SepangOnline

Monday, January 24, 2005

Dato' Seri Anwar Ibrahim berlepas ke England sebagai Pensyarah Kehormat di Universiti Oxford

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim berlepas ke England malam tadi untuk menjadi Pensyarah Kehormat di Universiti Oxford. Beliau bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 11.55 malam (23Januari) dan akan berada di sana untuk tempoh dua bulan. Ketika di sana, Anwar akan berkhidmat di sebuah kolej berprestij di universiti tersebut, St Anthony College sebagai Pensyarah Kehormat (Senior Associate Member). Turut bersama ialah isteri beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Ismail serta pembantu peribadi, Azmin Ali dan Khalid Jaafar.
Menurut Khalid, Anwar akan menumpukan kajian mengenai konflik antarabangsa di kolej yang pengajian khususnya kepada hubungan antarabangsa terutama mengenai Islam dan Barat itu. "Beliau akan menumpukan kajian mengenai Islam dan Barat serta memberi seminar mengenai keperluan Barat menjalin hubungan positif dengan Islam serta sebaliknya.
Begitu juga penekanan akan diberi mengenai keperluan negara-negara Islam mewujudkan demokrasi, mengukuh hak asasi dan masyarakat madani di negara sendiri," kata Khalid. Peserta seminar terdiri daripada pensyarah dan pelajar lepasan universiti tersebut. Sepanjang berada di sana, Anwar juga akan menemui dan mengadakan dialog dengan pelajar dan warga Malaysia di United Kingdom serta Ireland. Dalam tempoh sama, Anwar juga akan memenuhi jemputan sebagai Pensyarah Kehormat di sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat, John Hopkins University yang terletak di Washington. Beliau juga akan berkhidmat sebagai Fellow Kehormat di School of Islamic and Social Sciences pimpinan ulama terkemuka, Taha Jabir Alalwani. Selain itu, beliau juga akan berucap di sebuah forum antarabangsa mengenai Asia dan Eropah di Paris Februari depan. Manakala pada Mac depan, beliau akan menyampaikan kertas kerja serta menghadiri sesi soal jawab dalam Law Asia Conference di Melbourne.
Pada bulan yang sama, Penasihat (PKR) itu juga akan berucap dalam persidangan perbankan antarabangsa, Asia Society dan Credit Suisse di Hong Kong. Persidangan tersebut akan dihadiri pelabur di seluruh dunia terutama yang berminat untuk melabur di Asia. - ER

0 Comments:

Post a Comment

<< Home