anwar yang juga merupakan pakar di dalam hubungan ASEAN menceritakan bagaimana sikap setiakawan yang berpaksikan asas keadilan ditunjukkan oleh Presiden Habibie apabila beliau bersetuju bertemu Nurul Izzah di Batam ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan di penjara. Asas prinsip setiakawan tersebut memberi anjakan baru kepada hubungan ASEAN yang masih mengamalkan sikap ‘non interference of local affairs’ di dalam hubungan sesama tetangga ASEAN. Bengkel dua hari tersebut disudahi dengan Forum Awam yang dihadiri oleh ratusan pemikir badan-badan terkenal di Washington D.C dan wakil-wakil kedutaan Indonesia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi diberi penghormatan memberi Ucap Utama semasa sesi tersebut. Hubungan istimewa di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Habibie menyebabkan beliau menjadi tempat rujukan kepada isu-isu penting politik Presiden Habibie. Kesemua pembentang kertas kerja dan pemerhati telah dijemput untuk menghadiri majlis makan malam yang diadakan di kediaman Duta Besar Indonesia di Washington D.C.

Yusmadi

100_0259.JPG100_0261.JPGDiskusi Bengkel

DS Anwar dan Prof. Dewi Fortuna AnwarDS Anwar dan Prof. Greg BartonDS Anwar dan Prof. Karl Jackson

DS Anwar Memberi Ucap UtamaHadirin Forum Awam Di SAISMakan Malam di Kediaman Duta Besar Indonesia

0 Comments:

Post a Comment

<< Home