SepangOnline

Wednesday, March 28, 2007

PKR terima sokongan luar biasa di Sabah dan P Pinang

Azmin: PKR terima sokongan luar biasa di Sabah dan P Pinang
Muda Mohd Noor ( Malaysiakini.)

Mar 26, 07 -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat sokongan luar biasa pengundi, terutama di dua negeri – Sabah dan Pulau Pinang – setelah kembalinya bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke arena politik negara.

Berikutan itu, Naib Presiden PKR, Azmin Ali yakin, parti itu mampu 'menang besar' khususnya di kedua-dua negeri tersebut dalam pilihanraya umum akan datang.

Anwar kini merupakan penasihat PKR dan menerima pencalonan terbanyak untuk bertanding jawatan presiden dalam kongres nasional parti itu di Seremban Mei depan.

"Kami sudah mencapai persetujuan dengan DAP untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri barisan depan PKR di mana lebih ramai calon kami (PKR) akan bertanding di negeri itu.

"Di Sabah juga kami menerima sambutan luar biasa dari pengundi dan kami percaya PKR akan mengetuai pakatan pembangkang di negeri tersebut," katanya dalam temubual dengan malaysiakini minggu lalu.

Azmin berkata, kehadiran Anwar akan membawa perubahan besar kepada lanskap PKR dalam pilihanraya umum akan datang.

Katanya, parti itu juga telah mengenalpasti kerusi Parlimen di negeri lain yang berpotensi dimenanginya.

Senarai calon


Beliau berkata, banyak kerusi Parlimen di kawasan bandar mampu dicabar oleh pembangkang berdasarkan rasa tidak puashati rakyat terhadap ekonomi negara sekarang.

Bagaimanapun, kata Azmin, jumlah sebenar kerusi Parlimen yang akan ditanding PKR belum ditetapkan kerana rundingan dengan PAS, DAP dan pembangkang lain, hanya bermula bulan depan.

"Kami juga telah menerima senarai calon dari PKR negeri dan pada peringkat ini, ia sedang diteliti sebelum pemilihan dibuat," katanya.

Azmin berkata, PKR akan meletakkan ramai golongan muda dan profesional bertanding untuk memberi momentum baru dalam pilihanraya umum akan datang.

Katanya, golongan muda dan profesional dari bangsa Melayu, Cina dan India itu, sudah dikenalpasti untuk menjadi calon PKR.

"Muka baru seperti Tan Sri Khalid Ibrahim (bendahari), Datuk Kamarul Baharin Abas (setiausaha agung) dan Datuk S Nallakarupan, akan bertanding kali ini.

Berunding dengan PAS, DAP

"Malah, Nurul Izah Anwar juga akan bertanding dan kami sedang mencari kawasan yang sesuai untuknnya," katanya Azmin lagi.

Azmin berkata, pihaknya akan berbincang dengan bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd Noor, untuk mengetahui sama ada beliau bersedia menjadi calon PKR dalam pilihanraya umum akan datang.

Ezam telah melepaskan semua jawatan dalam parti itu, termasuk Timbalan Pengerusi Perhubungan Selangor, bulan lalu kerana mahu memberi perhatian kepada Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) yang ditubuhkannya tahun lalu.

"Ketika ini, pemimpin PKR peringkat negeri sedang berunding dengan PAS dan DAP sebelum pemimpin peringkat pusat memutuskannya, " katanya.

Dalam pilihanraya umum 2004, PKR hanya memenangi satu kerusi Parlimen iaitu Permatang Pauh melalui Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home