Oleh Roy Rasul KUALA LUMPUR, 5 Sept (Hrkh) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan memulakan siasatan awam terhadap insiden demonstrasi berdarah di KLCC pada 28 Mei lalu mulai 6 Oktober depan. Pengerusi Kumpulan Kerja Pembaharuan Perundangan dan Triti Antarabangsa Suhakam, Dato' K.C. Vohrah berkata, siasatan tersebut akan berlangsung sehingga 18 Oktober.
Beliau berkata, siasatan tersebut yang bermula pada jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang terbuka kepada orang awam dan pihak media. Bagaimanapun katanya, sebarang rakaman dan video tidak dibenarkan. Malah katanya, media juga tidak dibenarkan menemuramah mana-mana individu yang terlibat dalam insiden tersebut semasa proses siasatan dijalankan. Sementara itu katanya, sejak dihebahkan mengenai sisatan tersebut, pihaknya telah menemuduga 37 orang saksi berhubung insiden tersebut. "Selain itu kami juga mempunyai video dan gambar mengenai insiden tersebut sebagai bahan bukti," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Suhakam, dekat sini, hari ini. Katanya lagi, maklum balas daripada polis dan Unit Polis Persekutuan (FRU) turut diterima, bagaimanapun maklum balas daripada Jabatan Siasatan Jenayah masih gagal diperolehi. Oleh kerana siasatan masih berjalan jumlah saksi yang memberi keterangan semasa siasatan belum dapat ditentukan, maka Sapina akan dihantar kepada saksi yang layak termasuk media dan polis. Beliau berkata, siasatan tersebut dijalankan mengikut Seksyen 14(1)(a) Hak Asasi Manusia Akta 1999. "Ini kerana seksyen tersebut memberi kuasa kepada suruhanjaya bagi mendapatkan bukti bertulis atau lisan untuk menyiasat mereka yang terlibat sebagai saksi," katanya. Sementara itu, antara yang turut hadir dalam sidang tersebut ialah Pesuruhjaya, Dato' Choo Siew Kioh, Dato' Dr Michael Yeoh Onn Kheng dan Datin Paduka Zaiton Dato' Othman.
|
0 Comments:
Post a Comment
<< Home